BESUT: Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya menghadapi serangan yang hebat oleh pembangkang dari segenap penjuru. Namun begitu, beliau menyifatkan serangan terhadap Kerajaan Negeri itu sebagai satu ujian yang perlu ditempuhi secara berhemah. "Kita (kerajaan) menghadapi ujian kewangan dan media massa," katanya ketika berucap di Majlis Dialog Perdana bersama pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri, di Dewan Sivik Gong Kemuntong, di sini baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri menghadapi ujian disekat kewangan royalti petroleum yang wajib mengikut perjanjian sejak 1978. Menurutnya, usaha menyekat hak mendapat royalti bertujuan melemahkan pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang. Namun begitu, katanya Kerajaan Negeri masih mampu bertahan dan mentadbir negeri dengan baik. Menteri Besar turut mengkritik sikap pengamal media massa yang pro Kerajaan Pusat kerana sentiasa menyerang kepimpinan kerajaan negeri.
"Pihak media massa sengaja mencari kelemahan dengan mereka-reka isu yang tidak benar," tegasnya. Katanya, banyak perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri mengikut kehendak Islam tidak dihebah dan disembunyikan. Justeru itu, kata beliau, kedua-dua ujian kewangan dan media massa itu tanda kejayaan Kerajaan Negeri dalam tempoh dua tahun pemerintahannya. Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Ku Abdul Azah Syed Alwee, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.
______________________
Terbitan : 29 Mac 2002
Ke atas
Home