BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Perbahasan Titah Ucapan DYMM Agong- Oleh MP Kemaman

TEKS UCAPAN JUNJUNG KASIH DIATAS TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
OLEH YB ABD RAHMAN YUSOF
AHLI PARLIMEN KAWASAN KEMAMAN

Pada 14hb. Mac. 2002 pukul 5.15ptg. dan bersambong pada 18hb. Mac. 2002 pukul 11.15 pagi

Terima kasih diatas peluang yang diberikan untuk berucap menjunjung kasih keatas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Semoga Allah meRahmati dan memBerkati pemerintahan Baginda dan memulih kembali imej negara yang sedang tercemar angkara perbuatan dan tindakan tidak bertanggongjawab beberapa pemimpin yang sedang berkuasa sekarang.

Tuan Yang di Pertua,

Pada awal Ogos 2001, 5 minggu sebelum peristiwa 11 September di New York dan Washington D.C., kerajaan mengumumkan penangkapan 25 rakyat Malaysia dibawah ISA. Mereka dituduh merancang cuba menjatuhkan kerajaan secara kekerasan dan keganasan tetapi caranya masih belum dipastikan lagi. Kebanyakan mereka terdiri daripada tenaga pengajar sekolah- sekolah Agama dari Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mereka terdiri daripada bekas pejuang Mujahideen di Afghanistan yang pernah menentang penaklukan Komunis Russia dan memperolehi kepakaran dan keupayaan bertempur sebagai perajurit.

Kerajaan juga mendakwa mereka sering berkunjung ke Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kerajaan Afghanistan dan menyerap kefahaman dan pengajaran ala Taliban. Kerajaan mengemukakan kes mereka sebagai cubaan melaksanakan pemerintahan Islam ala Taliban di Malaysia. Tiada bukti dikemukakan untuk dinilai kebenaran pertuduhan yang dibuat. Sehingga hari ini ia masih merupakan pertuduhan yang tidak diterima rakyat melainkan segelintir pemimpin UMNO yang sememangnya merupakan 'pak angguk' kepada pemimpin mereka dan segelintir masyarakat bukan Islam.

Cara pemerintahan Taliban didakwa akan memaksa peng'amalan dan pelaksanaan Islam secara 'ekstrim' dan 'militan' dan guru-guru agama yang ditahan ini dituduh mendokong kefahaman ini. Mereka dituduh akan melancarkan jihad untuk melaksanakan kefahaman ini di Malaysia. Kerajaan secara tersirat mengertikan kefahaman jihad dalam Islam sebagai kefahaman militan, ekstrim dan ganas sedangkan jihad merupakan kewajipan setiap umat Islam untuk mempertahankan agamanya sekiranya diceroboh oleh musuh mereka. Islam cara Taliban digambarkan sebagai mengongkong kebebasan dan merampas hak demokrasi rakyat dan akan memaksa bukan Islam mengamalkan Islam secara kekerasan dan tidak demokratik serta menyamakan amalan ini sama seperti ajaran komunis. Pada mulanya kumpulan ini dinamakan Kumpulan Mujahideen Malaysia tetapi dua minggu kemudian ditukar kepada Kumpulan Militan Malaysia untuk menyesuaikan keperluan agenda tersirat yang sedang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional untuk memusnahkan parti lawan mereka.

Perspektif yang cuba digambarkan keatas tahanan ini ialah mereka adalah kumpulan militan dan ekstrimis Islam, berupaya melakukan kekacauan dan keganasan kerana mendapat latihan dan berpengalaman bertempur di Afghanistan. Mereka dikenal pasti sebagai kumpulan pengganas dan menjadi pengancam kepada keselamatan Negara. Ketua Kumpulan ini pula ialah Nik Adli Nik Aziz anak Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Parti PAS. Jelas tujuan sebenar kumpulan ini ditahan iaitu untuk mengaitkan Kumpulan Militan atau Mujahideen Malaysia yang kononnya menganjurkan kekerasan dan keganasan dengan Parti PAS. Parti PAS cuba disamakan dengan kumpulan ini yang kononnya akan membentuk Negara Islam secara kekerasan, keganasan dan tidak demokratik.

Tuan Yang di Pertua,

Perencanaan pertuduhan terhadap mereka yang berkorban harta dan jiwa mereka untuk mempertahankan umat Islam di Afghanistan dari dijajah oleh rejim komunis Russia amat tidak bertanggongjawab. Ia dirancang semata-mata untuk dijadikannya sebagai cereka keganasan dan dikaitkan dengan PAS bagi menghancurkan Barisan Alternatif.

Selama 5 minggu berturut-turut sebelum peristiwa 11 September kerajaan membelasah dengan teruknya, melalui semua saluran siaraya dan media mengaitkan PAS dan Keadilan dengan falsafah kekerasan dan keganasan selaras dengan konsep Islam yang ekstrim dan militan. Matlamatnya jelas untuk mengalihkan sokongan bukan Melayu dari Keadilan dan Barisan Alternatif dan orang Melayu daripada Parti PAS. Ia merupakan kempen jahat dan berbahaya dengan meniupkan semangat perkauman dan agama untuk memecahbelahkan keharmornian hubungan kaum dan ugama yang sedia ada bagi menimbulkan suasana tegang dan takut dikalangan bukan Melayu dan orang Melayu. Orang bukan Melayu diberi amaran agar berwaspada tujuan sebenar perjuangan orang Melayu dan Islam dalam menegakkan ajaran agama mereka.

Kerajaan membuat pelbagai kenyataan bagi menimbulkan perasaan takut dan tidak selamat dikalangan rakyat. Kenyataan- kenyataan ini banyak yang mengelirukan membuktikan ketiadaan perspektif jelas akan permasaalahan sebenar yang cuba ditonjolkan sekiranya ada. Apa yang jelas ialah kerajaan berkempen memburuk-burukkan Parti Pembangkang seolah-olah kerajaan begitu takut kepada mereka. Amat menghairankan kerajaan yang kononnya kuat setelah mendapat mandat 2 tahun lalu bertindak melulu keatas parti-parti pembangkang yang kewujudan mereka merupakan asas pengamalan sistem demokrasi berparlimen.

Tuan Yang di Pertua,

Pada 20 haribulan Ogos 2001, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan kerajaan akan membentangkan Kertas Putih dalam Parlimen tentang kegiatan Kumpulan Mujahideen Malaysia. Sehingga hari ini pengumuman tersebut hanyalah merupakan omong kosong sahaja. Pada hari yang sama Ketua Polis Negara menyatakan bahawa Kumpulan Mujahideen Malaysia adalah kumpulan yang berasingan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan yang ada di Selatan Filipina. Dengan demikian Kumpulan Mujahideen Malaysia ditegaskan hanya mempunyai agenda nasional sahaja. Penegasan ini walaubagaimanapun ditukar secara tiba-tiba kemudiannya.

Pada 26 Ogos 2001, Perdana Menteri seperti selalunya menyatakan bahawa kerajaan berada dalam dilema. Kumpulan Mujahideen Malaysia sepatutnya didakwa dalam mahkamah tetapi kerajaan tidak dapat menjelas dan menerangkan kegiatan mereka kerana kebatasan peruntukkan undang-undang negara. Ujar beliau lagi ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan tidak mempunyai sebarang bukti yang boleh dikemukakan dalam mahkamah. Kerajaan juga tidak berniat untuk mendakwa mereka. Kerajaan hanya ingin membentuk satu perspektif dan suasana dalam pemikiran rakyat untuk menerima apa sahaja yang dikemukakan dan dicanangkan oleh kerajaan sebagai kebenaran.

Pada 28 Ogos 2001, kerajaan menyatakan keselamatan serantau akan menjadi tajuk utama perbincangan diantara Malaysia dan Indonesia didalam pertemuan pemimpin kedua negara. Untuk pertama kalinya kerajaan mengakui ada hubungan diantara kumpulan militan Islam di Malaysia dan Indonesia walaupun tidak diberi penekanan sebelum ini. Hala tuju tema propaganda kerajaan makin jelas. Isu mendesak kedua buah negara ialah ancaman militan dan ekstrimis Islam. Kerajaan perlu menangani kumpulan Jihad Islam yang kononnya akan menggunakan kekerasan dan keganasan untuk mengguling kerajaan yang sah dikedua buah negara sepertimana yang dilakukan oleh Taliban di Afghanistan. Gaya dan cara kerajaan menyampaikan keadaan dan suasana secara meluas dan menyeluruh melalui seluruh siaraya dan media perdana bertujuan membentuk dan membina minda rakyat agar bersedia menerima bakal peristiwa yang dijangkakan berlaku mempunyai tema Islam yang militan, ekstrim, keras, ganas, dan ada kaitan dengan Taliban dan Afghanistan.

Pada 9hb. September 2001, Presiden PAS menyatakan bahawa kerajaan sengaja mengaitkan Kumpulan Mujahideen Malaysia dengan PAS untuk mengharamkan Parti tersebut. Semua ini terjadi dalam konteks sebelum peristiwa 11 September. Bukankah ini amat luar biasa dan menakjubkan? Kebolehan menelaah peristiwa yang akan menjadi kenyataan.

Tuan Yang di Pertua,

Dua hari berlalu, pada pagi 11 September 2001 Bangunan Berkembar Perdagangan Dunia di New York diranapkan dan sebahagian dari bangunan Pentagon di Washinton dimusnahkan. Ia berlaku pada waktu perdana dan mendapat liputan secara langsung keseluruh dunia. Tiba-tiba Islam yang militan, ekstrim, keras, ganas, dan ada kaitan dengan Taliban dan Afghanistan menjadi tema agenda politik dunia semasa sama seperti yang dicanangkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Mulai 11 September hingga awal Disember 2001 kerajaan Barisan Nasional yang sedang tenat kembali pulih dan ramai orang amat tertarik dengan perspektif dan strategi kerajaan sebelum itu. Cukup menakjubkan. Saya tertanya-tanya bagaimana Perdana Menteri boleh menjangkakan satu kejadian seperti 11 September yang mempunyai tema yang sama dalam semua segi, Islam yang militan, keras, ekstrim, ganas dan ada kaitan dengan Taliban dan Afghanistan seolah-olah beliau diberitahu lebih awal sebelum peristiwa ini menjadi kenyataan. Kerajaan seolah-olah berjaya menangani masaalah ini sebelum terjadi. Malah digambarkan kerajaan lebih bijak dari Amerika Syarikat yang terpaksa melalui tragedi pahit dan hitam pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini. Semua orang mengucap tahniah kepada Perdana Menteri diatas kebolehan beliau memintas peristiwa sebelum terjadi. Adakah kerana negara mempunyai ISA dan apakah itu sahaja yang beliau punyai?

Malah Perdana Menteri bermegah kononnya Malaysia patut mengajar Amerika Syarikat cara polis menumpas kumpulan pengganas untuk melindungi keselamatan negara. Beliau dan seluruh jentera kerajaan dengan hebat memberi alasan dan mengjustifikasi kegunaan ISA. Tiba-tiba kelihatan seolah-olah semua orang bersetuju dengan alasan yang diberikan. Seolah-olah Amerika Syarikat pun perlu ada ISA juga. Sebahagian daripada masyarakat Melayu terpengaruh dan yakin dengan alasan yang diberikan dan mula menjauhkan diri dan mengalih sokongan daripada PAS dan Barisan Alternatif. Masyarakat bukan Melayu pula mulai sangsi dan takut kepada Islam dan sebahagian besar meninggalkan PAS dan Barisan Alternatif. Beberapa minggu kemudian DAP dipetik sebagai berkata, 'penerusan desakan PAS untuk pembentukan Negara Islam menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan Barisan Alternatif'. PBS pula mengambil keputusan memasuki Barisan Nasional. Walaupun semua orang tahu bagaimana peristiwa 11 September berlaku tetapi masyarakat bukan Melayu lebih bersedia menerima perspektif yang dikemukakan oleh kerajaan. Mencurah dengan kemenangan kerajaan mengisytihar Malaysia sebagai Negara Islam.

Tuan Yang di Pertua,

Apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan PAS, Keadilan dan kerajaan mengambil pendirian yang sama, mengutuk tindakan Amerika Syarikat menyerang rakyat Afghanistan yang tidak berdosa. Presiden PAS dan Perdana Menteri menyifatkan serangan terhadap Afghanistan sebagai serangan terhadap umat Islam dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Walaubagaimanapun PAS dan Barisan Alternatif diberi gambaran kepada dunia bahawa pendirian mereka adalah agresif dan militan dan mengambil kesempatan perhimpunan dihadapan Kedutaan Amerika Syarikat sebagai buktinya. Untuk menegaskan lagi kedudukan tersebut lebih ramai ahli Kumpulan Mujahideen Malaysia ditahan. Niat sebenar jelas. Ia dicorak untuk mengancam dan mengugut orang Melayu dan Islam dari menyokong Parti PAS dan Keadilan dan mengalih sokongan mereka dari parti tersebut. Ini akan mendorong lagi paksi perkauman diantara Melayu dan bukan Melayu. Dengan ini bukan Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan kembali kepada parti perkauman masing-masing dan tidak lagi menyokong parti pelbagai kaum seperti Keadilan. Bersenjatakan dengan peristiwa 11 September Perdana Menteri memperhebatkan lagi pemburuan terhadap kononnya pengganas Islam yang sengaja dikaitkan dengan PAS dengan demikian dalam proses tindakan keras tersebut kerajaan berharap mendapat sokongan dan kesetiaan bukan Melayu.

Parti-parti pembangkang dinafikan langsung dari mencapai masyarakat dan penyokong mereka untuk diberi penerangan. Ceramah-ceramah parti pembangkang diharamkan dalam suasana penuh tekanan dan menindas. Dalam masa yang sama kerajaan terus menyerang dengan kejam tanpa belas kasihan terhadap masyarakat Melayu dan Islam. Serangan berterusan hingga hari ini dan merebak pula kepada ulamak dan pembangunan sekolah-sekolah ugama yang dianggap sebagai sarang kepada militan, ekstrim dan keganasan Islam. Ulamak dianggap sebagai puak radikal dan tidak layak memerintah dan diluahkan dalam forum antarabangsa untuk ditelaah oleh musuh-musuh Islam sendiri. Tujuannya makin jelas. Memusnahkan Parti PAS yang menjadi tunjang utama Barisan Alternatif dan dengan sendirinya akan memusnahkan gabungan Barisan Alternatif. Rakyat Malaysia mesti dinafikan pilihan alternatif dimasa hadapan.

Pada mulanya tindakan kerajaan terhadap militan Islam mendapat pujian dari Amerika Syarikat sehingga Dutanya Puan Marie Huhtala mengeluarkan kenyataan yang amat memberangsangkan memuji Malaysia diatas kerjasama yang diberikan dalam menangani keganasan. Kerajaan mengambil kesempatan sokongan Amerika Syarikat secara agresif mengawal dan mengawas sepenuhnya kegiatan rakyat baik pelajar, pensyarah, kakitangan kerajaan, pekerja termasuk menindas, menekan dan menfitnah parti-parti pembangkang yang bertentangan sama sekali dengan amalan demokrasi berparlimen. Jentera kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk mengugut rakyat supaya menyokong kerajaan atas nama memerangi keganasan.

Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia tidak lagi melambangkan ancaman kepada demokrasi tetapi kerajaan sendiri yang bertindak sebagai kumpulan pengganas yang memusnahkan segala sisa-sisa demokrasi yang masih ada atas alasan memerangi keganasan. Entah kenapa kerajaan merasa cukup terancam sehingga terpaksa bertindak secara agresif terhadap masyarakat Melayu dan Islam. Walaupun mendapat faedah dari peristiwa 11 September kerajaan merasa tidak selamat terus mendesak kepatuhan dan lebih kawalan keatas masyarakat Melayu. Dalam usaha untuk mencapai maksud ini kerajaan sanggup menginjak segala asas demokrasi dan amalan Islam yang terjamin dalam perlembagaan.

Tuan Yang di Pertua,

Beberapa hari sebelum pilihanraya kecil di Indera Kayangan tiba-tiba sesuatu yang diluar dugaan berlaku dan terbongkar. 15 orang ditangkap di Singapura diikuti dengan penangkapan 13 orang lagi di Malaysia. Akhbar 'The Star' dalam laporannya pada 6hb. Januari 2002 menyatakan kerajaan menahan 13 Kumpulan Militan Malaysia di bawah ISA. Untuk pertama kalinya kerajaan melaporkan beberapa tahanan tersebut mempunyai hubungan dengan Kumpulan Al-Qaeda melalui Kumpulan Militan Indonesia. Akhbar 'The Star' seterusnya melaporkan berikut:

"Ketua Polis Negara memberitahu... 'Polis mengesahkan laporan beberapa ahli Kumpulan Militan Malaysia mempunyai hubungan dengan Zacarias Moussaoui, seorang Maghribi warga Perancis yang sedang didakwa oleh Amerika Syarikat kerana disyaki terlibat dengan Al-Qaeda dalam rampasan dua buah kapal terbang awam yang digunakan untuk menyerang Bangunan Berkembar Perdagangan Dunia di New York pada 11 September. Semakan dengan Jabatan Imigresyen mengesahkan bahawa Zacarias Moussaoui berada dalam negara antara 4 September 2000, 15 September 2000 dan 5 Oktober 2000. Polis juga sedang menyiasat salah seorang daripada mereka yang disyaki mempunyai hubungan dengan Khalid al Midhar dan Nawal al Hazmi yang disyaki memandu kapalterbang yang melanggar dan terhempas di Pentagon"

Akhbar 'The Star' seterusnya melaporkan 13 orang yang ditahan mempunyai hubungan dengan Kumpulan Militan Malaysia tetapi Ketua Polis Negara dilaporkan dalam akhbar yang sama menyatakan mereka terdiri dari sayap lain daripada Kumpulan Militan Malaysia. Polis juga mendakwa berjaya membongkar kononnya sayap baru Kumpulan Militan Malaysia yang bergerak diseluruh negara termasok Singapura dimana sebahagiannya sudah ditangkap.

Tujuan kenyataan ini jelas. Ketua Polis Negara cuba mengaitkan penangkapan ini dengan Kumpulan Militan Malaysia selaras dengan skrip kerajaan tetapi terpaksa mengakui bahawa penangkapan ini berlainan sama sekali dengan ahli Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia yang telah ditangkap sebelum ini. Perisik Amerika Syarikat difahamkan sudah mengenal pasti seorang warga Malaysia dan Al-Qaeda menjadi perancang utama serangan 11 September di Amerika Syarikat. Ketua Polis Negara untuk pertama kalinya mengakui ada hubungan diantara beberapa rakyat Malaysia dengan Al-Qaeda sedangkan pada 31hb. Januari 2001 Menteri Luar menafikan kewujudan Al-Qaeda dalam negara. Yang menariknya kesemua kenyataan yang dibuat cuba diberi tanggapan bahawa Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia bertanggongjawab. Seolah-olah Kumpulan Mujahideen Malaysia dan Al-Qaeda ada hubungan. Ini tidak benar dan diolah bertujuan untuk menipu. Strategi kerajaan cuba memperakui hanya wujud satu kumpulan militan sahaja dalam negara iaitu Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia yang mempunyai kaitan dengan PAS.

Apabila Kumpulan Jemaah Islamiah didedahkan, hasil daripada maklumat yang timbul dari Amerika Syarikat dan Singapura bukan dari hasil siasatan bebas dalaman, kerajaan cuba mengolah strategi bagi meletakkan kumpulan yang didakwa sayap kepada Al-Qaeda ini dibelakang Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia. Ini dilakukan semata-mata untuk meneruskan propaganda jahat kerajaan untuk mengaitkan PAS dan Barisan Alternatif dengan keganasan antarabangsa pula. Pada mulanya ia berjalan dengan lancar tetapi terhenti secara tiba-tiba apabila bersiri-siri rencana akhbar, majalah dan televisyen Amerika Syarikat dan Singapura mengaitkan Al-Qaeda bukan dengan Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia tetapi kepada satu kumpulan baru yang tidak pernah disebut oleh kerajaan sebelum ini iaitu Jemaah Islamiah.

Tuan Yang di Pertua,

Pada 24 Januari 2002, akhbar 'Straits Times' melaporkan: Pada mulanya mereka berpendapat yang ditangkap adalah anggota Kumpulan Militan Malysia .... tetapi ekoran siasatan baru-baru ini gambaran jelas telah timbul. Kumpulan Militan Malaysia dan Jemaah Islamiah adalah dua kumpulan yang berlainan.

Risikan Amerika Syarikat mendakwa Jemaah Islamiah adalah sayap Al-Qaeda beroperasi di Singapura, Malaysia dan Indonesia dan beribu pejabat di Malaysia. Kumpulan Militan Malaysia jika wujud sekalipun tidak ada kena mengena langsung dengan Al-Qaeda walaupun Ketua Polis Negara cuba mengaitkan Kumpulan Jemaah Islamiah sebagai 'sayap lain' Kumpulan Militan Malaysia. Seluruh perancangan dan kempen rapi yang di okestra oleh kerajaan bagi mengaitkan semua kegiatan kekerasan, keganasan dan militan Islam kepada Kumpulan Militan Malaysia berkecai.

Pengesahan perhubungan diantara Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda dan bukan Kumpulan Militan Malaysia menimbulkan masaalah besar kepada negara bagi menjelaskan kedudukan sebenar kerajaan kepada negara yang menerima padah dalam serangan keatas Amerika Syarikat. Akhbar-akhbar dan majalah-majalah antarabangsa dengan ganas menyerang dan memaparkan Malaysia terlibat dalam serangan 11 September di Amerika Syarikat.

Pertamanya dari Jane Intelligence Review yang mengungkitkan isu sekiranya kumpulan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda ditahan lebih awal mungkin serangan pada 11 September keatas Amerika Syarikat tidak akan berlaku. Untuk ini kita perlu menjawab beberapa persoalan yang berkaitan.

Kenapa kerajaan tidak mendedahkan kumpulan Jemaah Islamiah lebih awal atau sama masa dengan pendedahan Kumpulan Mujahideen Malaysia. Perlu diingatkan Kumpulan Mujahideen Malaysia didedahkan sebelum 11 September. Bagaimana kononnya 'sayap lain' Kumpulan Mujahideen Malaysia iaitu Jemaah Islamiah tidak diketahui sedangkan ahli dan ketuanya sekali Nik Adli Nik Aziz berada dalam tahanan polis sebelum 11 September. Tiada jawapan konkrit diberikan melainkan alasan bahawa ahli Al-Qaeda masuk negara sebagai pelancong dan kerajaan tidak berupaya menahan semua pelancong. Ini satu alasan nipis bertujuan mengalih pandangan dari menghadapi isu sebenar.

Gambaran sekarang jelas kumpulan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda tidak ada kaitan langsung dengan Kumpulan Mujahideen Malaysia. Watak ahli kumpulan ini berlainan sama sekali. Ahli Kumpulan Mujahideen Malaysia terdiri dari guru-guru sekolah Agama berbanding dengan ahli kumpulan Jemaah Islamiah yang terdiri daripada golongan elit berpendidikan Barat, mempunyai kecekapan berorganisasi, kepimpinan dan pengurusan. Mereka memahami urusniaga perdagangan antarabangsa dan berupaya menggunakan maklumat untuk perancangan perniagaan dan ketenteraan. Mereka menggunakan 'tempat selamat' untuk penginapan dan tempat perancangan mereka. Mereka memahami jadual perjalanan antarabangsa dan pengurusan harta negara. Mereka terdiri dari bekas pegawai perisikan tentera, peniaga, ahli akademi, jurutera dan sebagainya. Mereka mempamerkan satu disiplin beroperasi dibawah satu struktur perintah tidak berbeza dengan oraganisasi tentera. Mereka bertepatan dengan mereka yang berupaya beroperasi secara berdikari untuk misi tertentu baik ketenteraan atau politik dan dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran setempat dan antarabangsa. Kemungkinankah mereka kakitangan perisikan dalam pelbagaian wajah dilatih untuk melaksanakan misi tertentu? Harap mendapat penjelasan.

Pengesahan kerajaan bahawa memang wujud operasi Al-Qaeda di Malaysia dengan tiba-tiba menimbulkan masaalah baru kepada negara yang terpaksa memikul tanggongjawabnya. Negara bukan lagi menangani kononnya masaalah kumpulan militan atau ekstrimis Islam dalam negara tetapi lebih tepat lagi negara sudah dilabel sebagai negara pengganas. Kerajaan mungkin menafikan perihal negara sudah dianggap sebagai negara pengganas tetapi itulah yang ditakrif dan ditanggap oleh dunia hari ini. Tanggapan ini amat ketara sekali terutama didunia luar termasuk pelabur asing.

Tuan Yang di Pertua,

Persoalan besar yang timbul sekarang ialah apakah kerajaan sengaja mencipta Kumpulan Mujahideen Malaysia sebagai sebahagian dari penerusan strategi untuk mengalih pandangan dan menipu bagi menyembunyi operasi sebenar Jemaah Islamiah sayap kepada Al-Qaeda. Dengan ini kerajaan dapat meletakkan pertuduhan kepada PAS dan Barisan Alternatif sebagai terlibat dengan keganasan antarabangsa dan seterusnya memusnahkan kredibiliti PAS dan Barisan Alternatif. Tidak mengejutkan sekiranya akan ada tangkapan keatas pimpinan PAS dan Keadilan yang didakwa mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas antarabangsa dalam masa terdekat untuk meyakinkan dakwaan tersebut.

Bertolak dengan fakta bahawa Kuala Lumpur merupakan pusat pengumpulan maklumat dan kumpulan ini sentiasa bertukar maklumat sesama mereka disini kemungkinankah orang-orang tertentu yang mempunyai kedudukan penting dalam negara mendapat maklumat terlebih dahulu tentang rancangan serangan yang bermakna keatas Amerika Syarikat akan dilakukan. Sekiranya mereka mempunyai maklumat terlebih dahulu maka mereka merencana satu strategi bagi meletakkan kesalahan kepada PAS dan Keadilan dengan merekacipta sebuah oraganisasi bernama Kumpulan Mujahideen Malaysia dan dikaitkan dengan PAS supaya kesalahan dapat dialihkan daripada kerajaan. Kesannya, sekiranya ada tindak balas dari kerajaan dengan sokongan Amerika Syarikat mereka dapat menghapus dan menghancurkan PAS dan Barisan alternatif. Dibawah senario ini ada anggapan bahawa beberapa individu utama tertentu membantu Al-Qaeda dalam operasi mereka terhadap Amerika Syarikat terutamanya dari segi menyediakan sumber kewangan dan logistik. Kemungkinan ini dibayangkan secara tersirat dan terbuka dalam laporan yang dikeluarkan dari Amerika Syarikat oleh Federal Bereau of Investigation [FBI] dan dilaporkan dalam Jane Intelligence Weekly, Newsweek, Times dan akhbar antarabangsa seperti Washington Post, Wall Street Journal, New York Times, Los Angeles Times dan sebagainya.

Tuan Yang di Pertua,

Sekiranya apa yang dilaporkan oleh media antarabangsa itu benar maka Malaysia berada di persimpangan jalan ditakrif sebagai negara pengganas bukan kerana kuwujudan Kumpulan Mujahideen atau Militan Malaysia tetapi kerana Malaysia membiar sempadannya digunakan sebagai pengkalan kepada kononnya pengganas antarabangsa. Ia bukan lagi isu Kumpulan Mujahiden Malaysia sebagai kumpulan pengganas tetapi Malaysia sebagai negara pengganas. Kalau itulah yang diklasifikasikan maka negara tidak akan dapat lagi menarik pelaburan asing dan pelabur sedia ada akan meninggalkan negara. Ini akan melumpuhkan ekonomi negara sepertimana yang sedang berlaku sekarang. Malah saya percayai apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang dimana lebih 30,000 orang sudah kehilangan pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi adalah akibat dari kesangsian mereka terhadap kerajaan selain dari kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat. Kebanyakan syarikat sederhana dan kecil sudah membayangkan mereka akan meninggalkan negara dan tidak kesini lagi. Dan ini hanya permulaan apa yang akan berlaku.

Risiko terhadap negara amat besar dan dianggarkan menonjol dalam beberapa bulan akan datang. Sekiranya ini berlaku maka kesilapan mesti diletakkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional dan bukan parti pembangkang seperti mana yang cuba dicanangkan. Amerika Syarikat secara langsung atau tidak langsung telah membantu negara menjadi sebagai sebuah kuasa ekonomi dan mereka berupaya juga melemas dan memusnahkannya jika sekiranya mereka mengambil tindakan membalas dendam diatas penglibatan dan tindakan kita dalam peristiwa serangan 11 September.

Sekarang jelas kenapa kerajaan Barisan Nasional terpaksa bertindak terhadap PAS dan Barisan Alternatif. Satu gambaran keadaan perlu ditonjolkan untuk tidak menyalahkan kerajaan apabila musibah yang akan melanda negara berlaku tetapi penyebab musibah ini mesti datang dari PAS dan Barisan Alternatif dan konsep Islamnya. Kerajaan mesti menyembunyikan penglibatan Al-Qaeda dalam negara dalam serangan 11 September. Tindakan ini dan hanya ini dipercayai dapat mempastikan survival Barisan Nasional.

Tuan Yang di Pertua,

Adakah kita berada atas landasan kemusnahan ekonomi? Jawapannya jelas.

Peristiwa 11 Septempter akan menjadi saat genting bagi Malaysia. Negara disyaki terlibat dalam serangan 11 September oleh Amerika Syarikat. Yang lain pun berkongsi tanggapan ini. Kerajaan akan menafikannya tetapi itulah tanggapan dunia sekarang. Melihat kepada penemuan-penemuan akhir-akhir ini kelihatan lebih banyak menuding kepada penglibatan negara dalam peristiwa 11 September. Serangan media antarabangsa keatas negara masih belum reda setakat ini. Cuma kerajaan sahaja yang menutup penyebarannya. Malaysia, Al-Qaeda, Jemaah Islamiah itulah yang disebut-sebut sebagai bertanggongjawab dan tidak kumpulan lain seperti Kumpulan Militan atau Mujahideen Malaysia yang cuba digambarkan oleh kerajaan.

Amerika Syarikat tidak berminat kepada Kumpulan Mujahideen Malaysia. Mereka berminat kepada Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah. Mereka tidak berminat kepada Nik Adli Nik Aziz. Mereka tidak berminat kepada PAS. Mereka berminat kepada Malaysia yang didakwa kononnya membenarkan negara sebagai landasan pelancaran utama serangan 11 September terhadap Amerika Syarikat. Mereka berminat kepada Yazid Shufaat, Ketua operasi Jemaah Islamiah, sayap Al-Qaeda di Malaysia dan Singapura, serta hubungannya dengan orang-orang tertentu dan peranan utama beliau mainkan dalam serangan 11 September. FBI menyatakan semua ini dan dilaporkan oleh media-media antarabangsa. Melainkan kerajaan dapat membuktikan tanggapan mereka salah maka negara berada dalam keadaan tidak selamat.

Lihat kepada rekod pencabulan hak asasi kemanusiaan negara. Pelabur Amerika Syarikat tinggal dan tidak memilih negara sebagai tempat pelaburan sebab rekod buruk hak asasi kemanusiaan negara. Kelihatan kita tidak dapat memberi reaksi yang tepat melainkan menyatakan mereka silap meninggalkan negara. Mereka mungkin silap tetapi mereka tidak dapat melabur dalam negara yang menindas hak demokrasi rakyat. Disebabkan pencabulan hak asasi kemanusiaan dan penyalahgunaan sistem perundangan dan kehakiman negara maka Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai penjenayah oleh pemimpin negara dicalonkan sebagai salah seorang penerima hadiah Nobel Keamanan. Tidak ada petanda yang lebih memusnahkan negara daripada itu. Dalam hal ini saya ingin menyatakan perasaan hasad dengki pimpinan negara terhadap orang-orang tertentu yang sudah sampai ketahap begitu rendah sehingga sanggup menaung sesiapa sahaja yang sanggup memfitnah sesama Islam. Ia dilakukan untuk mencemar nama baik orang-orang tertentu. Namakan siapa yang di tuduh memberi RM38 juta dan organisasi mana yang menerima yang kononnya menggalakkan kegiatan keganasan di Amerika Syarikat. Difahamkan sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan Perdana Menteri menjadi tetamu dan pengucaptama Konvensyen Islamic Society of North America di Chicago, Amerika Syarikat atau sebuah lagi pertubuhan Islam di Amerika Syarikat yang menganugerahkan bintang Lariba kepada Perdana Menteri.

Sekarang pertuduhan baru telah dilemparkan keatas negara iaitu peranan kita samaada utama atau sampingan kepada perancangan peristiwa 11 September. Apalagi pertuduhan lain yang akan dilemparkan kepada Malaysia. Mengambil kira pandangan Pentagon bahawa mereka amat terkejut atas tahap kecanggihan operasi Al-Qaeda di Malaysia dan tindakan mungkin akan diambil dimasa hadapan. Perdana Menteri pula menyatakan di London yang dilaporkan oleh Bernama bahawa beliau tidak percaya ada keperluan untuk menakluk negara lain untuk menghapus rangkaian pengganas. Apakah beliau cuba memberitahu sesuatu? Perdana Menteri perlu memberitahu kepada Parlimen nasib masa depan negara jika ada.

Sehingga rekod penglibatan negara dalam peristiwa 11 September dan hak asasi kemanusiaan diperbetulkan Malaysia pasti berada atas landasan kemusnahan ekonomi. Rasuah yang pada satu ketika dahulu dinafikan berlaku sekarang diselongkar keluar dari almari. Kerajaan tahu tanpa pelabur asing perkembangan ekonomi negara akan lembab dan mengucup. Kerajaan tidak berupaya untuk menyediakan pekerjaan kepada kebanjiran begitu besar tenaga pekerja dalam pasaran sekarang. Kini negara sedang menghadapi masaalah yang lebih besar lagi iaitu penglibatan dalam keganasan antarabangsa dan pencabulan hak asasi kemanusiaan.

Tuan Yang di Pertua,

Dengan ini saya sekali lagi menjunjung kasih keatas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Semoga Allah memberi Taufik dan HidayahNYA keatas Baginda sekeluarga. Semoga Allah menyelamatkan rakyat Malaysia dari angkara tidak bertanggongjawab mereka yang sedang berkuasa sekarang. Sekian Terima kasih

YB Abd Rahman Yusof
Ahli Parlimen Kawasan Kemaman
mpkemaman@hotmail.com







______________________
Terbitan : 19 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com