Tidak seperti mana yang kerap diwarwarkan oleh Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah bahawa tindakan beliau keatas staf akademik UiTM adalah untuk membanteras anasir-anasir pro pembangkang di dalam kampus.
Sebenarnya hampir keseluruhan tindakan beliau adalah bermotifkan agenda peribadi bagi menarik perhatian para pemimpin negara terutama YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad. Malah dalam kesempatan pertemuan antara pengurusan kanan UiTM dengan Dr Mahathir di Putrajaya pada 4 April 2002 yang lalu, Dr. Ibrahim sekali lagi menyatakan dihadapan Dr. Mahathir dan Dekan-dekan, Pengarah Kampus UiTM bahawa tindakannya memecat, menukar, menarik biasiswa, menyingkirkan mereka dari pelbagai jawatan pentadbiran adalah untuk membersihkan UiTM dari anasir-anasir negatif yang merugikan universiti tersebut tanpa menyedari bahawa Dr. Mahathir adalah seorang yang bermaklumat, neutral serta objektif dalam menilai dan menangani permasalahan peringkat bawahan.
Lantaran itu, sikap sebegini telah ditempelak oleh Dr. Mahathir sambil menyeru Dr. Ibrahim supaya mengamalkan pentadbiran yang profesional bukannya asyik bercakaran sesama sendiri sehingga mengundang perkara yang tidak diperlukan dalam rangka mencapai wawasan 2020. Begitu juga dalam saranan lain, Dr. Mahathir mengesa supaya pentadbiran UiTM hendaklah menjadikan al-Quran sebagai asas pengurusan sesuai dengan perisytiaran Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Ketenangan Dr. Mahathir dalam menghadapi persoalan ini jelas sekali memperlihatkan kekerdilan jiwa Dr. Ibrahim yang sepanjang masa sibuk dengan kegiatan membelasah para pensyarah dan pelajar yang didakwanya sebagai anti-kerajaan sehingga melupakan tanggungjawab asasi beliau sebagai seorang Naib Canselor yang memikul amanah berat- untuk memartabatkan pendidikan bumiputera.
Pada hakikatnya tindakan Dr. Ibrahim selain untuk merangkul perhatian pemimpin negara adalah juga bermaksud untuk membalas dendam ke atas musuh-musuh lamanya serta menyingkirkan anasir-anasir yang berpotensi untuk mengancam kedudukannya di UiTM. Beberapa insiden berikut ini boleh diperhatikan dan juga boleh menjustifikasikan hidden agenda Dr. Ibrahim.
1. Kes Pemecatan dan Pertukaran Prof Dr. Ir. Dahlan - Bekas Provos UiTM Pahang.
Didapati bahawa bukan sahaja Prof. Dr. Ir. Dahlan disingkirkan dari jawatan Provos UiTM Pahang tetapi beliau juga ditukarkan 24 jam ke UiTM Shah Alam. Dr. Ibrahim dengan sifat gopoh telah menuduh kampus UiTM Pahang menjadi markas puak Taleban sedangkan Prof Dr. Ir. Dahlan dan pasukan pentadbirannya di UiTM Pahang merupakan golongan intelektual yang amat disegani dan disanjungi. Tidak cukup dengan tindakan itu, Timbalan Provos ketika itu, Prof Madya Zulkarnain Yusof pula ditukarkan serta merta ke UiTM Kelantan manakala 23 lagi staf akademik UiTM Pahang diselerakkan ke merata kampus UiTM seluruh negara.
2. Kes Prof Dr. Bukhari Ismail di kampus UiTM Perlis.
Prof Dr. Bukhari telah dipecat dari jawatan Pengarah Kampus UiTM Perlis dan menerima arahan pertukaran serta merta ke UiTM Shah Alam. Prof Dr. Bukhari menulis surat kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Susulan itu, Pak Lah menghubungi Dr. Ibrahim lantas mengarahkan supaya dibatalkan pemecatan dan pertukaran Prof Dr. Bukhari itu. Malah Dr. Ibrahim dalam kes ini telah dimurkai oleh Tuanku Syed Sirajuddin, Yang Dipertuan Agong yang merupakan juga sahabat akrab Prof Dr. Bukhari sejak di zaman persekolahan mereka lagi. Yang DiPertuan Agong selaku Canselor UiTM menurut perlembagaan sekarang dipercayai sedang mempertimbangkan untuk memecat Dr. Ibrahim dengan nasihat Perdana Menteri.
Tindakan-tindakan kejam Dr. Ibrahim ke atas ahli akademik UiTM memang tidak digemari oleh Dr. Mahathir yang begitu giat berusaha untuk mendapat sokongan golongan intelektual dari pelbagai aliran.
3. Memecat Datuk Dr. Sabree Salleh dari jawatan Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi
Sebelum itu, Dr. Ibrahim telah memecat Dr. Sabree dari jawatan Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi. Malahan Dr. Sabree terpaksa meninggalkan UiTM setelah menerima tekanan dan tindakan tatatertib oleh Dr. Ibrahim. Kronologi permusuhan kedua-dua alumni UiTM ini mencapai kemuncaknya ketika perebutan jawatan Naib Canselor menjelang tamatnya kontrak perkhidmatan Datuk Prof. Dr. Ir. Ahmad Zaidee Laidin pada Februari 2001. Dr. Sabree yang ketika itu adalah Presiden Alumni UiTM telah mendakwa 'mahligai' Dr. Ibrahim yang berharga RM 2 juta adalah tidak wajar dimiliki oleh kakitangan UiTM yang pendapatannya jauh untuk melayakkan memiliki rumah semewah itu.
4. Kes Dr. Yaacob, Ustadh Fadzlullah dan pensyarah PPI yang lain.
Perseteruan Dr. Ibrahim ke atas golongan akademik Agama di UiTM amat ketara sekali. Fakta membuktikan, hampir 70% dari staf akademik telah menerima tindakan disiplin, pertukaran dan pemecatan adalah dari Pusat Pendidikan Islam (PPI) dan Pusat Khidmat Islam Bersepadu (PKIB). Tonggak akademik PPI Prof. Madya Dr Yaacob Yusoff telah ditukarkan ke UiTM Sarawak pada 1 januari 2002 serta menerima tindakan tatatertib. Walhal Dr. Yaacob memiliki kepakaran dalam bidang Curiculum Design dari universiti Birmingham, United Kingdom. Kepakaran itu sewajarnya disumbangkan secara maksima di UiTM induk Shah Alam. Seorang lagi tenaga akademik dalam bidang pengkhususan dan peradaban di PPI iaitu Ustadh Fadzlullah Hj. Shuib juga telah ditukarkan ke UiTM Sabah juga pada 1 Januari 2002 dan beliau juga turut menghadapi tindakan tatatertib dari Dr. Ibrahim. Beberapa staf akademik yang sedang melanjutkan pelajaran diperingkat kedoktoran telah ditarik semula biasiswa mereka kerana dituduh sebagai pro pembangkang tanpa diiringi dengan bukti-bukti yang kukuh. Antara mereka ialah Sharifah Zahrah, Ahmad Zaki dan Hasan Baharom.
5. Mencorakkan semula PPI secara tidak professional
Sebelum itu Pendidikan Islam UiTM menerima penindasan amat hebat dari Dr. Zaidee dan Dr. Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Akdemik) sejak tahun 2000 lagi. Subjek Pendidikan Islam telah dikurangkan dari 6 semester ke 3 semester sahaja. Subjek-subjek seperti pemikiran Islam dan perundangan Islam telah diharamkan malahan buku teks Asas Islam 2 diharamkan oleh Dr. Ibrahim. Pusat Khidmat Islam Bersepadu ( PKIB ) telah dimansuhkan oleh beliau. Persatuan ADASI dan Ko-ADASI iaitu program ko kurikulum Amalan dan Asas Sosial Islam telah dihapuskan.
Kegiatan anti Islam yang sedang hebat dilaksanakan oleh Dr. Ibrahim di UiTM sedang dipantau rapi oleh Dr Mahathir dan inteligennya kerana tindakan Dr. Ibrahim muktakhir ini bukan sahaja telah merugikan Islam dan umat Islam di Malaysia tetapi kegiatan tersebut telah memalitkan lumpur keaiban kepada imej Dr Mahathir yang diwarwarkan sebagai wira Islam Dunia Ketiga.
Jelas sekali tindakan-tindakan tidak rasional Dr. Ibrahim ke atas golongan intelektual UiTM perlu dihentikan segera oleh pihak kerajaan dan pihak yang merasa bertanggungjawab ke atas agama Islam dan bangsa Melayu sebelum terlambat. Ramai lagi tokoh-tokoh akademik UiTM yang boleh mengambil alih tugas sebagai Naib Canselor UiTM seperti Prof Dato' Dr. Adnan Alias yang begitu disanjung oleh warga UiTM serta banyak melahirkan karya-karya yang berkualiti, Prof Dato`Hamdan Adnan yang tidak asing lagi serta konsisten dalam prinsip, Prof Dr. Bukhari Ismail, Prof Dr. Ir. Dahlan dan beberapa lagi ahli intelektual UiTM yang mana tidak sukar digilap kepimpinan mereka dalam arus perdana keintelektualan tanah air.
Tindakan-tindakan ganas, jumud dan anti akademik oleh Dr. Ibrahim amat perlu dihentikan segera melalui campurtangan oleh Yang DiPertuan Agong merangkap Canselor UiTM, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir serta para pemimpin negara yang lain. Adalah tidak sukar untuk merealisasikan UiTM sebuah universiti yang harmoni, dinamik dan produktif yang mana bakal mengharumkan nama Malaysia di peta dunia melalui penyelidikan bermutu, penemuan-penemuan sains & teknologi baru dan penghasilkan karya-karya yang berwibawa - dengan syarat elemen-elemen yang tidak membantu ke arah matlamat tersebut berjaya disingkirkan.
Bagi masyarakat UiTM pula, kami mengharapkan ehsan dan autoriti pemimpin negara dalam usaha untuk memastikan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak dirosakkan oleh segelintir individu yang berkepentingan peribadi seperti Dr. Ibrahim Abu Shah yang banyak sekali memporak-porandakan sistem akademik UiTM, menafikan falsafah pendidikan dan meminggirkan etika kemanusiaan yang sejati.
Abu Dzarr
Kolej Jati, UiTM Shah Alam
______________________
Terbitan : 15 April 2002
Ke atas
Home