Sedikit masa dahulu heboh pasal para pejuang bangsa bukan Melayu marah
dengan sistem quota kemasukkan pelajar ke IPTA. Sistem quota itu
dikatakan mengutamakan kemasukan pelajar Melayu yang kurang cemerlang dalam
bidang sains dan teknologi dan menghadkan kemasukan pelajar Cina dan
India yang dianggap lebih cemerlang.
Sumber dari Pejabat Menteri di Kementerian Pendidikan mengatakan bahawa
di atas arahan tertentu, sistem quota terpaksa dihentikan dan sistem
yang menilai pelajar berdasarkan pencapaian akademik atau merit
(meritokrasi) akan dilaksanakan. Maka hebohlah para pejuang bangsa Melayu di
tanah air yang menentang perubahan tersebut untuk buat seketika (kini
sudah membisu).
Tidak menjadi hasrat IB untuk membincangkan siapa kata apa – tetapi
apa IB ingin sebutkan di sini ialah bahawa sistem meritokrasi tetap akan
dilaksanakan untuk pengambilan pelajar sesi akan datang.
Apa yang menarik apabila sistem ini dilaksanakan nanti, hasil yang
diharapkan oleh bangsa bukan Melayu sebenarnya memakan diri mereka kembali.
IB difahamkan bangsa bukan Melayu yang sebenarnya akan rugi apabila
sistem meritokrasi dilaksanakan nanti.
Sumber yang memberitahu IB semalam (selepas majlis Pertabalan Agong)
ialah bangsa yang paling ketara terjejas ialah bangsa India. (Nanti kita
tunggu Samy Velu menunding jari pula) Walaupun memang terdapat pelajar
bangsa Melayu yang lemah, namun bilangan pelajar Melayu yang cemerlang
berbanding dengan bangsa lain tidak kurang ramainya. Malah apabila
dihapuskan sistem quota, peratus bilangan pelajar Melayu yang akan dapat
memasuki IPTA tempatan akan melebihi quota yang dihadkan sebelum ini.
Sumber IB memetik beberapa contoh untuk membuktikan perubahan yang
bakal berlaku. Biarlah kita tunggu pengumuman rasmi kementerian nanti tak
perlu IB senaraikannya di sini.
Jadi hasil yang diharapkan oleh pejuang bangsa-bangsa lain tidak
menepati keinginan asal mereka. Malah kini senjata itu telah memakan diri
mereka kembali. Sistem quota yang dikatakan membantu pelajar Melayu yang
lemah sebenarnya memberi peluang yang lebih besar untuk pelajar Melayu
yang cemerlang.
IB ingin melihat bagaimana pimpinan pejuang bangsa Melayu bersilat
mengharungi isu yang bakal melanda ini. IB ingin melihat apakah mereka ini
akan turut lagi mengikuti rentak dan gertak bangsa lain kerana takut
kehilangan undi yang amat diperlukan dalam masa 12 bulan lagi. Mereka
yang bergelar pejuang bangsa Melayulah yang terlalu banyak memberi
konsesi dan mengalah kerana ketagihkan sokongan dari bangsa lain kerana
kehilangan pengaruh di kalangan pengundi Melayu.
Sekian
Ibrahim Baba
26 April 2002
.......................
Catatan : Sdr Ibrahim Baba adalah di antara salah seorang penulis siber generasi
pertama semenjak suara reformasi kemundang. Penulisan terakhir beliau di laman ini
ialah pada 29 Oktober 2001. Pihak kami telah mengarkibkan penulisan beliau
sebanyak 89 artikal menarik di http://pemuda-trg.tripod/ibrahim/ibrahim.html
______________________
Terbitan : 29 April 2002
Ke atas
Home