Saidah Hairan
KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Lo'
Lo' Mohd Ghazali menyahut cabaran Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina
Othman untuk bersama-sama berceramah dalam menangani isu sumbang
mahram yang semakin kritikal.
"Saya bersedia untuk berceramah dengan Azalina dalam isu menangani
sumbang mahram tetapi dengan syarat, Azalina mesti mendapatkan permit
daripada pihak berkuasa untuk memudahkan saya berceramah," katanya.
Menurut beliau, usahkan berceramah di markas PAS Taman Melewar, malah
beliau sanggup menjelajah seluruh negara untuk berceramah seperti di
padang sekolah, stadium atau di dewan berhawa dingin seperti Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.
"Baru standard dan berbaloi, maklumlah dapat jemputan daripada ahli
Majlis Tertinggi Umno. Saya bukan saja akan berceramah isu sumbang
mahram tetapi akan menyentuh isu rasuah, menuduh zina, makan duit
rakyat miskin, menggelapkan duit Tabung Haji, rompak duit royalti dan
sebagainya," tegas beliau.
Menurut Dr Lo' Lo' yang juga merupakan Ketua Pengarah Amal Nisa'
Pusat, beliau sentiasa menanti-nanti tindakan susulan rakan
sejawatnya itu (Azalina).
Beliau berkata demikian dalam satu ceramah umum semalam Ahad 28 April
yang diadakan untuk memberi penjelasan isu takfir dan sumbang mahram
serta mengulas cadangan Azalina yang akan menyerahkan risalah kepada
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan parti KeADILan supaya bersama-
sama menangani isu sumbang mahram.
Ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat turut menjemput Exco Kerajaan
Negeri Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik dan Aktivis Sosialis, Ann Wan
Seng, yang diadakan di Markas PAS Tarbiah, Taman Melewar, 25 April,
lalu.
Sementara itu Dr Lo' Lo' kesal dengan sikap Menteri Hal Ehwal Wanita
dan Pembangunan Keluarga, Dato' Shahrizat Abdul Jalil yang tidak
menjalankan tugas dengan adil kerana membiarkan seorang wanita yang
mempunyai empat orang anak ditahan di bawah ISA tanpa dibicarakan di
mahkamah terlebih dahulu.
Beliau berkata, jika masalah yang kecil tidak boleh diselesaikan
bagaimana hendak menaikkan martabat golongan wanita di Malaysia.
"Hari Ibu akan menjelang, sudah pasti Shahrizat sibuk menyediakan
tema dan slogan basi yang akan dilaungkan keserata ceruk bumi
Malaysia dengan kata-kata yang palsu untuk memartabat dan
memperkasakan ibu-ibu," ujar beliau.
Beliau kesal dengan sikap Shahrizat yang tidak membela nasib anak-
anak dan isteri-isteri yang kehilangan suami kerana ditahan di bawah
ISA atas dakwaan ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang tidak
dibicarakan terlebih dahulu.
______________________
Terbitan : 30 April 2002
Ke atas
Home