MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Atokku, berundurlah….

Saya ada seorang atok. Dia seorang tersanjung dan diagong. Dia lama berbakti dan banyak berjasa pada negara. Kini atok telah tua. Barangkali sudah terlalu tua. Anak cucu minta bersara. Tapi atok kata belum sampai masa. Atok kata ramai lagi harapkan baktinya. Inilah susahnya, nak dipaksa nanti tersinggung perasaannya. Nanti dituduh tak pandai mengenang budi jasa.

Anak cucu keluh resah. Kasihan atok berpenat lelah. Memang patut pun atok berehat. Setidak-tidaknya untuk beribadat. Lagi pun atok nampaknya dah lain macam sekarang. Atok seolah-olah tak percaya kebolehan orang. Memang atok berjiwa besar. Selagi angan-angan menggunung tak kesampaian, pantang atok berundur.

Atok juga semakin keras dewasa ini. Anak cucu yang cuba membetulkan keadaan dan menegakkan kebenaran atok hukum setegas-tegasnya. Nampaknya atok tak boleh dibangkang langsung sekarang ini. Sikit-sikit katanya tak tahu mengenang budi dan tak pandai bersyukur. Barangkali atok fikir, rezeki anak cucu datang dari beliau, bukannya kurniaan Tuhan.

Jangan-jangan atok dah nyanyok tak….Kerana kebelakangan ini atok banyak merapu. Bencinya pada tok guru dan ulama makin menjadi-jadi. Atau barangkali atok dah buang tebiat, ya…boleh jadi juga. Tapi hendaknya janganlah di matikan atok dalam kemarahan dan keresahan.

Memang atok resah kerana anak cucu sudah berpecah dan berpuak-puak. Salah atok juga sebab terlalu manjakan mereka yang bekerja di syarikat besar atok tu. Atok biarkan mereka bermaharaja-lela menindas dan menipu masyarakat. Selain pijak-memijak sesama sendiri untuk naik ke atas, pemimpin-pemimpin syarikat atok tu ramai yang tidak amanah.

Kini yarikat yang atok terajui benar-benar dilanda masalah dan malapetaka. Orang kepercayaan atok ramai yang menyeleweng. Di Selangor, bekas Pengurus Besar syarikat atok bawa lari wang berkilo-kilo ke luar negeri. Penggantinya pula membuntingkan adek ipar sendiri….masyaAllah. Pengurus Besar sekarang lagi teruk. Kalau berhujah di selang-seli dengan ayat quran tapi nafsu rasuahnya besar sekali. Bak kata pepatah orang tua-tua "kokok bertalu-talu, ekor bergelumang tahi".

Ramai pula yang samun harta rakyat, makan duit orang miskin, pecah amanah dan salah guna kuasa.. Yang sanggup curi duit orang kampong susah-susah kumpul untuk beribadat pun ada. Inilah punca utama anak cucu berpecah belah kerana kumpulan yang membenci penyelewengan-penyelewengan ini dah berpakat melawan atok habis-habisan.

Dah berkali-kali anak cucu nasihatkan atok supaya menghukum mereka yang menyeleweng tersebut. Barangkali atok tak sampai hati atau barangkali atok ada strategi tersendiri. Mungkin atok rasa mereka itu setia kepadanya. Tapi atok tentu faham akan lumrah manusia. Bila di atas diri disanjungi, bila terdampar, tak siapa yang peduli. Barangkali atok tidak menyedari bahawa ramai pembantu-pembantu atok tu cuma bersikap manis di mulut lain di hati.

Yang susahnya atok saya ni berpegang kepada falsafah pantang berundur sebelum rebah. Tapi anak buah syarikat atok ramai yang berdoa agar atok cepat tumbang. Lagi cepat lagi bagus kata mereka. Mereka menunggu terlalu lama untuk mengambil aleh pentadbiran syarikat. Ada yang berkata atok kuda tua yang liat nyawanya susah nak mampos. Dua berasal dari Kelantan. Seekor pencuri duit orang miskin dan seekor lagi badut sarkas yang sering melompat dari satu syarikat ke syarikat lain. Dulu mereka ini amat menyanjung atok, tapi bila atok singkir dari jawatan kerana kurang kemampuan, mereka mula mengkritik atok. Mereka kini sedang menggilap "kuda" baru bakal ambil aleh tempat atok. Sebab itu saya sering ingatkan atok bahawa kesetian mereka ini mencurigakan.

Sekarang saya sudah tekad untuk menggesa atok supaya melepaskan teraju syarikat kepada pengganti. Atok nak marah pun marahlah. Barangkali orang baru lebih baik pengurusannya dari yang atok jangka. Belum cuba belum tahu. Kalau syarikat maju, atok juga yang dapat nama. Kalau ada orang mengata atok nanti, saya akan bela habis-habisan. Kalau ditakdirkan syarikat lingkup di bawah pengurusan baru itu tandanya orang bawahan atok memang tak berguna sesen. Lagi pun atok tak perlu risau kalau syarikat tu lingkup sekali pun. Biarkanlah. Banyak lagi syarikat lain untuk anak cucu bernaung.

Kebimbangan saya ialah atok akan menjadi sejarah. Kalau sejarah gemilang baguslah. Tapi kalau sejarah hitam berdarah bagaimana. Kini saya lihat ramai anak cucu atok dari meluat dah jadi benci. Saya bimbang nanti ada anak cucu atok yang nakal pergi kencing di pusara atok, bukannya untuk siram air mawar. Sudah acap kali saya mendengar sumpah sedemikian. Kepada atok kupanjatkan doa agar dibukakan pintu hati atok supaya rela berundur diri.

Cucumu Si Awang Sulong.







______________________
Terbitan : 29 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com