Saudara Pengarang,
Mulai 28 Mac hingga 31 Mac ini, Kerajaan Baru Terengganu akan merayakan dua tahun pemerintahannya. Umurnya terlalu baru dan pengalamannya tidaklah seberapa. Justeru saya mengucapkan syabas kepada kepimpinannya yang berjaya membawa Terengganu ke suatu era pemerintahan yang jauh berbeza dengan pemerintahan lalu.
Dengan dasar ‘Membangun Menurut Islam’ sekurang-kurangnya satu langkah ke depan ke arah pelaksanaan Islam sudah mula dicorak, menyimpang jauh dari dasar tak keruan pemerintahan lalu. Orang kata tak ada apa yang kerajaan sekarang buat. Itu satu dakwaan meleset. Orang sudah tahu bagaimana kerajaan kini hapuskan tol, cukai pintu rumah kediaman walaupun hasil negeri agak berkurangan sebanyak 75 peratus berbanding zaman sebelum rompakan royalti petroleum dahulu.
Antara keistimewaan kerajaan ini ialah rakyat boleh tegur pemerintah manakala kerajaan pula boleh memberi nasihat kepada rakyat secara terbuka di majlis-majlis perjumpaan dan dialog yang diadakan di seluruh negeri. Ini suatu asas hubungan yang baik antara rakyat dengan kerajaan yang tidak wujud di zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini.
Melalui dialog itu suatu interaksi komuniti wujud dan memberi kesan positif terhadap hubungan kedua-dua belah pihak dan natijahnya kerajaan akan mempersiapkan dirinya untuk membaiki kelemahan yang berlaku manakala rakyat akan menerima nasihat membina dari kerajaan untuk kebaikan bersama. Saya berharap usaha-usaha sedemikian terus diadakan agar intraksi secara langsung itu membolehkan permasalahan dikenalpasti sehingga ke akar umbinya.
– Insan prihatin, Kemaman.
______________________
Terbitan : 31 Mac 2002
Ke atas
Home