Oleh SUBKY ABDUL LATIF
APAKAH ujian atau cabaran yang sebenarnya? Yang jelas dua Menteri Besar - Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Kelantan dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari Terengganu - telah ditohmah dengan dakwaan sama seperti Yahudi oleh pemimpin dari Selangor. Adakah wibawa pembuat tohmah itu benar-benar seorang penganjur adalah satu hal yang lain tetapi seseorang itu mestilah bersedia bertanggungjawab atas tohmahnya itu.
Bagi masyarakat Islam, tuduhan Yahudi terhadap individu adalah berat kerana Yahudi adalah makluk yang Allah laknat. Sekali pun Allah laknat Yahudi tetapi Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad terpaksa membuat penjelasan apabila beliau cuba dikaitkan sebagai anti Yahudi satu ketika dulu. Ertinya mengaitkan seseorang itu dengan Yahudi, baik menyamakannya dengan Yahudi atau anti Yahudi adalah satu perkara yang berat mengikut perspektif masing-masing.
Kerana kekeliruan tadi, masyarakat Yahudi sedunia telah menyelar Dr. Mahathir dan Dr. Mahathir terpaksa membuat penjelasan dan minta maaf. Tanpa mengaitkan isu itu dengan agama, Dr. Mahathir tidak mahu dirinya, politik dan pengaruhnya dikaitkan dengan anti Yahudi atau anti Semetik walaupun kadang-kadang beliau membuat kenyataan yang keras terhadap Israel.
Justeru itu adakah ia menyenangkan Perdana Menteri apabila ada orang-orang yang dikira pengikutnya membuat apa-apa kenyataan yang memungkinkan ia dikaitkan sebagai anti Yahudi? Orang yang dikatakan menyamakan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kelantan dengan Yahudi, dengan sendirinya adalah berfikiran negatif tentang Yahudi.
Tohmahan
Apakah orang itu bersedia untuk berhadapan dengan Yahudi? Orang-orang yang berjuang atas asas Islam tidak pernah gentar apabila berhadapan dengan Yahudi. Tetapi pihak lain terutama yang memerlukan pelaburan barat sentiasa memikirkan risiko apabila berhadapan dengan kepentingan Yahudi. Sebagai contoh pernah majalah Wanita menggunakan gambar muka depannya dengan wajah seorang serikandi Palestin. Majalah itu pun menerima surat dari agensi iklan menyatakan bahawa pihaknya tidak akan meneruskan iklan jika gambar seperti itu disiarkan lagi.
Apakah pemimpin Selangor itu bersedia untuk menjadi wira anti Yahudi dengan melemparkan tohmah menyamakan dua Menteri Besar itu dengan Yahudi? Mengandaikan sesebuah pertubuhan macam Yahudi adalah berbeza dengan menyamakan mana-mana individu yang bukan Yahudi dengan Yahudi apatah lagi individu itu orang Islam.
Membuat andaian atau tuduhan secara umum bahawa ada orang Islam jadi macam Yahudi adalah berlainan dengan mentohmah individu tertentu. Hadith ada menyebut bahawa ibu bapalah menjadikan anak yang tidak berdosa itu sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ertinya tidak mustahil anak orang Islam jadi Yahudi. Tetapi menuduh mana-mana individu Islam sebagai Yahudi mestilah dipertanggungjawabkan.
Politik kafir mengkafir masih hidup. Pihak A menuduh pihak B mengkafirkan pihak A. Pihak B pula berkata, pihak A yang kata pihak B tuduh pihak A kafir. Dalam apa keadaan pun pihak B menafikan ia mengkafirkan orang lain atau ia berusaha keras mengelakkan dari dikaitkan dengan isu kafir mengkafirkan. Ertinya ia mahu keluar dari karenah isu itu.
Isu kafir mengkafir
Menyama atau menuduh seseorag itu Yahudi adalah tohmah yang lebih berat dari tohmah kafir mengkafir. Kafir adalah berat tetapi tidak seberat Yahudi. Dalam kafir ada kafir zimmi dan ada harbi. Dalam Yahudi mana ada Yahudi zimmi atau Yahudi harbi. Kalau antara Yahudi itu zimmi, maka ia disebut kafir zimmi bukan Yahudi zimmi.
Kita selalu diminta supaya berhati-hati melabelkan sesuatu terhadap seseorang terutama menentukan orang itu sah itu dan sah ini dalam perkara yang Allah saja boleh menentukan sesuatu. Sekali pun seorang yang tidak pernah beramal dengan amal orang-orang syurga, kita tidak boleh kata si polan itu sah ahli neraka walaupun ia mungkin begitu. Allah saja yang menentukan dia ahli neraka atau ahli syurga. Apa yang kita boleh kata ialah tanda-tanda ahli neraka itu begitu dan tanda ahli syurga itu begini. Itu saja yang boleh.
Dalam ketelanjuran tohmah terhadap dua menteri besar itu, ia dikira satu benda yang begitu berat. Ia mempunyai niat yang tidak baik terhadap kedua-duanya yang pada masa ini dihormati dan disanjungi oleh orang ramai dalam dan luar negeri sebagai pemimpin Islam dan tokoh ulama’ pula. Mereka tidak mendakwa diri mereka ulama’ tetapi apabila mereka singgah di mana-mana masjid, maka berebut-rebut orang di masjid itu untuk bersalam dan seboleh-bolehnya mereka hendak menjadi makmum kepadanya.
Apa keduanya buat dalam rumah mereka tidak diketahui, tetapi di khalayak ramai mereka adalah pemimpin dan tuan guru orang Islam. Masa mereka banyak mengajar dan menyeru orang ramai supaya mengabdikan diri kepada Allah. Bila tidak memancing dan tidak menyangkul selepas balik dari pejabat, mereka membaca kitab. Kedua-duanya tidak menjanjikan apa-apa kepada sesiapa yang datang ke kuliahnya. Tetapi ribuan manusia datang mendengar kuliah mereka di mana-mana saja.
Orang Islam yang tidak membezakan dunia dan akhirat adalah bersama mereka. Yang tidak menerima keduanya adalah orang yang tidak suka ulama’ menyertai politik. Jika dulu golongan penentang berkata, politik dan agama tidak boleh disatukan. Ia adalah ajaran sekular. Justeru itu hari ini mereka tidak lagi berkata begitu. Mereka berkata politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Tetapi mereka pula berkata ada ulama’ politik dan ulama’ tidak politik. Ulama’ tidak politik boleh diterima tetapi ulama’ berpolitik tidak boleh diterima. Tidakkah itu satu bentuk sekular juga? Ertinya mereka terus sekular.
Malah sekular ini bukan sekadar memisahkan agama dan politik seperti yang dicakapkan oleh lepasan sistem pendidikan Barat. Golongan dakwah pun ada juga terkeliru apabila mereka berkata dalam Islam mana ada politik atau politik tidak ada dalam Islam. Politk itu semuanya kotor. Yang seperti ini juga tidak sedar bahawa mereka sudah terjebak dalam jerat sekular.
Kedua-dua menteri besar itu adalah antara tokoh ulama’ yang menyeru orang ramai supaya keluar dari kepompong sekular, kembali kepada politik dan kehidupan Islam dan cuba hidup dengan dunia politik dosa dan pahala.
Keliru
Berdosa dan berpahala bukan sekadar makan, pekerjaan, pakaian, pergaulan dan nikah kahwin saja, tetapi dalam politik pun ada dosa dan pahala. Adakah yang diseru oleh kedua-dua menteri besar itu sama dengan yang Yahudi seru? Yang mana yang dikatakan amalan Yahudi yang mereka buat? Masuk politik itu jadi macam Yahudi? Adakah mendirikan masjid dan mengajar itu menjadi Yahudi? Atau menegur kerajaan yang zalim itu perangai Yahudi?
Dan adakah Yahudi bersetuju bahawa yang berterus terang mengkritik Yahudi itu juga adalah Yahudi? Bagaimana pun tohmah seperti ini terpaksa diselesaikan. Caranya tohmah itu mesti dijelaskan oleh pembuat tohmah. Minta maaf atau minta pengesahan mahkamah bahawa kedua-duanya adalah sama macam Yahudi. Jika tidak Penasihat Undang-Undang di kedua buah negeri itu mestilah mengambil langkah bagi membersihkan kedua menteri besar dari tohmah itu.
................................
Warta Darul Iman
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home