MARANG: Pesuruhjaya Hisbah insya Allah akan dilantik tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas, Tun Dato’ Haji Mohd. Salleh Abas dalam Dialog Perdana di Daerah Marang bulan lalu. Tun Dato’ Mohd. Salleh, menjawab satu soalan mengenai pelaksanaan Suruhanjaya Hisbah dalam dialog yang dihadiri oleh Menteri Besar dan ahli-ahli Exco lain.
Tun Dato’ Mod. Salleh berkata, tiada sebarang kegiatan dapat dibuat selagi Pesuruhjaya Hisbah tidak dilantik. "Hanya Pesuruhjaya Hisbah yang berkuasa mengangkat pegawai-pegawai dan mengarahkan sebarang tindakan dibuat," jelasnya. Bagaimana pun katanya, insya Allah seorang Pesuruhjaya Hisbah akan dilantik tidak lama lagi.
Tun Dato’ Mohd. Salleh juga menjelaskan bahawa Suruhanjaya Hisbah tidak akan mengambil tugas polis dan Badan Pencegah Rasuah. Ia tidak akan menjalankan siasatan mengenai jenayah dan amalan rasuah yang diadukan oleh mana-mana pihak. Suruhanjaya Hisbah berkuasa menyiasat aduan orang ramai berhubungan dengan sebarang penganiayaan dan penyelewengan terhadap hak orang ramai dan sebagainya.
Ia tidak akan terlibat dalam kes salah laku pegawai kerajaan, kerana ia terletak di bawah bidang kuasa peraturan am.Kerajaan akan mengenakan tindakan kepada mereka mengikut peraturan itu. Kuasa Hisbah, katanya, ialah mengenai hak orang ramai yang terasa ia telah teraniaya atau haknya dinafikan.
Contohnya seorang yang berhak mendapat hak milik atas sebidang tanah, tiba-tiba hak milik itu diberi kepada orang lain. "Hisbah bertanggungjawab menyiasat hal seperti ini dan akan cuba membetulkan mengikut budibicaranya," jelas Tun Dato’ Mohd. Salleh. Beliau berkata, pihaknya banyak menerima aduan sedemikian. Setakat ini siasatan awal sudah pun mulai dibuat oleh pegawai di suruhanjaya itu tetapi tindakan yang menyeluruh hanya akan dibuat selepas Pesuruhanjaya dilantik nanti.
______________________
Terbitan : 29 Mac 2002
Ke atas
Home