Nampaknya pemerhati politik terdiri dari kalangan orang UMNO amat berharap benar ADUN Gombak, Datuk Ismail Kamus , supaya bersara dari politik dan " meletakkan jawatan YB " supaya pemimpin UMNO Selangor dapat tidur lena. Mereka telahpun menyebarkan ramalan-ramalan itu dan kemudian dipetik pula oleh sebuah akhbar elektronik, baru-baru ini.
Apa yang jelas, tindakan mereka itu tak ubah seperti kata orang tua-tua macam ayam gila mengeram telurnya. Benda tak ada berlagak juga macam ada !. Selain itu dapatlah kita simpulkan bahawa orang-orang UMNO memang sentiasa berusaha supaya keadaan politik akan menyebelahi mereka dan turut berharap kalangan akar umbi yang " totok " terus memekakkan telinga, membutakan mata dan membebalkan akal masing-masing untuk terus menerus menyokong UMNO yang banyak tercalar di sana sini !.
Hujjah mengatakan Datuk Ismail Kamus sudah tidak berminat dengan politik mereka berikan bersandar kepada suasana beliau ketika berlangsungnya Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini yang kononnya tidak berminat mengambil bahagian dalam isu " fitnah memfitnah ".
Kita pun rasa hairan dengan kesimpulan diambil oleh pemerhati politik UMNO begitu mudah sekali. Kalau tak ambil bahagian, bermakna tak berminat jadi wakil rakyat ! Kalaulah demikian caranya mereka membuat ramalan, jelaslah mereka " syok sendiri " !. Dan kalaulah demikian laporan untuk siaran akhbar, jelaslah berita itu berita karut. Patut masuk bakul sampah lebih awal sebelum disunting !.
Sewajarnya, kalau hendakkan membuat ramalan biarlah tanya kalangan pembangkang atau ahli-ahli parti BA di Gombak. Adakah beliau pernah menyatakan ingin bersara dari politik….. Dan yang lebih baik lagi tanyakan secara peribadi kepada beliau ! - Ini ikut cara anak jantan dan mengikut etika kewartawanan.
Tentang sikap Datuk Ismail Kamus yang tidak suka " menghentam " peribadi pemimpin UMNO , sebenarnya inilah sikap yang dianjurkan Islam . Jangan hentam orang kalau tidak ada bokti . Diam itu lebih selamat bagi orang yang beriman….
Kepada Datuk Ismail Kamus kita berharap beliau paham dan masak dengan ragam orang-orang UMNO di Selangor ini. Kita jangan melatah ustaz !….. Sebenarnya apabila Datuk Ismail Kamus dipilih menjadi wakil rakyat BA, ramai yang tertarik dengan pendirian dan cara berhujjah yang sederhana tetapi tepat. Ahli-ahli parti BA tidak mendesak supaya beliau mengubah sikap menjadi seperti Dr. Hassan Ali yang menjadi ketua pembangkang, yang kelihatan garang dan bercakap berapi-api …..
Rakyat kalangan akar umbi di Selangor berharap supaya kalangan wakil rakyat BA mampu dan meliputi semua bidang serta mempunyai semua watak. Setakat ini kita amat bangga dengan kehadiran mereka di Dewan Undangan Negeri Selangor. Mereka boleh berhujjah dalam apa juga bidang ! Syabas ! Dan kita berharap pada pilihanraya umum akan datang lebih ramai lagi rakan mereka turut berpeluang duduk di dewan dan berhujjah bagi menegakkan kebenaran dan keadilan.
Kepada pemerhati politik UMNO kita berharap tak usahlah membuat ramalan yang bukan-bukan.
Adalah lebih baik membuat ramalan apa akan jadi kepada pemimpin nombor satu UMNO Selangor sekarang, yang jelas tercalar di sana sini dengan berbagai isu rasuahnya. Mungkin dengan demikian mudah-mudahan beliau " takut " dan kembali insaf……
Waris Dato' K.
______________________
Terbitan : 15 April 2002
Ke atas
Home