Penahanan YDP PAS Sepang memperlihatkan wujudnya
kecacatan wibawa di kalangan anggota-anggota Polis,
khususnya OCPD Kuala Langat, Malek Harun. Tindakan
Malek Harun yang sering menganggu program-program PAS,
dengan alasan "tidak ada permit", menimbulkan
persoalan terhadap profesionalisme kepolisan, terutama
apabila merujuk kepada motto "mesra, cepat dan betul".
Tindakan Malek Harun, "menceroboh" kediaman YDP
Sepang, untuk menghalang "pertemuan" dikalangan
ahli-ahli PAS, sebuah parti politik berdaftar
memperlihatkan satu tindakan yang tidak "betul" di
luar perkiraan "mesra" meskipun memperlihatkan
tindakan "cepat" untuk mengagalkan segala usaha PAS
berinteraksi langsung dengan rakyat.
Berdasarkan pola tindakan Malek Harun, menunjukkan
beliau sebenarnya sedang mengalami krisis identiti
yang berhadapan dengan ketidakseimbangan "emotional
quotient" serta pada masa yang sama terperangkap dalam
kekeliruan "spiritual quotient". Situasi sebegini akan
mewujudkan pola tindakan yang lebih terarah kepada
"ego kendiri" yang melahirkan naluri tanggapan,
"kemenangan adalah hak aku dan kamu mesti tewas walau
dalam apa keadaan sekalipun, pilihannya samada menjadi
arang atau menjadi abu" Pemikiran sebegini, umumnya
amat merbahaya kepada usaha untuk mewujudkan keamanan
dan kedamaian. Tindakan Israel ke atas Palestine
hakikatnya adalah bertitik tolak daripada amalan
falsafah ini. Begitu juga dengan peristiwa pengeboman
ke atas Hiroshima dan Nagasaki.
Jika sebenarnya Malek Harun, sebagai Ketua Polis Kuala
Langat benar-benar berpegang kepada prinsip,
seharusnya tindakan tidak sehaja ditujukan kepada
aktiti-aktiviti PAS. Malek Harun juga harus bertindak
ke atas program-program UMNO yang diketahui tidak
mempunyai permit. Malek Harun harus bertindak ke atas
program-program "ceramah" yang dianjurkan oleh Dr.
Shafie Salleh, Timbalan Menteri Kewangan. Dr. Shafie
Salleh boleh dikatakan setiap minggu mengajurkan
"ceramah" yang berselindung di sebalik "pengajian
kitab" di kediaman beliau di Morib. Bahkan menggunakan
kemudahan "Jabatan Penerangan". Apakah program-program
tersebut mempunyai permit? Atau kerana program
tersebut dianjurkan di kediaman beliau, maka permit
bukanlah suatu keperluan. Atau kerana penganjur itu
adalah seorang Timbalan Menteri maka permit tidak
perlu! Malek Harun seharusnya harus mampu menjelaskan
persoalan ini.
Sewaktu artikel ini ditulis(Sabtu 200402 9.45mlm), di
kediaman Dr. Shafie Salleh sedang berlangsung
"ceramah" yang diformatkan dalam bentuk majlis
penerangan dan pengajian kitab. Tinjauan pada pukul
7.00 petang didapati keadaannya agak sunyi, tidak ada
"pengunjug" dan tidak ada anggota polis, juga tidak
ada sekatan jalan raya, hanya terdapat sebuah van
Jabatan Penerangan. Penunjung agak ramai selepas pukul
8.00 malam, tetapi tidak ada anggota polis dan tidak
ada sekatan jalan raya. Begitulah keadaannya setiap
kali Dr. Shafie Salleh menganjurkan "ceramah" di
kediamannya. Persoalannya di mana Malek Harun?
Bukankah program di kediaman Dr. Shafie Salleh jelas
mengganggu keselamatan dari aspek lalu lintas?
Kereta-kereta diletakkan di kedua-dua bahu jalan
menghala ke Morib menjadikan keadaan jalan agak sempit
dan menghalang kelancaran lalu lintas. Apa tindakan
Malek Harun?
Apa alasan Malek Harun untuk tidak mengganggu program
di kediaman Dr. Shafie Salleh? Bukankah YDP Sepang
menganjurkan program di kediamannya sama seperti yang
dilakukan oleh Dr. Shafie Salleh? Jika program Dr.
Shafie Salleh diberikan permit, mengapa pula
permohonan permit YDP PAS Sepang ditolak? Sekiranya
program Dr. Shafie Salleh tidak memerlukan permit,
semata-mata kerana program tersebut dilaksanakan di
premis persendirian, mengapa pula polis bertindak ke
atas YDP PAS Sepang yang menganjurkan program dalam
lingkungan kediaman beliau? Kalau sekiranya program
Dr. Shafie Salleh tidak memerlukan permit, atas
sifatnya sebagai Timbalan Menteri, soalnya apakah
peruntukan undang-undang Malaysia mewujudkan perbezaan
penguatkuasaan dengan adanya pengecualian terhadap
segelintir pihak? Jika itulah hakikatnya, bukankah
sikap sedemikian adalah warisan Mesir purba dengan
tradisi "Firaun dan kefiraunan" yang membebaskan
segolongan tertentu dari kalangan yang berkuasa dari
tertakluk kepada tindakan undang-undang? Malek Harun
tidak seharusnya bertindak dalam lingkungan "double
standard" - piawai duaan.
Dalam apa keadaan sekali pun, Malek Harun perlu
membuktikan bahawa segala tindakannya adalah atas
dasar profesionalisme, bukan memperlihatkan dasar pro
UMNO. Malek Harun perlu memberikan perhatian terhadap
tindak tanduk UMNO yang menggunakan premis awam -
Dewan Orang Ramai Jugra umpamanya untuk
aktiviti-aktiviti parti yang sahihnya tidak mempunyai
permit. Begitu juga dengan Dewan Orang Ramai Kampung
Tali Air, Morib, sebuah premis awam yang akan
digunakan untuk mesyuarat agung UMNO cawangan Tali
Air. Bukan mesyuarat agung tahunan, juga adalah satu
perhimpunan yang memerlukan permit kerana dilakukan di
premis awam? Malek Harun sepatutnya lebih peka
terhadap kepentingan awam, bukan hanya menjadikan
alasan "kepentingan awam" apabila sesuatu program yang
terlibat, adalah program yang dianjurkan oleh PAS.
Program yang dianjurkan oleh UMNO dianggap sebagai
"suci murni". Malek Harun seharus dapat berfikir
secara telus serta lepas minda tertutup.
Dengan tidak bertindak ke atas majlis di kediaman Dr.
Shafie Salleh, maka Malek Harun juga tidak berhak
untuk "mengacau" majlis di kediaman YDP PAS Sepang.
Penahanan beliau lebih memperlihatkan kewujudan "super
ego" seorang pegawai Polis yang gajinya, elaunnya
serta kediamannya dibiayai oleh wang rakyat. Malek
Harun patut ingat, tidak semua rakyat yang membayar
cukai yang digunakan untuk membayar segala peruntukan
yang seharusnya dibayar kepada Malek Harun, adalah
penyokong dan ahli UMNO. Sebahagian besar daripada
mereka adalah ahli dan penyokong parti-parti
pembangkang yang dihalalkan oleh undang-undang!
Kelana Bakti
______________________
Terbitan : 22 April 2002
Ke atas
Home