Persoalan yang paling berkitar di fikiran rakyat Malaysia adalah sama ada perlantikan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman sebagai pengerusi Suhakam yang baru merupakan suatu petanda bahawa Suhakam akan merosot menjadi bayang pudar peranan sediakalanya – yang sudah pun jauh berbeza daripada harapan negara dan niat serta tujuan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 untuk melindungi dan memajukan hak asasi manusia di negara?
Hari ini menandakan pengakhiran perlantikan dua tahun yang pertama pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam di bawah pimpinan pengerusi Tan Sri Musa Hitam. Akan tetapi, penilaian tentang kejayaan dan kegagalan perlantikan dua tahun pertama barisan pesuruhjaya Suhakam yang sepatutnya diadakan sedang dialihkan oleh kebimbangan dan kerisauan meluas tentang sama ada siri perlantikan kedua Suhakam akan lebih berkesan, bukan sahaja perlantikan Abu Talib sebagai pengerusi tetapi juga pengguguran empat pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Anuar Zainal Abidin, Prof. Mehrun Siraj, Datuk Mahadev Shankar dan Dr. Salleh Mohd Nor.
Kesemua empat pesuruhjaya Suhakam yang digugurkan dan tidak dilantik semula telah berkhidmat dalam Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam yang telah memberikan Suhakam apa-apa “taring” yang ia berupaya pamerkan dalam dua tahun lalu yang paling jelas dicerminkan dalam laporan siasatan kejadian Lebuh Raya Kesas 66 muka surat yang diumumkan pada 20 Ogos 2001 mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang meluas oleh pihak polis terhadap penunjuk-penunjuk perasaan aman di Lebuh Raya Kesas pada 5 November 2000.
Kegagalan kerajaan dan pihak polis sepanjang lapan bulan lepas untuk memberikan respons kepada hasil siasatan dan syor-syor laporan siasatan Suhakam mengenai peristiwa Lebuh Raya Kesas yang menunjukkan keburukan penindasan polis seperti penggunaan kekerasan melampau, gas pemedih mata dan meriam air yang tidak wajar, penggunaan kekerasan termasuk menyerang orang yang cuba melarikan diri daripada tempat kejadian sebalik daripada mengatasi tentangan kepada perintah untuk bersurai, menyebabkan kecederaan kepada orang yang ditahan dan ketangguhan dan kegagalan untuk menyediakan rawatan perubatan dan ubat kepada mereka yang cedera, serta layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap mereka yang ditahan, adalah perbuatan memperolok-olokkan hormat yang disuarakan oleh kerajaan kepada Suhakam untuk melaksanakan tugas-tugas statutorinya dengan serius untuk melindungi dan memajukan hak asasi manusia.
Sungguhpun Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam tidak mampu memenuhi segala harapan orang ramai dan titik hitam paling buruknya adalah kegagalan untuk menjalankan siasatan ke dalam serangan berbau perkauman di Kampung Medan pada bulan Mac tahun lepas yang meragut enam nyawa dan mencederakan beratus-ratus orang, rakyat Malaysia berhak bertanya apakah mesej yang kerajaan berhasrat sampaikan dengan terang-terang memecat pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam yang telah membentuk teras kumpulan kerja Suhakam ini?
Adakah ini bermakna tidak akan adanya apa-apa siasatan dan laporan Suhakam seperti laporan berhubung pelanggaran hak asasi manusia yang berleluasa oleh polis dalam kejadian Lebuh Raya Kesas?
Perlantikan Abu Talib sebagai Pengerusi Suhakam telah menimbulkan keraguan munasabah dan sewajarnya mengenai kredibiliti dan kebebasan Suhakam oleh sebab tempoh jawatan 14 tahun beliau sebagai Peguam Negara (1980-1993) telah ditanda oleh beberapa kontroversi yang menimbulkan soal-soal tidak disenangi terhadap kredibiliti, kebebasan dan integriti Abu Talib, yakni:
- Skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di mana beliau gagal menjalankan apa-apa pendakwaan lantaran membenarkan skandal itu menjadi “suatu jenayah kejam tanpa penjenayah”;
- Tindakan beliau mempertahankan sama sekali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tangkapan beramai-ramai Operasi Lalang 1987, malahan mendakwa bahawa pusat tahanan reman polis untuk tahanan-tahanan adalah seperti “hotel tiga bintang”;
- Peranan beliau dalam pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah pada tahun 1988 yang menjunamkan negara ke dalam suatu krisis badan kehakiman julung kali; dan
- Arahan beliau pada tahun 1989 untuk memusnahkan sebelas pita video dan empat sampul surat mengandungi 2,000 gambar foto dalam skandal pita video lucah Vijandran
Pada hakikatnya, pada bulan Januari 1990, saya telah mengutus surat rasmi sebagai Ketua Pembangkang Parlimen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad meminta agar Perkara 145 Perlembagaan dipakai untuk menubuhkan sebuah tribunal untuk memecat Abu Talib sebagai Peguam Negara kerana “kehilangan keyakinan umum, kredibiliti serta keesahan di seluruh negara akibat daripada keputusan beliau yang tidak wajar, tidak sah dan tidak dapat dijustifikasikan” untuk memusnahkan pita video dan gambar foto Vijandran.
Walaupun Abu Talib telah membuktikan dirinya dengan agak baik dalam Suruhanjaya Siasatan mengenai “mata lebam” Anwar Ibrahim, di mana Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah mengaku bahawa beliau merupakan “dalang” dan “mata lebam” tersebut bukan akibat perbuatan sendiri, adalah munasabah untuk rakyat Malaysia menyoal sama ada Abu Talib boleh berhenti menjadi “pelaksana dasar” dan bertindak secara bebas untuk melaksanakan tugas statutorinya sebagai Pengerusi Suhakam yang mungkin berbeza, bahkan bercanggah dengan dasar kerajaan berhubung hak asasi manusia yang sedia wujud.
Sebagai permulaan, adakah Abu Talib bersedia menghormati komitmen Suhakam yang dibuat minggu lepas untuk menjalankan suatu siasatan berhubung penahanan enam aktivis reformasi, Mohamad Ezam Mohd Nor, Hishamuddin Rais, Chua Tian Chang, Saari Sungib, Badrulamin Bahron dan Lokman Noor Adam di bawah ISA dan yang mana merupakan salah satu sebab untuk mereka menamatkan mogok lapar 11 hari mereka baru-baru ini?
Selanjutnya, adakah Abu Talib sanggup menyuarakan secara terbuka sokongan beliau untuk pendirian Suhakam bahawa undang-undang tahanan tanpa perbicaraan seperti ISA merupakan pencabulan hak asasi manusia yang melampau dan perlu dimansuhkan atau adakah beliau akan membalikkan pendirian Suhakam untuk menyokong perundangan seperti ISA?
______________________
Terbitan : 29 April 2002
Ke atas
Home