BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Papa, Radiohead dan Perjuangan [Bahagian 2]

Oleh : Nik Nazmi Nik Ahmad

SA - Suara Anum
NIA - Nurul Izzah Anwar Ibrahim

SA: Khabarnya saudari pernah tersenarai di dalam dean's list di UNITEN. Jadi bagaimana saudari mengimbangkan antara aktiviti sampingan saudari ini dan tuntutan akademik di universiti? Saya pasti ramai mahasiswa-mahasiswi yang ingin mengetahui rahsia saudari.

NIA: Saya tidak pasti sama ada saya ada rahsia atau tidak (tersenyum), kerana saya masih lagi mencari keseimbangan yang benar- benar mencapai hasil yang cemerlang. Alhamdulillah, setakat ini, dengan dorongan dan bantuan dari pelbagai pihak, khususnya rakan- rakan sebaya dan pensyarah-pensyarah saya, pencapaian akademik agak memuaskan.

Tetapi pada masa yang sama saya merasakan ini bukanlah segala- galanya. Masuk tahun kedua ini lebih sukar lagi untuk mengekalkan kecemerlangan ini. Saya mendapat inspirasi daripada Papa saya dan saya cuma melakukan yang terbaik untuk beliau. Mungkin sedikit sebanyak kecemerlangan saya ini dapat memberikan senyuman kepada beliau dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, bukannya mudah, kan? Saya terima sebagai bantuan daripada Allah swt.

SA: Kebanyakan belia menghabiskan masa dengan berseronok, jika tidak belajar. Tetapi saudari dipenuhi dengan pelbagai komitmen. Ada peluang untuk berseronok?

NIA: Tentunya saya kurang masa untuk berseronok dan sebagainya. Tuntutan perjuangan lebih diutamakan dan banyak lagi ruangan untuk saya perbaiki dari semasa ke semasa. Banyak masa juga dihabiskan di dalam pengajian kerana bukan mudah dan saya ada kelemahan, seperti mana-mana pelajar.

Yang pentingnya apabila membuat sesuatu aktiviti itu, kita berasa tenang dan jangan tertekan. Ada seorang rakan saya yang berkata, "Just be yourself, don't try to be someone that you're not."

SA: Meskipun dikatakan sibuk belajar dan sibuk berjuang, khabarnya saudari meminati muzik. Muzik apakah yang menjadi pilihan saudari?

NIA: Saya sebenarnya tiada masa untuk mengikuti muzik-muzik semasa. Jika saya mempunyai masa lapang di rumah, saya akan mendengar album Radiohead, sebuah kumpulan Britain. Saya juga meminati lagu-lagu M. Nasir.

Saya mula meminati Radiohead sejak saya berumur 16 tahun lagi. Saya tertarik dengan keikhlasan mereka di dalam bermain muzik, mereka tidak kisah dengan minat majoriti. Kadangkala lagu-lagu mereka lebih pada hopelessness tapi mereka ada juga menghasilkan lagu Paranoid Android dan Electioneering yang memperihalkan mengenai kerajaan yang tidak mahu mengambil berat akan kemahuan rakyat. Saya merasakan ada sedikit unsur yang menarik dari segi mereka menyatakan pendirian mereka dalam cynicism mereka, di sebalik cynicism mereka terdapat sedikit harapan.

SA: Jadi mungkin perbezaan dari segi minat muzik ini disebabkan latarbelakang perjuangan saudari sendiri, tetapi kebanyakan gadis- gadis muda hari ini meminati kumpulan-kumpulan pop mainstream terutamanya boybands. Saudari tidak meminati mereka?

NIA: Tidak, saya hargai muzik mereka. Kumpulan-kumpulan sebegitu diminati oleh ramai kawan-kawan saya di universiti tetapi bagi saya diri saya lebih sesuai jikalau berdampingan dengan genre alternatif. Ianya tidak seperti konvensional, lebih independen. Agaknya, jika ada orang merasakan ada unsur negatif dalam genre alternatif, bagi saya, kita pandai-pandailah memilih, ada juga unsur negatif dalam lagu boybands seperti cinta - menyerahkan segala-galanya demi cinta dan sebagainya (bernada sinis), pada saya over-rated sedikitlah. Tetapi tidak bermaksud saya ingin memperkecilkan sesiapa, kadangkala kita punya citarasa tersendiri.

SA: Bagaimana dengan nasyid?

NIA: Saya cukup suka dengan lagu Teman Sejati nyanyian kumpulan Brothers. Bagi saya lagu tersebut mempunyai maksud yang begitu melengkapi segala-galanya. Bagi saya teman sejati ini tidak bermaksud teman hidup semata-mata, tetapi maksudnya lebih luas. Lagu ini membawa pelbagai maksud yang dapat saya hayati dan amat saya hargai. Kumpulan Raihan juga memang mempunyai bakat yang cukup hebat sehingga menimbulkan revolusi nasyid di Malaysia.

Tetapi pada masa yang sama kita amat berharap sebagaimana gerakan rakyat di negara lain, para pemuzik dan artis-artis berada di hadapan barisan perubahan serta bergerak bersama rakyat. Dengan itu mereka akan lebih dihargai.

Namun, saya pasti, ramai seniman-seniman di luar sana, bersama kita dalam aspirasi menentang kezaliman.

SA: Bagaimana perasaan awal saudari ketika diundang menulis untuk SuaraAnum.com?

NIA: Ketika saya mula-mula mendapat tawaran dari saudara (Nik Nazmi), saya berasa berbesar hati kerana saya mengikuti tulisan yang saudara hasilkan sebelum ini. Apabila saya dapat terlibat dalam projek ini, yang pentingnya ia terbit dari keikhlasan. Apa yang boleh saya bantu, saya bantu, setakat saya upaya. Pada mulanya saya sendiri tidak berapa yakin dengan mutu tulisan saya, kerana selama ini hasil nukilan saya cumalah untuk sekolah. Saya berharap dapat menyumbang secara konsisten dan apa yang saya sumbangkan itu dapat digunakan untuk mencapai objektif SuaraAnum.com, semoga perubahan dapat dijanakan.

Dan juga tidak dapat saya gambarkan peluang untuk menulis bersama penulis-penulis seperti CK Tan, Uthaya Sankar SB dan lain-lain lagi.

SA: Beralih kita kepada sastera. Saudari meminati sastera, ya? Selain Wilfred Owen yang saudari tulis di dalam majalah web ini, siapakah tokoh-tokoh dunia sastera yang saudari minati?

NIA: Minat saya dalam sastera dinurtured semasa mengambil Kesusasteraan Inggeris dahulu di Assunta. Untuk mendapat gambaran yang lebih tepat mengenai para penulis, kita perlu membaca dan saya tidak banyak membaca. Selepas mengambil subjek tersebut, saya terdedah kepada tulisan Owen, WB Yeats dan Shakespeare, walaupun saya lebih hargai tulisan dua penulis yang awal tadi.

Tulisan Yeats misalnya tidak terlalu terpengaruh dengan romanticism waktu itu. Saya juga ada membaca tulisan Syed Naguib Al-Attas, bukan kesemuanya. Saya suka caranya menulis. Bahasanya cukup indah. Apabila saya membaca tulisannya, membuatkan saya menghargai bahasa kebangsaan kita. Jarang saya merasakan begitu. Saya memang berhajat membaca bukunya Risalah yang disyorkan oleh ayah saya.

SA: Saya sendiri sebagai Editor SuaraAnum.com sering mendapat pertanyaan. Misalnya, awal dahulu Sharaad Kutan dari RadiQRadio, misalnya, agak terperanjat apabila diberitahu bahawa Puteri Reformasi menulis. Tetapi kini saya banyak mendapat soalan yang bertanya mengapa saudari menulis di dalam Bahasa Inggeris, tambah pula Papa saudari dikenali sebagai pejuang bahasa kebangsaan. Tidak terlintaskah untuk menulis di dalam Bahasa Malaysia?

NIA: Insya Allah, saya akan menulis untuk artikel-artikel seterusnya di dalam Bahasa Malaysia. Ini tidak bermaksud saya tidak menghargai atau tidak mahu menulis di dalam Bahasa Malaysia. Tetapi sewaktu saya tulis artikel seperti mengenai Wilfred Owen, saya rasakan lebih sesuai jika saya tulis di dalam Bahasa Inggeris.

SA: Artikel lain?

NIA: Artikel lain yang saya tulis - yang pertama untuk Risalah ABIM. Waktu itu memang mereka galakkan saya menulis di dalam Bahasa Inggeris. Tetapi nantilah, tunggu kemunculan hasil tulisan saya di dalam Bahasa Malaysia.

SA: Apa pandangan saudari mengenai SuaraAnum.com?

NIA: Saya rasakan SuaraAnum.com ialah satu inisiatif yang dapat dipuji. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang sahaja boleh mengoperasikan sebuah majalah seperti tersebut. Pada masa yang sama, penulis-penulis lain yang menyumbang artikel harus dipuji, kerana SuaraAnum.com menjadi wakil kepada golongan muda untuk menyatakan pendirian mereka. Bagi saya ini satu usaha yang amat positif yang dapat menyumbang kepada perkembangan arena penulisan di negara kita. Jika dilihat daripada topik yang disiarkan, majalah web ini memaparkan satu spektrum pandangan yang menarik, yang bersifat multi- faceted. Ia bukan hanya tertumpu pada isu politik atau agama, tetapi ada juga isu sastera, dunia korporat, di mana kita sukar untuk mencari penulis yang menulis isu-isu yang dipaparkan. Ini satu usaha yang amat baik.

SA: Jika hanya dapat memilih satu cita-cita ini, apakah pilihan saudari? Ahli politik, jurutera atau penulis?

NIA: Saya rasanya tidak salah jika saya menjadi seorang jurutera yang aktif berpolitik, dan juga menulis pada masa yang sama.

SA: Tetapi soalan saya hanya satu...

NIA: Saudara, dalam hidup kita ini diberi masa 24 jam. Takkanlah kita hanya hendak bekerja sebagai seorang jurutera, setiap masa dihabiskan di ofis sahaja. Jika diuruskan masa dengan baik, sudah tentu ada masa untuk melakukan perkara yang dekat dengan hati kita... seperti menulis untuk SuaraAnum.com dari masa ke semasa (tersenyum).

SA: Akhir sekali, apakah pesan saudari kepada mahasiswa dan mahasiswi seluruh negara?

NIA: Saya merasakan bahawa perjuangan atau pengorbanan yang telah mahasiswa hari ini lakukan, perlu kita ambil berat. Kita perlu belajar dari sejarah mahasiswa dan mahasiswi 70an kerana keberanian mereka. Kita amat kagum dengan aktivisme mereka dahulu. Hari ini mahasiswa terus berjuang dan pada masa yang sama kita perlu iktiraf cabaran hari ini lebih banyak dengan akta-aktanya, situasi politik yang semuanya berubah. Kita perlu atasi halangan ini; jangan terlalu merasa hampa atau kecewa, sudah banyak pengorbanan dan bakat yang ditunjukkan mahasiswa dan mahasiswi hari ini yang kadangkala kurang mendapat perhatian.

Jangan merasa gentar jikalau kita merasakan perjuangan ini memang sukar. Realiti memang mencabar. Tetapi dengan sokongan dan semangat, jangan rasakan diri kita berseorangan. Insya Allah, kita akan berjaya.

SA: Terima kasih kerana sudi ditemubual oleh kami, meskipun pelbagai masalah...

NIA: Teknikal ya? Saya pun berbesar hati. Kali pertama dalam hidup saya ditemubual dua kali. Semoga saudara pun mendapat pengalaman dari peristiwa ini...

----------------------------------------------------------------------
NIK NAZMI NIK AHMAD, 20, ialah seorang exco Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar. Laman webnya boleh dilawati di http://n3a.9599.org

http://www.suaraanum.com/







______________________
Terbitan : 22 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com