MUQADDIMAH
Syiasah atau politik Islam pada umumnya dianggap
sebagai suatu kegiatan yang berhubung dengan urusan
(al-amr) umat Islam atau masyarakat Islam. Masyarakat
Islam atau umat Islam ataupun negara Islam pula, pada
umunya dianggap sebagai peraturan-peraturan dan
undang-undang atau perlembagaan yang dijadikan asas
dalam mengatur, mengurus dan mentadbir kehidupan
masyarakat atau umat Islam berbagai-bagai bidang dan
lapangan. Pada hakikatnya, kewujudan peraturan atau
undang-undang ataupun perlembagaan atau yang
seumpamanya telah mewujudkan masyarakat atau umat
ataupun negara itu sendiri. corak dan warna peraturan
atau undang-undang ataupun perlembagaan dalam suatu
masyarakat, umat atau negara telah menentukan nama
atau alirannya. Ini dihubungkan dengan suatu “kuasa”
yang diamanahkan oleh masyarakat, umat atau negara
untuk menjaga kedaulatan undang-undang di samping
melaksanakannya. Kesimpulannya undang-undang di
samping melaksanakannya. Kesimpulannya bahawa dalam
membicarakan politik Islam terdapat suatu persoalan
pokok iaitu pemerintahan (kerajaan) Islam (al-Hukumah
al-Islamiyyah) atau kepimpinan yang haq (al-Imamah
al-Haqqah)
PEMERINTAHAN (KERAJAAN/ NEGARA) ISLAM
Tokoh ahli fikir Islam, sejak dahulu lagi telah pun
memberikan penjelasan tentang Pemerintahan (kerajaan)
Islam atau kepimpinan yang haq. Ciri-ciri yang mengisi
pengertian atau takrif Pemerintahan Iislam ialah:
1. Pengantian tugas kenabian
2. Memelihara agama
3. Pengurusan atau pentadbiran urusan kehidupan
Ciri pertama menjelaskan tabiat hubungan Pemerintahan
Islam atau Kepimpinan dengan agama; iaitu kepimpinan
itu adalah suatu tugas penganti kenabian, yang juga
menjelaskan bahawa Syiasah al-Dunia itu termasuk dalam
kekhususan tugas kenabian atau risalah Nabi.
Ciri-ciri kedua dan ketiga menjelaskan bahawa tugas
yang mesti dipikul oleh Pemerintahan Islam atau
kepimpinan yang Haq ialah mengawal dan memelihara
kedaulatan, kesucian dan maruah agama Allah. Demikian
juga mengurus, mentadbir dan memimpin umat dalam
urusan kehidupan di dunia bagi mencapai kesejahteraan
hidup mengikut nilai-nilai dan garis panduan Syariat
Allah.
Kesimpulannya bahawa Pemerintahan Islam ialah
pemerintahan yang menganut atau menjadikan Islam
sebagai agama negara dan berusaha untuk melaksanakan
hukum-hukum dan syariat Allah dalam kehidupan dan
tamadunnya serta menghidupkan syiarnya.
Pengertian ini merangkumi semua ciri yang disebutkan
di atas dan merangkumi pengertian yang pernah
diberikan kerana:
1. Hukum syara’ menyuruh kita mengawal dan memelihara
agama, mempertahankannya, memperkukuhkan kedudukan
umat Islam di muka bumi, seterusnya menyuruh kita
membendung serangan musuh ke atas umat Islam,
memperluaskan seruan dakwah dan berjihad.
2. Hukum syara’ menyuruh kita mengatur hukum-hukum
dan undang-undang yang berhubung dengan penyusunan
tali perhubungan di antara pemerintah dan rakyat,
menentukan bentuk sistem negara dan undang-undang yang
menjamin kebebasan pada setiap individu dan kumpulan.
3. Hukum syara’ menyuruh kita mengikut, mentaati dan
melaksanakan syariat atau undang-undang yang mengatur
kehidupan sosial, ekonomi dan hubungan di antara umat
Islam dengan umat-umat lain, juga undang-undang lain
yang mencakup kehidupan individu dan masyarakat dalam
berbagai-bagai bidang. Hukum syara’ juga yang
menghubungkan kesemuanya itu dengan ketentuan hidup di
akhirat kelak.
4. Hukum syara’ menyakinkan kita bahawa kesemuanya
adalah diperintahkan oleh Allah dan agama-Nya, yang
wajib dii’tiqad, wajib diamalkan dan wajib
dilaksanakan semata-mata patuh dan taat kepada-Nya dan
untuk mendapat keredaan-Nya. Tidak ada suatu amal
walau bagaimana besar faedahnya di dunia ini yang
diperolehi oleh pelakunya ataupun oleh umat manusia,
yang diterima oleh Allah melainkan yang lahir daripada
orange yang benar-benar beragama dengan agama yang haq
serta untuk mendapatkan keredaan Allah. Kesemuanya ini
terkandung dalam firman Allah:
“Mereka yang jika kami (Allah) memperkukuhkan
(kedudukan) mereka dimuka bumi mereka mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang
ma’ruf dan menegah yang mungkar. Dan bagi Allah
kembali segala urusan”
[Al-Haj: 41]
penjelasan di atas merupakan intisari pemerintahan
Iislam yang sekata diakui oleh semua Ulama’, kerana
jelas disokong oleh nas-nas yang qat’i.
Dari kesimpulan diatas dapat diyakini bahawa
pemerintahan Islam seperti yang diperlukan dakam
pengertian tadi telah benar-benar wujud di zaman
Rasulullah s.a.w. sesungguhnya telah thabit secara
ijma’ bahawa Rasulullah s.a.w telah mendirikan sebuah
negara yang berasaskan syariat Allah di Madinah
selepas hijrah Nabi dari Mekah dengan baginda sendiri
menjadi ketua negaranya yang pertama.
Kedudukan sebagai ketua negara diakui selepas baiah
yang dibuat pertamanya di antara baginda dengan
Muhajirin, dan kemudian dengan Ansar, dan seterusnya
dengan orang yang menganut Islam. Baiah tersebut
bukanlah sebahagian daripada upacara yang dimestikan
untuk merasmikan penganut Islam atau upacara
pengislaman seseorang, tetapi adalah merupakan suatu
aqad atau ikatan janji setia yang mengandungi makna
kerelaan hati untuk taat dan patuh kepada Rasulullah
s.a.w sebagai Ketua Negara dan Imam kepada seluruh
umat Islam.
Sighah bai’at seperti yang diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari dan Ubadah bin Samit jelas mengandungi
hak-hak dan tanggungjawab yang menjadi kewajipan
keatas ketua negara membebankan tanggungjawab itu ke
atas rakyat dan berusaha bagi mendapatkan ketaatan
daripada rakyat kepada pimpinannya.
Baginda Rasulullah s.a.w telah mendirikan pemerintahan
Islam diatas asas-asas penyusunan sistem yang sesuai
dengan keadaan kemasyarakatan manusia pada masa itu,
yang kemudiannya asas-asas tersebut semakin positif
dan kompleks dan semakin mengambil bentuk yang lebih
rasmi mengikut perkembangan hidup manusia yang semakin
kompleks dalam susunan masyarakat dan tamadunnya. Ini
ialah kerana sistem pentadbiran dalam sesuatu
masyarakat atau negara itu merupakan refleksi daripada
realiti kehidupan suatu masyarakat dan keadaan
kemasyarakatannya.
Negara Islam yang didirikan oleh Baginda Rasulullah
s.a.w terbina di atas asas perlembagaan yang lahir
daripada cetusan prinsip “satu umat”. Negara Islam ini
telah membentuk susunan pentadbiran yang serupa dengan
penyusunan dan pentadbiran yang dibuat oleh negara
pada zaman ini, dipandang dari segi maudu’ walaupun
berbeza dari segi bentuk dan caranya.
Kesimpulannya bahawa Pemerintahan Islam telah
benar-benar terbentuk di bawah pimpinan Rasulullah
s.a.w. Hakikatnya ini diperakui oleh sejarah dan juga
ijma’, malahan itulah hakikat daripada konsep
kesempurnaan Islam itu sendiri. Penafian kepada
hakikat ini beerti penafian kepada kesempurnaan Islam
sebagai al-Din al-Haq pada zaman Rasulullah s.a.w
iaitu penafian yang menjejaskan aqidah keimanan.
Berikutan daripada kesimpulan di atas ialah ialah
persoalan: Apakah Pemerintahan Islam yang terbentuk di
bawah pimpinan Rasulullah s.a.w itu perlu di teruskan?
Apakah hukumnya menurut pandangan Islam?
Di dalam kitab-kitab aqidah sama ada yang ditulis oleh
Ahli Sunnah mahupun Syiah telah dikhususkan suatu
fasal yang membahaskan masalah ini. Ini menggambarkan
dengan jelas bahawa persoalan ini adalah persoalan
yang penting yang ada kaitannya dengan masalah aqidah
keimanan.
Semua penulis menyimpulkan bahawa mendirikan
Pemerintahan Islam dan melantik Kepimpinan yang haq
untuk menjaga dan memelihara kedaulatan syariat Allah,
di samping mengurus, mentadbir dan memimpin umat
mengikut lunas undang-undang Allah dan syariat seperti
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah satu
kewajipan, kewajipan. Kewajipan ini diakui secara
ijma’.
Ijma’ para sahabat r.a. selepas kewafatan Rasulullah
s.a.w yang mewajipkan umat Islam supaya dilantik orang
yang menggantikan Rasulullah s.a.w untuk menjalankan
tugas mengawal dan memelihara agama Allah yang dibawa
oleh Rasul-Nya dan melaksanakan hukum Allah dan
syariat-Nya. Walaupun pada peringkat awal terdapat
perselisihan pendapat, tetapi tidak seorang pun
daripada para sahabat yang mempertikaikan wajibnya.
Ijma’ para sahabat telah menerima Saiyidina Abu Bakar
sebagai Khalifah dan Imam kepada umat Islam. Walaupun
perlantikan Sayidina Abu Bakar r.a di perhimpunan
saqifah Bani Saidah berlaku hanya dengan kehadiran
sebilangan kecil Muhajirin dan Ansar, tetapi para
sahabat yang hadir itu terdiri daripada para sahabat
yang terbesar, sama ada Muhajirin ataupun Ansar, yang
mempunyai ketokohan pimpinan dan nilai perwakilan yang
sebenar dari suku kaumnya. Dengan perlantikan itu
sayidina Abu Bakar r.a. sendiri telah mengemukakan
perlantikan itu kepada kepada umum di Masjid. Tidak
seorangpun daripada kalangan sahabat yang mengatakan
tidak layak dilantik khalifah dan penubuhan
Pemerintahan Islam selepas Rasulullah s.a.w.
Demikianlah telah terbentuk ijma’ para sahabat yang
besar lagi dimuliakan mengenai kewajipan mendirikan
Pemerintahan Islam dan melantik Kepimpinan yang Haq
yang mengetuai pengurusan dan pentadbiran umat Islam.
Ijma’ para sahabat telah mengakui pemilihan Sayidina
Uthman bin Affan dan Sayidina Ali bin Abu Talib.
Pertelingkahan yang berlaku di antara Sayidina Ali dan
Mu’awiyah bukan kerana tidak perlu atau tidak wajib
dibentuk Pemerintahan Islam itu tetapi kerana tindakan
keatas pembunuhan Sayidina Uthman r.a dan bai’at yang
diberikan kepada Sayidina Ali r.a.
Demikianlah seterusnya ijma’ para umat Islam selepas
Khalifah Sayidina Ali, bahkan selepas kelahiran
berbagai firqah dalam umat Islam. Semua sekata tentang
wajib dilantik Kepimpinan yang memestikan pula
didirikan Pemerintahan Islam. Ijma’ umat Islam
mengenai kewajipan dirikan Pemerintahan Islam adalah
kerana adanya nas-nas yang qat’i. Diantaranya firman
Allah:
‘Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada
Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin dari
kalangan kamu”
[Surah al-Nisa’ ayat 58]
nas ini membuktikan dengan jelas bahawa pastilah ada
daripada kalangan umat orang-orang yang disebut oleh
nas al-Quran “Ulu al-Amr” yang wajib ditaati.
Dalam hadith ini dinyatakan tentang para Khulafa’ dan
mempunyai hak, juga dinyatakan perintah supaya
menunaikan bai’at kepada mereka. Amalan Rasulullah
s.a.w sendiri yang jelas membuktikan kewajipan
didirikan Pemerintahan Islam dan dilantik Kepimpinan
yang Haq yang berkewajipan melaksanakan hukum-hukum
Allah atau syariat-Nya.
Suatu yang amat jelas dapat diketahui bahawa syariat
Islam mengandungi bidang hukum-hukum yang diistilahkan
dengan Ahkam al-Syiasah al-Syar’iyyah, iaitu yang
menyentuh masalah siasah, ekonomi dan sosial, dan juga
bidang hukum yang diistilahkan dengan Ahkam Qadaiyyah.
Pelaksanaan hukum-hukum ini malahan dua pertiga
daripada hukum fiqah Islam bergantung pada adanya
suatu kuasa dalam masyarakat atau umat Islam; iaitu
yang adanya suatu kuasa dalam masyarakat atau umat
Islam; iaitu yang disebut “Imam atau Ketua Negara.”
Oleh kerana itu tanggungjawab mendirikan Pemerintahan
Islam dan Kepimpinan yang Haq serta tanggungjawab
memberikan bai’at mengikut lunas-lunasnya adalah
merupakan bebanan agama (taklif) yang amat berat yang
diletakkan oleh Allah di atas tengkok setiap muslim.
Kesimpulannya, mendirikan Pemerintahan Islam dan
Kepimpinan yang Haq adalah pokok bagi segala fardhu
kifayah; iaitu yang tertanggung ke atas umat Islam
yang merangkumi setiap anggotanya. Setiap individu
muslim akan berdosa selama kefarduan ini tidak
terlaksana. Tanpa diragui setiap individu muslim akan
ditanya di hadapan Allah mengenai kesalahannya kerana
tidak mengusahakan sesuatu yang termampu untuk
melaksanakan sesuatu yang difardhukan oleh Allah.
Mujahidah Islam
______________________
Terbitan : 30 April 2002
Ke atas
Home