BANTU MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Surat dari Kem Kemunting

Oleh Dr Badrul Amin Baharun

Saudara,

Bulan April 2002 genaplah setahun kami ditangkap, dikurung dan dipenjara di balik tembok dan pagar berduri tanpa bicara, tanpa peluang membela diri.

Genap setahun kami dipisahkan dari anak-anak dan isteri serta keluarga tercinta. Apa dosa kami? Mana dia senjata api? Mana bom tangan, molotov, kocktail? Mana pelancar roket yang mereka dakwa?

Saudara,

Sudah setahun, apakah masih belum cukup untuk mereka mencari senjata yang saya sembunyikan? Bukankah mereka Polis yang paling cekap di dunia?

Saudara,

Saya masih ingat jam 1.30 pagi 20 April 2001, rumah saya dikepung kali kedua oleh berbelas- belas anggota polis seolah saya adalah seorang manusia yang paling bahaya di Malaysia.

Kali pertama rumah saya dikepung bila saya menjadi imam solat hajat di Masjid Negara.

Jam 2.30 pagi 20 April itu, saya dibawa dalam kegelapan malam meninggalkan anak-anak dan isteri dengan mata mereka yang merah bukan kerana mereka sedih atau mengantuk, tetapi kerana marah!

Hampir dua bulan saya disoal siasat di sebuah tempat yang 'kononnya' saya tidak tahu dimana...dengan kamar yang kecil, panas, kotor dan busuk.Mata ditutup dan tangan digari.

Apa soalan mereka? Apa pertanyaan mereka? Anwar, Anwar, Anwar! Parti,Parti,Parti!

Tidak kurang juga persoalan tentang keluarga dan peribadi!

Seterusnya saya dipindahkan ke Kamunting kerana konon Pak Menteri puas hati dengan segala bukti, saya dituduh mengancam keselamtan negara!

Saya nak bertanya "Apakah saya mengancam keselamatan negara atau keselamtan mereka?"

Saudara,

Sejak mula ditahan, kami tidak pernah rasa kecewa apalagi tunduk kepada mereka. Mereka boleh mengurung jasad kami tapi tidak jiwa dan perasaan kami!

Benar jasad kami terkurung tapi jiwa kami tetap merdeka! Sejak mula di Kem kami telah memboikot program pagi iaitu menaikkan bendera, ikrar, doa dan beberapa lagu selain "Negaraku".

Itupun setelah beberapa minggu, lagu Negaraku kami tukar dengan lagu Reformasi.

Lagu-lagu lain seperti Setia dan Malaysia Tanah Airku hanya bergema di blok-blok lain.

Selang beberapa bulan, kami memboikot pula makanan kem dan untuk beberapa bulan kami hanya makan maggi, biskut, sardin dan buah- buahan yang dibawa oleh keluarga sebanyak 12 biji tiap pertemuan kami.

Kami teruskan pula dengan memboikot klinik dan hospital. Kami boikot pula Pendaftar Mahkamah yang datang setiap minggu.

Saudara,

Mungkin ada orang kurang jelas mengapa kami lakukan semua itu, biar kami jelaskan!

Saudara kami bukan hanya ditahan, dikurung dan dipenjara malah kami dianggap tahanan yang amat bahaya sehingga kami terpaksa diasing dalam 3 blok yang berlainan, sedang tahanan dan banduan lain dikumpul hingga berpuluh orang dalam satu blok, kami hanya minta untuk dikumpul berenam!

Hanya pada 15 Mac 2002 kami disatukan setelah beberapa lama.

Tahanan lain boleh menikmati segala kemudahan berkebun sebaliknya kami tidak dibenarkan. Tahanan lain diberi cerek elektrik sedang kami hanya diberi thermos dan dibekalkan air panas dari dapur tiap pagi.

Itulah yang kami guna untuk masak maggi. Selalunya maggi tak kembang tapi perut yang kembung!

Tahanan yang lain boleh terima surat-surat dari luar tetapi poskad dan surat kami ditahan di pejabat, kecuali surat dari keluarga terdekat sahaja.

Alhamdulillah, setelah 5 bulan di kem, saya dikeluarkan dengan syarat berjela pada 3/10/01.

Maka hiduplah saya selama 3 bulan ibarat kata orang 'lepas tapi tak bebas'! 3 bulan saya menjadi penunggu rumah, hidup suka dalam derita.

Dalam 3 bulan itu rumah saya sempat diawasi dan dikepung lagi buat kali ke tiga. Saya ditangkap dan dilokap pada hari Jumaat di bulan Ramadhan. Apa pula dosa saya?

Saya dituduh melanggar syarat dan dipanggil ke mahkamah. Pada hari yang ditetapkan saya ke mahkamah namun tiada kes yang difailkan!

Esoknya saya diminta hadir ke balai polis Rawang konon untuk urusan Lembaga Penasihat. Saya pergi dengan isteri saya...rupanya saya ditipu!

Sampai di balai polis Rawang saya ditahan dan terus di bawa ke Kamunting. Apa pula dosa saya kali ini?

Menurut surat yang ditandatangan oleh menteri, menteri berpuas hati bahawa saya telah melanggar syarat dan mengancam keselamatan negara...saya ingin bertanya adakah selama 3 bulan saya diluar ada bom meletup?

Apakah ada bangunan runtuh? Apakah ada trak buruk yang terbakar? Apakah saya mengancam keselamatan negara ataukah keselamatan mereka?

Saudara-saudara boleh jawab sendiri...

Yakinlah bahawa semua ini adalah drama politik mereka. Dengan mudahnya kami di 'cop' sebagai orang jahat! Kami dilabel 'pengkhianat bangsa dan negara'.

Siapa jahat dan pengkhianat? Kamikah atau mereka?

Kami tidak akan berdiam diri! Kami menyeru saudara semua agar jangan berdiam diri! Setahun berlalu, kami ditahan tanpa bicara.

Anak, isteri kami keluarga rakan yang lain juga telah banyak mengalami kepayahan ini.

Ayah dan ibu semakin tua. Kami tidak redha mereka terus bermaharajalela.

Kami ingin mengingatkan mereka cukuplah. Cukuplah segala fitnah dan penghinaan...Enough is enough!

Mogok lapar yang kami buat bukan untuk membunuh diri.Kami tidak pernah kecewa. Kami tidak pernah putus asa! Kami sanggup berlapar, malah kami sanggup korban apa saja untuk perjuangan ini.

Kami sanggup mati menentang kezaliman menegak kebenaran! Kalau kami sakit atau mati bukan kerana tidak mahu makan tetapi kerana berjuang menuntut hak dan kebenaran.

Ada orang kata 'kami gila', kami sesat kerana sanggup membinasakan diri.

Kami nak tanya. Gilakah namanya orang yang mati kerana berjuang? Sesatkah orang yang mati kerana menuntut haknya?

Ini perjuangan kami dan peperangan kami! Sebagai pejuang, kami mesti hadapi risiko. Kata orang 'Kalau takut dengan risiko jangan bicara tentang perjuangan! Setiap orang apapun kerja dan usaha serta perjuangannya tetap menghadapi risiko.

Nabi saw berpesan: "Jihad yang paling mulia ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim"

Sedarkah saudara dengan bercakap pun, seseorang itu boleh terdedah kepada risiko kebinasaan?

Tidak payah mogok lapar, tak payah ke medan perang!

Tahukah saudara berapa ramai orang yang telah mati syahid atau binasa kerana bercakap benar di hadapan pemerintah yang zalim?

Apa jadi pada Imam Syafie, Imam Ahmad dll? Mereka ditangkap, dipenjara malah ramai ulama' yang berani berkata benar telah disiksa, ada yang telah dibutakan dan dibunuh oleh raja dan khalifah yang zalim hanya kerana mereka bangkit menyatakan kebenaran.

Mereka tahu bahawa dengan menyatakan kebenaran itu mereka akan musnah tapi mereka lakukan juga! Mengapa?

Apakah kerana mereka gila atau sesat?

Tidak saudara! Mereka hanya melaksanakan perintah Tuhan dan amanah yang terletak atas bahu mereka.

Mereka sanggup menghadapi azab manusia asalkan selamat dari azab Allah! Dan kami hanya meneruskan tugas mereka yang diwarisi dari Nabi tercinta.

Saudara teruskan perjuangan! Ajak seluruh keluarga berjuang! Jangan lupa untuk mengajak jiran tetangga untuk sama bangun berjuang! Dengan izin tuhan, pintu kemenangan pasti terbuka.

"Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir!"

Allah berfirman maksudnya: "Katakan telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti lenyap...!

Ya Allah! Berilah kekuatan kepada kami dan bantulah kami. Hancurkan kezaliman dan tegakkan keadilan. Kepada Mu kami berserah dan kepada Mu kami semua akam kembali...

Sambutlah salam rindu, salam kasih sayang, salam persaudaraan, salam perjuangan dan salam "Reformasi","Reformasi","Reformasi" dari saya;

Badrul Amin Bahron
serta sahabat saya
Mohd Ezam Mohd Noor
Haji Saari Sungip
Lokman Noor Adam
Tian Chua
Hishamudin Rais

Kem Tahanan Kamunting
8 April 2002.

........................
Diterima dan dihantar kepada tuan oleh Enot Sabah pada 11.04.02; 09:16PM







______________________
Terbitan : 13 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com