BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Hukum Surat Berantai, Kelebihan Puasa 10 Muharram

Alamatkan surat anda kepada:

Warta Darul Iman
Tingkat Atas U2,
Bangunan Dewan Undangan Negeri,
Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu
atau Tel: 09-6231957 sambungan 2268
Fax: 09-6267732
e-mel: upknt@terengganu.gov.my

Apa pandangan tuan mengenai surat berantai yang didakwa daripada Syeikh Ahmad Madinah yang mesti dicetak oleh penerimanya sebanyak beberapa salinan, jika tidak akan ditimpa mala petaka?
– Mohd. Ridhuan Khalid, Kuala Terengganu.

Surat ini suatu yang karut marut yang hendaklah dijauhi oleh setiap orang Islam. Semua perkara ghaib adalah di dalam ilmu Allah, ianya tidak diberitahu kepada sesiapa pun walaupun kepada Nabi Muhammad S.A.W. Mempercayai ianya akan membawa kenikmatan atau mala petaka adalah suatu yang bercanggah dengan aqidah Islam yang boleh membawa syirik.

Apakah kelebihan puasa pada 10 Muharram (‘Asyura)?
– Ismail Ali, Kemaman.

Di dalam sebuah hadith sahih riwayat muslim, Nabi S.A.W. ditanya tentang puasa pada hari ke 10 Muharram, baginda bersabda : "Ia menghapuskan kesalahan setahun yang lalu". Perlu dinyatakan di sini puasa pada hari ke 10 itu sebaik-baiknya didahului dengan puasa pada hari kesembilan (Tasu’a) atau dirangkaikan dengan hari ke 11 Muharram. Terdapat tiga peringkat puasa Asura. Pertama, puasa tiga hari (hari kesembilan, 10 dan 11), kedua puasa dua hari (hari kesembilan dan 10) dan ketiga puasa hari ke 10 sahaja.

Bagaimanakah seorang makmum yang terlewat datang ke masjid mendapati saf dibaris hadapan telah penuh?
– Pencinta masjid, Hulu Terengganu.

Makmum tersebut sekiranya tidak mendapati ruang pada barisan di hadapan tersebut hendaklah menunaikan sembahyang di baris yang kedua dengan meminta seorang daripada makmum di hadapannya untuk mundur ke belakang menyertainya. Sebaik-baiknya makmum tersebut berada betul-betul di belakang Imam pada saf yang kedua. Adalah makruh seseorang bersembahyang bersendirian di dalam saf yang lain.

Bolehkan di dalam sebuah kampung, suara azan dikumandangkan melalui pita kaset?
– Abdul Aziz Mohamad, Marang.

Azan merupakan fardhu kifayah di samping pemakluman tentang masuknya waktu solat dan seruan kepada sembahyang. Justeru tidak mencukupi suara azan itu dilakukan melalui pita rakaman. Menjadi kewajipan kepada penduduk kampung itu untuk memilih di kalangan mereka seorang yang menjadi juru azan.

Apa pendapat tuan mengenai alat-alat muzik seperti piano, gendang, serunai, gitar dan seumpamanya di simpan dalam rumah?
– Peminat Muzik, Kemaman.

Alat-alat tersebut sebagaimana yang dijelaskan oleh kebanyakkan ulama’ Islam, merupakan peralatan yang melalaikan dan adalah haram disimpan di dalam rumah seseorang Islam. Ini berdasarkan kepada Al Quran di dalam ayat 6 Surah Luqman dan hadith Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Al Bukhari yang bermaksud: "Akan datang suatu ketika, ada di kalangan ummatku yang (sanggup) menghalalkan arak, babi, zina dan peralatan muzik" (sila lihat kitab Al Feqah Al Islami Wa Adillatuh, Jilid 4, muka surat 2665).

Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang yang sedang menguap?
– Siti Anisah Abdullah, Dungun.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. menasihati orang yang menguap supaya berusaha sedaya mungkin untuk menutup mulutnya agar tidak membukanya ketika menguap. Jika tidak mampu hendaklah menutup mulutnya dengan menggunakan tapak tangannya dan janganlah dia mengeluarkan suaranya ketika itu.

Apa pandangan tuan mengenai suara wanita?
– Mahani Awang, Kuala Terengganu.

Suara wanita bukanlah aurat tetapi dia tidak boleh melembutkan (lunak) suaranya di hadapan lelaki yang bukan mahramnya kerana dibimbangi menjadi unsur fitnah kepada mereka sebagaimana maksud ayat 32, Surah Al-Ahzab.

Apakah pendapat tuan mengenai gambar-gambar yang digantung di dinding-dinding rumah untuk perhiasan? Apakah ianya menghalang kemasukan malaikat ke dalam rumah berkenaan?
– Johari Asmuni, Kuala Lumpur.

Semua Fuqaha’ (ahli fekah) berpendapat bahawa gambar-gambar benda yang bernyawa sekiranya membawa kepada pemujaan, mengagungkannya atau menimbulkan kemungkaran atau dosa maka ia adalah dilarang. Jika sebaliknya seperti gambar pemandangan ianya diharuskan.

Terdapat ibu bapa yang menggantungkan azimat atau tangkal kepada leher atau tangan anak-mereka kerana mempercayai ianya boleh mengubati mereka. Apakah pandangan Islam terhadap perbuatan tersebut?
– Othman Abdul Rahman, Setiu.

Amalan mempercayai keberkesanan tangkal atau azimat boleh membawa kepada syirik kepada Allah. Oleh itu, kebanyakan ulama’ Islam mengharamkan pemakaiannya berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Sesiapa yang menggantungkan azimat (mengharapkan sesuatu), Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya". Dengan ini dinasihati kepada yang berkenaan supaya tidak melakukan perbuatan tersebut bahkan mintalah pertolongan Allah kerana Dialah Penyembuh sebarang penyakit, di samping berusaha mencari ubatnya.

Terdapat sebahagian masyarakat menggantungkan sesuatu seperti kuda laut di muka pintu rumah dengan menganggap Iblis tidak akan masuk ke rumahnya, apakah pandangan agama terhadap tanggapan tersebut?
– Othman Abdul Rahman, Setiu.

Perkara seperti ini juga boleh membawa kepada syirik kepada Allah S.W.T. kerana ia meletakkan keyakinan kepada makluk Allah sedangkan makhluk tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa. Amalan membaca Al Quran di dalam rumah seperti Surah Al Baqarah dan sebagainya cukup untuk menghindari gangguan iblis atau syaitan kepada rumah tersebut.

Amalan sesetengah masyarakat tua yang sering membaca Surah Al Kahfi (Juz ke 15) pada setiap hari Jumaat, apakah ada dalilnya?
– Aminah Omar, Dungun.

Memang terdapat kelebihan bagi mereka yang membaca surah tersebut berdasarkan kepada sabda Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al Khudri r.a. yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat, dia memperolehi cahaya (dari Allah) di antara dua Jumaat (selama seminggu)".[Hadith diriwayatkan oleh An Nasa’ie, Al Hakim dan Al Baihaqi].

Ramai pembaca surat khabar yang membaca halaman ‘ramalan bintang /bulan’ yang sering disiarkan, kebanyakan ramalan tersebut membetuli kehidupan mereka! Apakah itu adalah kebenaran atau sebaliknya?
– Peminat Akhbar, Kuala Nerus.

Mempercayai ramalan atau tenung nasib boleh membawa kepada syirik kepada Allah SWT. Justeru Nabi S.A.W. melarang seseorang Islam mengunjungi ahli nujum atau tukang tenung nasib bagi mengetahui nasibnya, sedangkan nasib seseorang adalah di dalam pengetahuan Allah SWT, tiada siapapun yang mengetahuinya melainkan Allah dan diketahui berkenaanya setelah ianya berlaku. Ramalan yang dibuat sekalipun berlaku persamaannya, ia bukanlah suatu kebenaran yang mutlak.

Apakah hukumnya apabila seseorang wanita yang bertudung menghiaskan rambut untuk dirinya sendiri.
– Zainab Amran, Kuala Terengganu.

Tidak mengapa.

Saya dan isteri berhajat menunaikan Fardhu Haji yang mana isteri saya akan membelanjakan duit gajinya sendiri untuk ke sana. Masalahnya saya masih ada ayah dan beliau belum lagi menunaikan fardhu Haji tetapi telah mengerjakan Umrah beberapa tahun dahulu dan jika diikutkan ayah saya masih ada sedikit harta (tanah).

Adakah saya patut membawa ayah saya bersama sedangkan buat masa ini saya hanya berkemampuan menyediakan perbelanjaan untuk diri saya sahaja. Mohon penjelasan dari Tuan.
– Mohd. Azmi Mohd., Air Putih, Kemaman.

Haji diwajibkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan termasuklah kewangan yang mencukupi.







______________________
Terbitan : 26 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com