Aku Janji adalah amat bertentangan dengan fungsi akademik mencari
ilmu
secara bebas, tanpa berpihak kemana-mana
Oleh Rosli Omar
Kerajaan mahu kita akademik menandatangani peraturan "Aku
Janji". Tujuannya, menurut Pekeliling 17 2001, untuk "melahirkan
pegawai
awam yang berdedikasi, komited, bertanggungjawab dan mempunyai
semangat
patriotisme yang tinggi untuk memajukan negara kita ini". Bagi orang
ramai
yang membaca tujuan ini mungkin menganggap bahawa ini adalah tujuan
yang
murni, yang tidak ada kontroversinya.
Aku Janji ini banyak kontroversinya; banyak implikasi buruk bagi para
akademik, masyarakat dan negara.
Mula-mula kita tengok dulu beberapa hal yang kita kena tandatangani
yang
saya anggap kontroversi. Kita kena mengaku akan mematuhi peraturan
ini dan
itu yang sudah pun wujud semasa kita menandatangani perjanjian
perkhidmatan
dengan UM. Ini sudah kita buat. Tetapi selain dari itu setiap dari
kita
dimestikan mengaku taat kepada "pekeliling dan surat pekeliling serta
peraturan dan arahan lain yang dikeluar dan dikuatkuasakan oleh
Kerajaan
dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatan saya dengan Kerajaan".
Maksudnya, kita diminta mengaku taat setia kepada sesuatu yang belum
lagi
wujud, yang kita tak tahu isinya, apa perintahnya, burukkah, baikkah.
Saya
tak dapat bayangkan macam mana ini boleh dituntut terhadap
kita. "Saya tak
tahulah apa yang nak disuruh saya taat setia, kepada apa, tetapi saya
mengaku akan taat setia, walau apa pun yang diminta."
Ini betul-betul tidak menghormati komuniti akademik. Kononnya fungsi
kita
adalah untuk berfikir tentang dunia dan masalah masyarakat secara
objektif,
tanpa pro kepada mana-mana pihak. Tetapi diminta kita mengaku taat
setia
kepada sesuatu yang tidak kita ketahui apa yang nak ditaatkan. Mana
boleh.
Isu Kontroversi
Ada tiga perkara lagi yang menjadi isu kontroversi pada pandangan
saya:
Perkara (i) "akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara
dan
Kerajaan";
Apakah makna "taat" di sini, terutama taat kepada kerajaan? Ia boleh
mentafsirkan teguran dari akademik, yang dibuat secara telus, sebagai
menentang sesuatu perintah, dasar, atau perlaksanaan dasar
kerajaan. Teguran ini, yang sepatutnya menjadi tugas akademik, boleh
ditafsirkan sebagai tidak taat terhadap kerajaan.
Keterangan dalam Pekeliling 17 mengenai Aku Janji bagi Perkara (i)
ialah,
"Pegawai yang menentang atau mengkritik dasar Kerajaan akan
merosakkan
kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya." Ini
bunyinya macam orang tidak ada kepercayaan diri. Begitu rapuhkah
perkhidmmatan awam, tidak boleh menerima teguran atau kritikan
langsung? Kalau begitu rapuh, teguran dan kritikanLAH yang akan
mengukuhkannya. Kelemahan sesuatu organisasi hanya boleh dibaiki
melalui
kritikan dan teguran. Kalau tidak, organisasi itu tidak akan tahu
bahawa
ada kelemahan dalam organisasinya. Syok sendiri, orang kata.
Satu lagi perkara memberi kontroversi yang sama. Perkara (ix):
berjanji
"tidak Ingkar Perintah Atau Berkelakuan Dengan Cara Yang Boleh
Ditafsirkan
Sebagai Ingkar Perintah." Seperti di atas juga, adakah teguran dan
kritikan
yang iklas, yang tidak disenangi pihak tertentu, dianggap ingkar?
Sebelum ini, dalam isu serangan penyakit Nipah, pada awalnya,
Kementerian
Kesihatan mengeluarkan perintah bahawa penyakit itu adalah penyakit
JE. Ia
tidak benarkan sesiapa, termasuk para akademik, untuk memberi
pendapat
lain, menyoal diagnosis itu.
Berpandukan diagnosis JE langkah pun diambil untuk melawan penyakit.
Bebarapa ahli akademik bagaimanapun "ingkar" dengan perintah dan
menyatakan
bahawa penyakit itu adalah Nipah. Tekanan dikenakan terhadap mereka
kerana
berani ingkar perintah.
Kemudiannya, pendapat sumbang ini didapati benar. (Kementerian cuba
berdaleh dengan menyatakan bahawa penyakit adalah Nipah dan juga JE,
nama
yang kekal sehingga sekarang). Diagnosis JE dengan tindakannya, tanpa
diagnosis sebenar yang dinafikan, menyebabkan kematian. Jika
kementerian
bersikap terbuka dan sedia menerima pendapat dari berbagai pihak,
mungkin
penyakit ini dapat dibendung dengan lebih baik, tanpa kematian.
Dalam penerangan bagi Perkara (ix), di sebut, "Dalam konteks ini
juga,
Kerajaan dari semasa ke semasa ada mengeluarkan arahan atau garis
panduan
tertentu melalui undang-undang, peraturan, pekeliling atau surat
pekeliling." Seperti disebut di atas, memberi taat setia kepada
sesuatu
yang akan diberitahu dimasa hadapan tidak dapat diterima.
PKAUM adalah suatu kesatuan sekerja ("union," bukan persatuan) yang
diberi
hak undang-undang untuk menjaga kepentingan ahlinya. Misalannya dalam
menyoal arahan-arahan yang dikenakan kepada ahli. Tetapi apa maknanya
jika
ahli telah pun bersumpah taat setia kepada sebarang arahan yang telah
dan,
lebih penting, yang akan diberikan dimasa depan. Dari segi moral dan
etika
tentulah tidak betul bagi sesuatu kerajaan mengenakan sumpah taat
setia
sebegini rupa. Macam mana pula dari segi undang-undang: selepas
mengaku
taat setia terhadap apa saja kemudian nak pertikaikan sesuatu arahan?
PKAUM pun tentu serba salah. Adakah Pekeliling 17 ini difikirkan
dengan
telti? Bolehkah kita menyoal samada kementerian berwibawa dalam hal
ini?
Takut nanti "akan merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan
perkhidmatan
awam keseluruhannya." Kita tak hendaklah buat sampai begitu.
Pengaruh Luar?
Perkara kontroversi terakhir, ialah Perkara (viii): berjanji "tidak
akan
membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong
atau
memajukan tuntutan saya atau pegawai lain berhubung dengan
perkhidmatan
awam". Adakah ini bermakna kita atau PKAUM tidak boleh meminta
bantuan
pakar luar untuk membantu dalam sesuatu yang perlukan keterangan
pakar,
pakar yang tidak terdapat di dalam universiti? Ataupun khidmat
peguam? Atau membawa masalah kepada pihak persatuan akademik
antarabangsa,
atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suhakam? Kita tidak tahu dimasa
depan
apa bentuk bantuan yang kita perlu. Agak berbahaya pada masa ini
untuk
mengaku taat akan Perkara (viii) pada hal kita tidak tahu bentuk
masalah
yang akan dihadapi kelak.
Mengikut penerangan Perkara (viii), "Sebarang masalah yang dihadapi
oleh
seseorang pegawai seharusnya diurus dan diselesaikan mengikut saluran
rasmi
yang disediakan".
Saya sudah banyak kali dengar tentang "saluran rasmi," dalam konteks
yang
berbeza-beza. Ada kalanya ianya berjaya menyelesaikan masalah. Ada
kalanya
ia cuma merupakan jalan untuk melenyapkan sesuatu isu yang tidak
disenangi,
tertimbus dek berbagai mesyuarat jawatankuasa itu dan ini. Dalam kes
ini,
jalan lain patut ada supaya masalah dapat diselesaikan.
Ini kehendak keadilan semulajadi (natural justice).
Mengikut penerangan itu lagi, "penggunaan pengaruh luar juga boleh
memberi
gambaran seolah-olah kepimpinan dalam perkhidmatan awam tidak mampu
dan
tidak cekap menangani masalah yang dihadapi oleh warganya." Seperti
dikatakan di atas, ini bunyinya macam orang yang tidak beryakinan
diri. Kalau yakin perkhidmatan awam kita adalah begitu baik, kenapa
takut
dengan bantuan luar? Saya lihat, penerangan Perkara (viii) ini betul-
betul
defensif, macam orang ketakutan, tanpa hujah yang baik, lalu
memainkan lagu
patriotisme dengan cuba menyakinkan diri tentang betapa baiknya
perkhidmatan awam kita; dan keyakinanan ini tidak boleh dipersoalkan
lagi. (Saya teringat kata-kata, patriotism is the last refuge of the
scoundrel.)
Antara lain, penerangan menyatakan, "Kecekapan dan keberkesanan
perkhidmatan awam banyak bergantung kepada kemampuan pegawainya
menguruskan
keperluan dan masalah mereka mengikut saluran yang betul. Dengan lain
perkataan, jentera pentadbiran awam akan berjalan lancar tanpa campur
tangan atau tekanan oleh pihak luar. Dengan menggunakan pengaruh luar
menunjukkan bahawa pegawai terbabit tidak mempunyai keyakinan
terhadap
kemampuan sistem pengurusan yang terdapat dalam perkhidmatan awam
untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu." Kalau betul-betul hendak
lancar, jangan bagi peluang langsung untuk buat aduan, untuk
bersuara,
saluran rasmi atau pun tidak rasmi. Ini adalah kelancaran sistem
autokratik. Sekali lagi saya katakan, jika kita begitu yakin dengan
sistem
pengurusan kita, apa hendak di takutkan orang luar.
Jika sebaliknya, kita sebenarnya tidak mampu, jika orang luar dapat
membantu, kenapa kita tidak hendak belajar? Tentu tidak boleh syok
sendiri,
berkeyakinan tanpa diuji. Konsep Karl Popper, "falsifiability" -
kebolehan
dipalsukan - sepatutnya digunakan sebagaimana dalam menguji teori
sains.
Kebebasan Akademik
Kalau kita teliti Pekeliling ini kita dapat gambaran bahawa ianya
ditujukan
kepada pentadbir awam, iaitu orang yang menjalankan perintah (macam
mana
mereka sudahi surat-surat mereka, Saya Yang Menurut Perintah). Dan
saya
difahamkan, memang surat aku janji yang dikenakan kepada para
pentadbir
dicedok terus untuk akademik. Saya berpendapat bidang masing-masing
berbeza
sama sekali untuk mengenakan aku janji bagi pentadbir kepada
akademik. Pentadbir menjalankan, implementasikan, perintah atau
dasar
kerajaan. Akademik dalam institusi pelajaran tinggi sebaliknya.
Akademik
perlu menganalisis dan mencetus ide-ide baru untuk memajukan ilmu dan
seterusnya masyarakat. Satu cara adalah dengan membantu dalam
menggubal
dasar secara terus dan satu cara lagi ialah dengan memberi kritikan
dan
teguran secara telus terhadap dasar yang sudah digubal.
Menurut American Association of University Professors,
AAUP, "Institusi
pelajaran tinggi
ditubuhkan untuk kebaikan sejagat bukan untuk kepentingan ahli
akademik
individu atau pun instutusi itu sendiri. Kebaikan sejagat bergantung
kepada
pencarian ilmu yang bebas untuk mendapat kebenaran dan penyebaran
yang
bebas bagi hasil pencarian itu." [1]
Dan menurut AAUP lagi, untuk mencapai kebaikan sejagat dan seterusnya
kebenaran, "kebebasan akademik adalah paling penting di dalam kedua-
dua
pengajaran dan penyelidikan. Kebebasan dalam penyelidikan adalah asas
bagi
mengembangkan kebenaran. Kebebasan akademik dalam pengajaran adalah
asas
bagi melindung hak-hak akademik dalam pengajaran dan kebebasan bagi
pelajar
untuk belajar."
AAUP di asaskan pada 1915 untuk mempertahankan kebebasan akademik
selepas
ahli ekonomi yang terkenal, Edward Ross di Universiti Stanford,
dibuang
kerja kerana Puan Leland Stanford tidak sukakan pendapatnya mengenai
ekonomi, terutama tentang monopoli perniagaan.
Bagi Robert Hutchins, bekas President Universiti Chicago, "pendidikan
semestinya melibatkan pemeriksaan kritikal terhadap segala
pendapat-pendapat yang berbeza; ia tidak dapat berkembang tanpa
kebebasan
berfikir, menyoal dan berbincang."
Bagi ahli falsafah Bertrand Russell, di dalam eseinya tentang fungsi
seorang pengajar, "sepatutnya menjadi tugas seorang pengajar untuk
.menanamkan kepada didikan mereka sikap fikiran terbuka, yang
menentukan
sesuatu isu berdasarkan meritnya." Bagi Russell juga, para pengajar
memainkan suatu peranan yang amat penting, "satu-satu cara yang ada
untuk
mencegah totalitarianisme . adalah dengan mengujudkan badan-badan
yang
mempunyai kebebasan dalam menjalankan kerja-kerja awam yang berguna,
dan
diantara mereka para pengajar adalah antara yang terpenting."
Noam Chomsky, institiut profesor di MIT, bercakap tentang
tanggungjawab
intellektual berkata, "tanggungjawab intelektual bagi seseorang
penulis,
atau sesiapa sahaja, adalah untuk menyatakan kebenaran."
Maka dari peringkat yang paling asas, segala sumpah taat setia kepada
pihak-pihak berkepentingan, termasuk Aku Janji terhadap mana-mana
kerajaan,
adalah amat bertentangan dengan fungsi akademik mencari ilmu secara
bebas,
tanpa berpihak kemana-mana, tanpa tujuan-tujuan berkepentingan.
Setakat
yang saya tahu, tidak ada mana-mana kerajaan yang mengamalkan
demokrasi
yang meminta sumpah taat setia daripada ahli akademiknya, terutama
taat
setia kepada apa saja yang akan difikirkan dimasa depan.
Dalam tahun 1982, bila Israel cuba mendapatkan sumpah taat setia dari
ahli
akademik Palestin bahawa mereka tidak akan menyokong PLO, 200 ahli
akademik
Israel sendiri menandatangani surat bantahan. Kata mereka, ini
melanggar
kebebasan akademik. George Schultz, Setiausaha Negara Amerika
Syarikat pada
masa itu, yang tidak dikenali sebagai bersimpati dengan perjuangan
rakyat
Palestin, pun membantah tindakan Israel dengan hujah yang sama.
Dengan sumpah taat setia Aku Janji para akademik akan berdiam diri di
dalam
kes Nipah tersebut tadi, atau di dalam kes di mana kerajaan tidak
membenarkan Indeks Pencemaran Udara (API) di beritahu umum atau
dibincangkan kesan tahap pencemaran kepada masyarakat. Tujuan
kerajaan
mengharamkannya adalah kerana takut pelancong luar tidak akan datang
ke
negara kita. Kesihatan rakyat sendiri tidak apalah. Biarlah kita
berasa
senang dalam kedangkalan, dalam tidak-tahu.
Sikap Mencari Ilmu?
Perdana Menteri Dr Mahathir, di dalam ucapannya di persidangan "Isu-
isu dan
Proses Pembukaan-Minda Orang Melayu Islam" 29 Januari tahun ini
berkata
bahawa orang Melayu /Islam mesti bersikap terbuka-minda untuk maju.
Dia
juga selalu berkata bahawa tamadun Islam telah mundur disebabkan
pengetahuan yang lapuk (ossification of knowledge) dan kurangnya
sikap
mencari ilmu pengetahuan (sprit of inquiry). Tetapi sikap terbuka-
minda dan
sikap mencari ilmu pengetahuan memerlukan suasana sekitaran yang
membolehkan perbahasan yang bebas menyoal, termasuk menyoal mereka
yang
berkuasa. Maka dengan sendirinya, sikap terbuka-minda dan suasana
sekitaran
ini adalah bercanggah dengan semangat Aku Janji. Untuk maju ke
hadapan
semangat seperti yang terdapat di dalam Aku Janji, semangat yang
mahukan
taat setia kepada apa saja yang sudah dan akan ditentukan, mesti di
luputkan.
Aku Janji boleh melemahkan semangat orang muda dari memasuki bidang
akademik, bila ditimpa satu lagi faktor menindas selain dari Akta
Universiti dan Kolej Universiti, OSA, dll. Kekurangan tenaga baru
akan
menyebabkan para akademik yang sedia ada dibebankan lagi dengan
penambahan
pengajaran dan mengurangkan masa penyelidikan. Akademia akan tambah
mundur.
Aku Janji bercanggah dengan tujuan menjadikan universiti kita
bertaraf
dunia. Aku janji akan merosakkan rancangan kerajaan sendiri untuk
menhghasilkan pemenang Hadiah Nobel.
Secara sampingan sedikit, saya tertarik dengan apa yang dikatakan
oleh
David Reisman, profesor sains sosial di Harvard, tentang pelajar yang
berjaya di dalam kerjaya mereka selepas keluar universiti, "mereka
adalah
yang tidak terlalu patuh, yang tidak mempunyai rekod A
memanjang.mereka
yang membangkang sedikit, kurang betul sedikit tetapi tidaklah lepa
terus;
pelajar begini biasanya menarik kepada pengajar yang dalam dirinya
sendiri
tidak ditutup terus perasaan membangkang mereka, iaitu perasaan yang
mendorong mereka menjadi pengajar pada mulanya, walaupun pelajar
sebegini
kadangkala membawa masalah kepadanya."
Akademik memang patut bersumpah taat setia - kepada sikap akademik:
"Saya berjanji akan taat setia kepada semangat terbuka-minda, sikap
mencari
ilmu pengetahuan demi mencari kebenaran tanpa prejudis, tanpa
berkepentingan."
...............................................
Rosli Omar ialah seorang akademik sektor awam. Beliau sedar bahawa
memberi
pendapatnya (yang ikhlas) mengenai Aku Janji akan
menjejaskan "kesihatan"
akademiknya. Tetepi ia harus dilakukan.
Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) (National Consciousness Movement)
______________________
Terbitan : 1 April 2002
Ke atas
Home