BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Rakan Pembangkang Malaysia

Sudah banyak kali parti-parti pembangkang Malaysia menyertai pilihanraya umum, mahupun pilihanraya kecil. Belum ada menampakkan kekuatan sebenar pembangkang. Kita masih bersikap nafsi-nafsi, berasa gah sendiri, berasa megah sendiri, berasa ego dan berasa lebih sendiri. Dengan kata lain, kita lebih banyak syok sendiri, padahal musuh pembangkang ialah UMNO/BN yang sudah lama bertapak dalam politik Malaysia dan sebati dengan rakyat negara ini. Kita tidak akan mampu menghadapi mereka secara sendiri-sendirian. Tetapi mereka amat-amat takut apabila pembangkang di negara ini bersatu menjadi 'rakan pembangkang' yang mantap dan kuat. Pengalaman pilihanraya pada tahun 1999, benar-benar menakutkan dan mengecutkan seluruh pimpinan UMNO/BN. Disebabkan, gabungan pembangkang BA waktu itu baru pada tahap separuh kuat, belum mantap sepenuhnya. Namun, sudah boleh merobek sedikit demi sedikit kekuasaan UMNO/BN.

Tidak ada formula mudah dalam pakatan pembangkang di Malaysia. Tetapi rakan pembangkang yang kuat dalam negara ini sangat ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang majmuk sudah lama berada dibawah tempurung kuasa politik UMNO/BN dan sudah 20 tahun berada dibawah tempurung 'buruk' kekuasaan politik kuku besi Dr Mahathir and Company. Rakyat sudah lemas dan benar-benar hilang daya untuk melepas diri dari kelemasan 'cengkaman' kuasa politik yang bersistematik UMNO/BN yang dikemudikan oleh Dr Mahathir. Mahathir sangat licik mempergunakan kawan-kawan politiknya yang berada disekeliling pinggang yang berada diseluruh pelusuk Malaysia dan juga penasihat politiknya di luar Malaysia. Ketika dia mempunyai saingan dalam UMNO/BN dia bingkas secepat kilat mencari kawan politik barunya untuk menentang musuh politik dalamannya. Kisah perletakan jawatan Musa Hitam, Ghafar Baba, Tun Daim dan pemecatan Anwar Ibrahim adalah antara gerak kerja muslihat 'jahat' politik Dr Mahathir. Mahathir sebolehnya tidak mahu kehilangan kuasa PM di Malaysia. Apatah lagi untuk menyerahkan mudah-mudah kepada penganti lain, kecuali orang UMNO/BN yang menjadi pengantinya adalah 'klon'nya atau 'barua'nya yang sama seperti jiwa, hati, akal dan nafsunya.

Siapakah Yang Menjadi Penyelamat Rakyat dan Malaysia?

Siapa yang akan menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya dari cengkaman politik UMNO/BN dan politik kuku besi Dr Mahathir sekarang. Kelihatan seolah-olah Malaysia akan terus berkeadaan macam Zimbabwe negara yang dikepalai diktator Mugabe. Namun, situasi terdekat dalam senario politik Malaysia wajah atau riak perubahan sudah bermula sejak DS Anwar Ibrahim disingkir secara tidak bermoral oleh Dr Mahathir dengan kerjasama kuat dari orang-orang belaannya atau barua-baruanya dikebanyakan institusi dalam negara ini pada 1998 lagi. Sekalipun Mahathir merasakan dirinya sudah terselamat dari zon politik bahayanya. Kerana UMNO/BN terus berkuasa di bumi Malaysia pada pilihanraya ke 10 yang lalu.

Tetapi hakikat sebenarnya Mahathir belum selamat, walaupun dia berjaya memenjarakan DS Anwar Ibrahim dan beberapa sahabat seperjuangan Anwar Ibrahim. Jutaan rakyat Malaysia masih tetap istiqamah mahu menyelamatkan rakyat dan negara ini dari cengkaman kezaliman UMNO/BN yang dikepalai Mahathir and Kroni's.

Sebagai umat yang beriman dan beragama, keselamatan kita adalah terserah kepada Allah SWT jua. Akan tetapi tidak cukup dengan hanya berserah bulat-bulat tanpa langsung berusaha. Maka adalah suatu yang bersifat manusiawi, bahawa dari segi politiknya rakyat dan negara Malaysia mesti dan sewajarnya rakyat Malaysialah yang akan berusaha menyelamatkan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini.

Dalam keadaan kepimpinan politik negara dibawah UMNO/BN dan Dr Mahathir/Pak Lah yang sudah rosak, tidak bermaya, tiada istimewanya lagi dan tidak mungkin akan ada suatu perubahan yang lebih baik dari keadaan sekarang. Maknanya rakyat dan Malaysia tidak akan menjadi lebih baik, lebih adil, demokratik dan memuaskan dibawah UMNO/BN yang rosak itu. Jawabannya ialah kepimpinan baru dalam RAKAN PEMBANGKANG MALAYSIA dibawah gabungan BA (PAS, KeADILan dan PRM) disamping mendapat kerjasama kuat dari DAP. DA yang pernah bersama BA sebelum mengasing diri ekoran masalah 'teknikal politik' yang tidak diperhalusi secara hikmah sesama mereka. Kepimpinan baru yang 'luar biasa' dalam rakan pembangkang inilah bakal menyelamatkan rakyat dan negara ini dari cengkaman berterusan kekuasaan 'kuku besi' UMNO/BN.

Secekak Lidi Lebih Kuat Dari Sebatang Lidi

Pepatah ada mengatakan 'sebatang lidi mudah dipatahkan', tapi seberkas atau secekak 'lidi' boleh dijadikan penyapu dan mampu menyapu segala sampah. Bercantumnya dua parti dalam gabungan BA antara KeADILan-PRM ini, apakah ia mampu membina satu kekuatan baru atau bakal menimbulkan perbalahan antara ahli-ahli serta kepimpinan dalaman kedua parti yang berbeza pandangan terhadap usul percantuman tersebut. Kita perakui ada kebaikannya percantuman itu. Tapi, harus juga tidak dilupakan keburukan dari percantuman ini. Apatah lagi antara ahli dan kepimpinan dalaman kedua parti KeADILan-PRM masing-masing tidak menemukan kata sepakat yang padu dan jitu ke arah percantuman ini. Sekadar semangat untuk bercantum belum memadai, seandainya permuafakatan, kesedaran, sikap pengorbanan, keikhlasan dan kesungguhan untuk bercantum itu tidak disemai-suburkan dalam jiwa, hati dan akal budi ahli-ahli dan juga kepimpinan kedua parti berkenaan. Bagaimana pula dengan isu terbaru 'pakatan pembangkang baru' yang dicetuskan oleh Pengerusi DAP, Encik Lim Kit Siang bahawa pakatan baru itu tidak akan melibatkan parti PAS. Apakah isu terbaru dipihak pembangkang ini bakal mewajahi senario politik masa depan pembangkang bagi menghadapi pilihanraya umum ke 11 yang bakal berlaku secara mengejut. Penulis dan pemerhati politik tanah air sudah mula membayang-bayangkan pilihanraya umum mengejut ke 11 itu.

Penulis merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan terhadap isu perdebatan yang memanaskan politik pembangkang berekoran dari kemelut, pergisiran dan keributan tentang pengabungan dua parti dalam BA iaitu antara KeADILan dengan PRM serta 'pakatan baru pembangkang'. Sepatutnya isu sensitif ini tidak wajar digembar-gemburkan sedemikian rupa, apatah lagi bila ia jatuh ke tangan parti musuh seperti UMNO/BN/Mahathir/Pak Lah. Tahu sajalah apa yang bakal media mereka eksploitkan semahu-mahunya. Supaya kita bertelagah sesama sendiri, rakyat jadi muak dan mereka bersorak riuh kerana jerat mereka mengena kali ini. Rencana atau tulisan-tulisan, mahupun kenyataan daripada kedua-dua parti berkenaan saling berbalas kenyataan akan keinginan untuk bercantum itu. Walaupun tidak 100% ahli serta kepimpinan kedua parti KeADILan dan PRM bersetuju. Namun, hasrat kedua parti untuk bercantum terus menjadi agenda.

Dalam sistem demokrasi di Malaysia memang tidak menjadi kesalahan untuk dua parti bercantum menjadi satu parti baru dan kuat, setelah melalui proses tertentu sama ada dari segi prosedur, perlembagaan parti dan undang-undang. Namun, segala kerumitan pasti dilalui bukan setakat hal-hal teknikal, perlembagaan parti, undang-undang pertubuhan hatta kaitan kerumitan itu daripada pandangan ahli, kepimpinan, penyokong dan juga pendokong parti masing-masing dari pelbagai latar belakang dan juga kefahaman yang pasti berbeza. Dan perbezaan pendapat atau pemikiran sedemikian adalah rahmat kepada parti demi mencari pemikiran terbaik ke arah memantap serta memperkukuhkan organisasi parti.

Apa akan jadi, sekiranya keributan 'dalaman parti' sudah sampai ke peringkat menjadi isu 'mainan' oleh musuh BA. Terutamanya UMNO dan orang-orang UMNO/BN/Mahathir/Pak Lah yang selamanya tidak menyenangi kewujudan parti yang boleh menyaingi mereka. Kalau boleh setiap parti-parti politik di Malaysia yang boleh menggugat pengaruh mereka mahu ditelan hidup-hidup sebagaimana USNO dan Akar Bersatu di Sabah (dibubarkan atau ditelan UMNO, walaupun atas nama politik perpaduan itu) dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah turut mampus dibaham kerakusan dan keserakahan UMNO/Mahathir. Sejarah sudah tercatat tentang besarnya ego UMNO pimpinan Mahathir al-nyanyuki itu, dia mahu semua parti-parti politik di Malaysia ini biar duduk celah kangkangnya agar mudah diperkuda dan dicekik kalau lawan taukeh. Macam style Amerika mahu kuasai setiap inci muka bumi dunia ini mesti tunduk kepada kuasa angkuh dan sombong Amerika.

Percantuman Parti-Parti BA, Apa Hikmahnya?

Ini cerita lama, tapi masih menarik untuk dikisahkan. Bercantum untuk membina kekuatan dan perpaduan parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO/BN/Mahathir/Pak Lah yang kalut, gelabah dan tidak berwibawa, yang semakin angkuh dengan kuasa politik mereka. Apakah pada pilihanraya umum akan datang dijangkakan lebih awal dari tahun 2004, RAKAN PEMBANGKANG MALAYSIA dalam BA bersama DAP boleh menumbangkan kuasa berkarat UMNO/BN dalam politik Malaysia?. Pilihanraya ke 11 nanti, ada sudah meramalkan selepas Hari Raya atau mungkin lebih cepat lagi kerana berdasarkan kepada isu-isu terdekat sekarang seperti menyebelahi UMNO/BN, dengan kes 11 September di Amerika dikaitkan dengan isu KMM, militan yang mereka ciptakan, isu Taliban, Memali, Sauk, keganasan dan isu Islam yang dikambinghitamkan oleh kuasa besar barat sekarang. Nampaknya semua itu mahu dicopkan ke atas batang tubuh PAS yang menjadi ketua dalam gabungan pembangkang BA sekarang. Ditambah lagi dengan keluarnya DAP dari BA itu sendiri.

Apakah percantuman KeADILan-PRM memberi impak terbaik kepada BA dan apakah pula dalam situasi sekarang percantuman itu teramat diperlukan. Kenapa tidak perkukuhkan saja kekuatan dan keintiman pembangkang dalam gabungan BA sekarang. Tak usah lagi kita mencari persoalan atau sengaja membikin 'perahu' baru...dengan mengabung 'dua perahu' hampir sama menjadi satu. Sepatutnya kita, lebih pantas dan tangkas berfikir dengan lebih proaktif bagi mengembeling kekuatan BA dengan kelengkapan sedia ada yang sudah tersusun baik, hanya perlu menyusun semula segala kelengkapan itu yang masih terselerak dengan sebaik mungkin, lebih kemas dan tersusun rapi. Bukan mencipta perahu baru bagi mewadahi perjuangan politik baru di Malaysia dalam keadaan rakyat majmuk Malaysia semakin terbuka pemikiran, hati dan jiwa mereka dalam menilai dan menentukan wajah 'politik' Malaysia sebenar, mana intan dan yang mana kaca. Mana yang telus dan yang mana bergelumang dengan budaya korupsi, penyelewengan, salahguna kuasa dan sebagainya.

Kesan Kurang Baik Dibalik Percantuman Itu

Yang jelas dan nyata timbulnya rasa kurang senang dikalangan ahli dan pimpinan kedua-dua parti dalam gabungan BA terhadap usaha 'perkahwinan politik' yang meributkan ahli keluarga masing-masing ada yang setuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan alasan tersendiri serta mempunyai logiknya. Ditakuti pula akan menghilangkan semangat ahli dan kepimpinan kedua parti untuk terus berjuang menumbangkan parti UMNO/BN/Mahathir/Pak Lah. Selain itu, turut dibimbangkan ialah ahli-ahli parti akan beralih arah sokongan. Kemelut dalaman parti dan kem pembangkang yang membosankan ahli-ahli, para pimpinan dan pendokong BA. Padahal sepatutnya dalam masa-masa 'emas' dan suntuk sekarang kita tumpukan membina kekuatan parti dan gabungan pembangkang yang sedia ada. Bukannya merombak-rombak atau mengubahsuai 'batu-bata' yang sudah sedia mantap dan kukuh itu. Akhirnya, bangunan yang kukuh apabila diubahsuai atau dirombak secara tidak bersistem itu akan runtuh dan rebah menyembah bumi.

Dalam ilmu 'siasah' amalan merombak dan membuang 'batu-bata' politik yang kita rasa tidak mendatangkan kebaikan atau yang boleh menjadi 'virus' dalaman itupun terpaksa dibuat secara cukup teliti, jangan sampai menjejas keseluruhan struktur asas organisasi BA. Sebab percantuman dua organisasi yang berlainan prinsip, dasar dan juga ideologi bukanlah perkara mudah. Bahkan ia perlu kepada rombakan dan ubahsuai cukup besar, mungkin terpaksa memakan masa cukup panjang untuk mencari tempo keserasian yang jitu. Dalam ribut-ribut mahu bercantum yang belumpun selesai itu, tiba-tiba timbul lagi isu baru yang tercetus dari kenyataan Pengerusi DAP, Encik Lim Kit Siang untuk mengujudkan satu lagi pakatan baru pembangkang. Mungkin ada hikmah dan kebaikannya dalam mengisi tuntutan politik semasa dan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Tetapi apakah kewujudannya secara mengejut seperti ini boleh menarik perhatian rakyat Malaysia.

Pakatan 'Baru' Pembangkang

Idea ini harus diteliti dan dikembangkan dalam khalayak ramai. Mungkin ada baiknya untuk rakyat majmuk seperti di Malaysia sekarang dalam keadaan isu-isu perkauman, budaya, agama dan tradisi yang terkepompong dalam masyarakat atau kaum masing-masing, jarang pula didedahkan kepada kaum lain takut menguris perasaan atau menyentuh sensitiviti. Semua inilah yang masih membelenggu jiwa, akal, hati dan budaya kita. Kita terkurung, dikekang dan dikongkong dalam suatu tradisi budaya warisan turun temurun yang tidak menguntungkan bangsa Malaysia yang majmuk ini. Kita hanya siok atau seronok dengan adat budaya dan cara berfikir kaum masing-masing, jarang sekali kita mahu mendekati kaum lain. Kecuali mereka yang sudah terkeluar dari kekangan atau kurungan adat tradisi kaum, lantaran dipecahkan oleh hubungan melalui perkahwinan, kejiranan, organisasi dan sebagainya.

Hikmah disebalik satu lagi pakatan 'baru' pembangkang selain dari pakatan sedia ada dalam BA sekarang. Apakah kita tidak belajar dari gabungan pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah dulu satu pakatan atas namanya Gagasan Rakyat Semangat 46-DAP/PBS dan satu lagi Angkatan Perpaduan Ummah Semangat 46-PAS/Berjasa pada tahun 1990 sewaktu menghadapi pilihanraya umum ke 8. Apa sudah jadi dengan pakatan serampang dua mata itu. Ini cerita tahun 90an. Tentunya pakatan 'baru' pembangkang yang dicetuskan oleh Encik Lim Kit Siang itu bukanlah meniru acuan pakatan pembangkang sebagaimana idea Tengku Razaliegh Hamzah dulu. Andai benar idea pakatan 'baru' pembangkang tanpa PAS itu menjadi kenyataan sebelum pilihanraya umum kebangsaan ke 11 nanti. Apakah pengisian kepada apa yang dicetuskan itu. Kita mengharapkan ia lebih baik dan hendaklah suatu pakatan pembangkang 'luar biasa' bersifat global, terbuka dan berwajah baru. Bukan sekadar biasa-biasa. Maksudnya biar pembangkang baru yang diideakan itu lebih baik darjatnya dari BA sekarang. Ia diterima semua lapisan rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Dan pastikan pakatan 'baru' pembangkang itu bukan diwujudkan kerana takutkan isu 'negara Islam' yang menjadi sebahagian daripada matlamat perjuangan politik PAS. Jangan seperti orang yang ditakutkan isu 'hantu', padahal rupa hantu pun belum pernah dia tengok, belum juga dia membuat kajian tentang apa sebenarnya 'hantu' yang tidak berupa, tidak berjasad dan tidak ada roh atau semangat itu.

Rakan Pembangkang Malaysia

Apakah para pemimpin pembangkang Malaysia yang ada sekarang dan yang sudahpun diterima oleh majoriti rakyat negara ini mampu mencipta keajaiban atau keluarbiasaan pembaharuan politik yang berbeza pendekatan mereka dari kebiasaan pembawaan politik UMNO/BN yang statik selama ini. Isu politik UMNO/BN sudah diketahui ialah pembangunan, menanam khurafat politik ke dalam otak rakyat bahawa hanya UMNO/BN sahaja boleh memimpin, hanya orang-orang UMNO/BN yang baik, kaya, berduit, boleh beri duit dan bla...bla....memperkuda dan membaruakan seluruh institusi atau jentera kerajaan seperti polis, RTM, kementerian-kementerian dll......hatta golongan ulama/mufti/pensyarah/intelek pun mereka perguna untuk mengesahkan bahawa cara 'salah' UMNO/BN itulah yang betul dan mesti disokong rakyat. Rakyat yang jahil akan termakan apa saja taktik mempertopengkan kebaikan ini didepan mereka. Seperti orang baik bila dipasangkan topeng penjahat akan dilihat orang sebagai penjahat, begitulah walaupun orang/pemimpin itu kaki rasuah, jahat, zalim, kaki betina dan salahguna kuasa, disebabkan dia pakai topeng orang baik, orang masjid, orang agama/ulama dll... rakyat yang jahil akan terima mereka itu orang/pemimpin baik. Inilah yang UMNO/BN lakukan sekarang.

Untuk menghadapi taktik ini, memerlukan rakan pembangkang Malaysia mencari suatu strategi 'luar biasa' yang dibenar Perlembagaan Negara dan amalan demokrasi bagi tujuan mengatasi taktik jahat UMNO/BN itu. Kejahatan tidak boleh dikalahkan oleh kejahatan serupa, tetapi kejahatan hanya akan dapat dikalahkan oleh taktik kebenaran. Rakyat Malaysia percaya para pemimpin BA dan DAP sudah ada formula politik 'luar biasa' itu untuk menghadapi pilihanraya ke 11 nanti. Sekalipun pembangkang dan rakyat diikat dengan pelbagai akta yang tidak adil. Dalam kesempitan ruang bersuara dan kezaliman politik UMNO/BN yang memperalat polis mahupun SPR itu sendiri. Rakyat dan rakan pembangkang Malaysia masih mempunyai ruang-ruang demokrasi, walaupun ruang demokrasi itu sudah dipersempitkan. Percayalah dalam kesempitan ada kesempatan lebih besar bagi rakyat dan rakan pembangkang Malaysia untuk bangkit dalam pilihanraya ke 11 nanti. Allah Ta'ala pun menyebut dalam al-Qur'an, "Maka sesungguhnya dalam kesukaran/kesempitan itu ada bersamanya kemudahan dan kesenangan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran/kesulitan/kesempitan itu ada bersertanya kemudahan/kelapangan/kesenangan" (Surah Al-Insyirah: 5 dan 6).

Kesimpulannya, rakyat yang bersatu bersama pimpinan pembangkang dalam 'RAKAN PEMBANGKANG MALAYSIA' adalah jawaban terbaik untuk rakyat dan Malaysia yang lebih adil, kerajaan baik dan demokratik.

Ibn Sabah,
30.3.2002M.







______________________
Terbitan : 31 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com