Pilihanraya Kecil DUN Ketari akan berlangsung tidak
berapa hari lagi. Sepertimana biasa yang lebih
ghairah dan kelam kabut adalah UMNO, walaupun yang
bertanding mewakili BN di situ adalah Parti Gerakan.
Ini adalah kerana menang atau kalahnya BN di DUN
Ketari, UMNO sudah pasti menerima kesannya. Peranan
UMNO di DUN Ketari nanti tidak lain tidak bukan hanya
untuk menguji sejauh manakah rakyat-rakyat Ketari
khususnya orang Melayu boleh ditipu. UMNO tahu amat
sukar untuk menipu masyarakat Cina walaupun
berbagai-bagai propaganda melalui media telah dibuat
bagi menakutkan masyarakat Cina sepertimana di
Pilihanraya Kecil DUN Indera Kayangan baru-baru ini.
Yang pasti undi masyarakat Cina di DUN Indera Kayangan
meningkat menyokong pembangkang.
Masyarakat Cina tidak mudah lupa seperti masyarakat
Melayu yang disajakkan oleh Mahathir bahawa `Melayu
Mudah Lupa'. Kata-kata Mahathir terbukti di Indera
Kayangan sememangnya Melayu mudah lupa. UMNO sedar,
walau apa pun yang mereka lakukan terhadap orang
Melayu hatta ugama Islam sekalipun, Melayu akan terus
lupa dengan syarat perut-perut mereka mestilah diisi
sekenyang-kenyangnya. Di DUN Ketari, pemberian geran
tanah oleh MB Pahang baru saja dilakukan setelah
bertahun-tahun rakyat Ketari dipermainkan. Inilah
langkah pertama bagi `mengisi perut' orang-orang
Melayu. Kita percaya banyak lagi suapan demi suapan
akan dilakukan oleh UMNO sehari dua ini bagi menguji
sejauh manakah kebodohan orang Melayu Ketari
berbanding kebodohan orang Melayu di DUN Indera
Kayangan setelah orang Cina di DUN Indera Kayangan
membuktikan mereka lebih bermaruah dan berakal dari
orang Melayu di situ.
UMNO juga tahu orang-orang Melayu amat mudah di
gula-gulakan dan mereka juga sanggup menjual maruah
demi kesenangan hidup mereka di dunia.
Pemimpin-pemimpin UMNO kini yang telah lama meletakkan
kepala mereka di bawah tapak kaki Mahathir akan cuba
mengajak rakyat khususnya orang-orang Melayu
bersama-sama mereka menghulurkan kepala masing-masing
di bawah tapak kaki Mahathir. UMNO sedar dengan
memberikan sedikit kesenangan kepada masyarakat
Melayu, mereka akan terus lupa beberapa kes rasuah dan
penyelewengan, penghinaan terhadap Ulamak dan ugama
Islam, skandal kewangan PPRT, KWSP, Tabung Haji,
PERWAJA dan banyak lagi yang Kerajaan UMNO telah
lakukan. Orang Melayu terus lupa betapa negeri Orang
Melayu di Terengganu dizalimi dengan rampasan wang
royalti dan akhirnya orang Melayu di Terengganu umpama
peminta sedekah di negeri sendiri bagi mengharapkan
wang ihsan. Pulau Pinang yang dipimpin oleh pemimpin
Cina terus dibangunkan dan dibantu sedaya upaya.
Di Negeri Pahang sendiri, kawasan balak yang banyak
diteroka mengkayakan Melayu atau Cina? Sehinggakan
tempat perjudian di Genting Highland, bukan sahaja
ingin dihapuskan malahan melahirkan kekayaan kepada
orang Cina. Orang Melayu juga lupa dengan kes rasuah
yang melibatkan Tan Sri Khalil Yaakob sepertimana yang
telah didedahkan oleh ADUN Beserah, Dato Fauzi dahulu.
Mengapa kes ini diam begitu sahaja? Mengapa pula
Dato' Fauzi juga membisu seribu bahasa? Tiada siapa
pemimpin UMNO yang berani menegur kerana kepala-kepala
mereka kini berada di bawah tapak kaki Mahathir.
Masyarakat di DUN Ketari mempunyai peluang untuk
membuktikan bahawa mereka mempunyai maruah dan tidak
sebodoh yang disangkakan. Pahang adalah salah sebuah
negeri yang menjadi target dan tumpuan pembangkang
untuk dirampas pada Pilihanraya Umum 2004 nanti.
Kemenangan pembangkang di DUN Ketari ini amat penting
bagi menjana kekuatan pembangkang bagi menghadapi
Pilihanraya Umum yang akan datang. Maruah orang
Melayu di Pahang kini terletak kepada masyarakat
Melayu di DUN Ketari. Maruah masyarakat Cina telah
dibela di DUN Indera Kayangan dan kini tiba giliran
masyarakat Melayu Ketari untuk menebus kebodohan orang
Melayu di Indera Kayangan. Kita akan lihat nanti,
siapakah yang sanggup meletakkan kepala mereka di
bawah tapak kaki Mahathir, orang Melayukah ataupun
orang Cina?
ZULHAZMI NS
______________________
Terbitan : 23 Mac 2002
Ke atas
Home