MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Penahanan Sejahratol: Jangan Jadi Ketam

Oleh: Hj Mohnas

GERANGAN apakah sebab musabab Sejahratol Dursina @ Comel Mohamad ditahan di bawah ISA belum diketahui. Barangkali isteri kepada Yazid Sufaat, yang juga ditahan di bawah akta yang sama, turut didakwa mempunyai kaitan atau membuat hubungan dengan rangkaian al-Qaeda. Barangkali juga, ia hanyalah sebagai proses penyiasatan yang berhubung rapat dengan kes suaminya; sebagaimana dua orang mahasiswa sebelum ini ditahan untuk soal-siasat kes pembakaran Dewan Tunku Canselor UM. Malah, juga tidak mustahil hanya berdasarkan sangkaan-sangkaan polis atau tidak mustahil juga arahan dari mana-mana pemimpin politik.

Oleh sebab, pihak polis mempunyai kuasa menahan individu di bawah ISA tanpa memberitahu sebab-musabbab penahanannya, maka apa-apa sahaja spekulasi boleh dibuat oleh mana-mana pihak atau individu yang lain. Kalau pihak polis berhak menahan tanpa memberitahu sebab penahanan, maka jangan salahkan rakyat apabila merasa berhak juga membuat sebarang spekulasi sebab penahanan tersebut.

ISA sudah dilihat sebagai akta yang tidak berperikemanusiaan, apabila mengheret mana-mana individu atas sangkaan-sangkaan ke tempat yang tidak perlu dimaklumkan tanpa mendapatkan mana-mana perintah mahkamah. Individu itu tidak perlu tahu kenapa dia ditahan, ahli keluarganya juga tidak penting mengetahui sebab apa dan ke mana dia dibawa, malahan rakyat juga tidak perlu mengetahui kenapa orang sebegitu dianggap bahaya kepada negara.

Hanya yang perlu tahu, Menteri Dalam Negeri dan polis; menjadikan mereka golongan yang berkuasa.

Sekarang, mangsa ISA ialah seorang wanita; suaminya juga ditahan di bawah akta yang sama dengan meninggalkan anak-anak mereka berempat di rumah. Anak-anak mereka yang sebelum ini tidak mengetahui, mengapa bapa mereka dipisahkan, juga tidak akan mengetahui mengapa pula ibu mereka "dilarikan"?

Adakah undang-undang ini mempunyai perikemanusiaan? Sekurang-kurangnya, tidak kepada keempat-empat anak mereka.

Oleh sebab, Yazid Shufaat ditahan atas dakwaan terlibat dengan rangkaian al-Qaeda, maka tentulah sebab penahanan Sejahratol berkisar pada dakwaan yang sama. Namun, dakwaan tanpa bukti, di mana-mana mahkamah di dunia pun, sekiranya ditangani hakim yang adil dan proses penghakiman yang tulus, maka yang didakwa akan terlepas. Malahan, yang mendakwa boleh pula disaman, mempunyai niat yang jahat.

Namun, dalam ISA bukti tidak penting untuk menahan tertuduh. Kalau pun ada bukti, ia akan diperoleh semasa proses penyiasatan di tempat yang tidak diketahui. Selalunya, dengan buktilah maka seseorang itu ditahan, tetapi ini dengan penahanan, bukti diperoleh. Adakah ia dipanggil keadilan? Sekurang-kurangnya dalam Islam, ia tidak digelar adil. Islam mengajar, keterangan [bukti] kepada yang mendakwa, sumpah kepada yang didakwa. Islam juga mengingatkan, adalah lebih baik membebaskan sepuluh orang yang bersalah, daripada menghukum seorang yang tidak bersalah.

Sekarang, belum tentu seseorang yang ditahan di bawah ISA bersalah, kerana seandainya dia bersalah, tentu ada bukti yang menyabitkan dia bersalah. Dan tentulah, proses itu perlu menjalani proses perundangan di mahkamah.

Biarkan hakim yang membicarakan. Soal hakim itu relevant atau irrelevant, itu soal kedua. Proses pengadilan di mahkamah menjadikan ia proses yang terbuka. Rakyat boleh kenal siapa hakimnya, pendakwa-raya dan pembelanya.

Nasib Sejahratol tidak diketahui hujung-pangkalnya. Kalaulah tahanan lelaki pun dirisaukan ketika berada di tempat entah-berantah itu, inikan pula kepada seorang wanita. Bukan sahaja, ibu dan anak-anaknya yang bimbang, seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian juga bimbang.

Rakyat memang bersetuju, anasir-anasir yang boleh mengganggu ketenteraman awam ditahan dan dihalang daripada melakukan rancangan mereka yang jahat itu, tetapi biarlah penahanan dan halangan itu dibuat mengikut lunas-lunas keadilan.

Tidak ada mana-mana rakyat yang waras, merelakan niat jahat itu, dan tentulah rakyat yang sama juga, tidak merelakan tindakan ke atas mereka dibuat secara sewenang-wenangnya. Kerajaan meminta rakyat menerima proses keadilan, maka kerajaan perlu lebih menunjukkan kepercayaan terhadap proses keadilan itu sendiri.

Jangan sampai nanti, orang mengatakan persis ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Sekiranya pemimpin kerajaan mahu menjadi ketam, apa lagi pilihan rakyat, daripada menghalang ketam terus-terusan mengajar anak-anaknya berjalan songsang?

=====

......................
Artikal terakhir Sdr Hj Mohnas di laman ini ialah 17 Januari 2002.







______________________
Terbitan : 25 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com