Sevan Doraisamy
Isteri kepada tahanan ISA membuat aduan polis terhadap kenyataan akhbar Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Aliza Jaafar, isteri Saari Sungib bersama ahli keluarga tahanan ISA lain turut membuat aduan polis bersama.
Menurut Aliza, aduan polis ini merangkumi dua perkara.
“Pertama ialah mengenai kenyataan Kementerian Dalam Negeri bahawa Dr. Badrul Amin dalam keadaan sihat tetapi peguam kami ada pergi melawat mereka dan mendapati kenyataan tersebut tidak benar. Kemudian aduan kedua berkenaan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa dua dari tahanan tersebut telah makan. Kami mengesahkan bahawa mereka hanya mengakhiri mogok lapar mereka pada hari Ahad, 21 April. Jadi, kami membuat aduan mengatakan bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.”
Kata Aliza lagi, kenyataan palsu yang dikeluarkan ini akan mengakibatkan kekeliruan dan ketidakpercayaan di kalangan masyarakat yang bersimpati terhadap pemogok lapar ini.
Enam tahanan ISA mengadakan mogok lapar daripada 10 hingga 21 haribulan lalu. Mogok lapar ini diadakan untuk menuntut pembebasan mereka dengan mengingatkan umum bahawa sudah genap setahun penahanan mereka.
Selain Saari Sungib, mereka yang masih ditahan adalah Mohd Ezam Mohd Nor, Hishamuddin Rais, Tian Chua, Badrul Amin Bahrom dan Lokman Noor Adam.
Aliza juga menyatakan bahawa keadaan kesihatan tahanan ini sedang pulih tetapi Badrul dan Hishamuddin masih berada di hospital kem.
Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Dalam Negeri tidak dapat memberikan komen mengenai perkara ini. Apa yang dimaklumkan bahawa perkara sebegini mungkin sudah dimaklumkan kepada menterinya.
Aduan polis ini dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Ketika menghubungi pegawai di sana, dia memaklumkan bahawa aduan ini akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah, Taiping. Walau bagaimanapun, pegawai polis di Taiping menyatakan mereka masih belum menerima aduan ini.
Sumber : http://www.radiqradio.com
______________________
Terbitan : 25 April 2002
Ke atas
Home