BANTU MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Masalah anak angkat dalam Islam

Alamatkan surat anda kepada:

Warta Darul Iman
Tingkat Atas U2,
Bangunan Dewan Undangan Negeri,
Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu
atau Tel: 09-6231957 sambungan 2268
Fax: 09-6267732
e-mel: upknt@terengganu.gov.my

Terdapat sebilangan wanita yang telah lanjut usia menggunakan pil supaya haid mereka aktif semula. Apakah darah yang keluar selepas terhenti dikira haid?
– Zainab Ismail, Kuala Kemaman.

Darah yang keluar itu sekiranya ia bersifat sepertimana sifat yang ada pada darah haid dan kedatangannya seperti kebiasaan darah haid maka ianya dikira darah haid.

Tolong tuan jelaskan mengenai saf sembahyang bagi kanak-kanak lelaki?
– Zubair Othman, Dungun.

Nabi S.A.W. telah menerangkan berkenaan saf di dalam sembahyang di dalam sabdanya: "Golongan lelaki yang berakal (baligh) hendaklah berada dibelakangku, kemudian mereka yang muda sedikit, kemudian yang lebih muda". {Riwayat Muslim} Di dalam perkara ini kanak-kanak hendaklah berada di belakang saf orang lelaki dewasa, selepas itu saf wanita dan kanak-kanak perempuan.

Bilakah seseorang yang menunaikan sembahyang secara berjamaah mendapat rakaat yang pertama bersama imam?
– Pemuda ingin tahu, Hulu Terengganu.

Rakaat pertama berhasil sekurang-kurangnya apabila seseorang mendapati dan bersama imamnya pada ruku’ rakaat tersebut dan sempat untuk bertoma’ninah bersamanya.

Saya minta penjelasan dari tuan mengenai harta pusaka bapa saya yang dijaga oleh abang sulung saya dengan tidak mengagihkannya kepada kami adik beradik setelah sekian lama.
– Abdul Aziz Husain, Jerlun, Kedah.

Seseorang yang memegang amanah hendaklah menyerahkan amanah tersebut kepada yang berhak tanpa melengah-lengahkannya terutama di dalam perkara yang melibatkan harta pusaka. Perbuatan membolot harta pusaka berseorangan tanpa dibahagikan kepada yang berhak adalah haram.

Apakah perkara yang sunat dilakukan terhadap bulu-bulu yang tumbuh di tubuh badan seorang?
– Mohd. Ali Mahmud, Besut.

Sunat bagi lelaki dan perempuan mencukur atau memendekkan atau mencabut bulu ketiak, ari-ari dan misai. Adapun bulu kening, bulu mata dan bulu roma hendaklah dibiarkan tumbuh tanpa memotong atau mengeratnya bahkan haram dicabut atau dicukur.

Apakah boleh bercakap ketika mengambil wudhu’ dan bagaimana pula ketika kita membuang air kecil atau besar?
– Siti Suhailah Azman, Klang, Selangor.

Tiada larangan bahkan harus bagi orang yang sedang mengambil wudhu’ bercakap-cakap ketika itu terutama sekiranya percakapan itu amat diperlukan. Tetapi dimakruhkan bagi orang yang sedang membuang air bercakap-cakap ketika itu kecuali di dalam keadaan terdesak.

Saya memohon penjelasan tuan mengenai orang lelaki yang menunaikan sembahyang tanpa berbaju?
– Pencinta Solat, Marang.

Di antara syarat sah sembahyang seseorang yang menunaikannya hendaklah menutup aurat. Bagi lelaki auratnya adalah di antara pusat hingga ke lutut, dengan itu sembahyang yang dilakukan oleh seseorang lelaki yang tidak memakai baju adalah sah tetapi sebaik-baiknya hendaklah menutup sekelian tubuh badannya. Inilah maksud ayat 26 dan 31 surah Al-A’raf.

Bolehkah seseorang menggunakan sihir untuk mengubat orang yang terkena sihir.
– Haji Zamri Nukman, Rompin, Pahang.

Pengamalan, pembelajaran atau penggunaan ilmu sihir diharamkan di dalam Islam walaupun untuk mengubat orang yang terkena sihir bahkan hendaklah dicari alternatif lain untuk mengubatinya terutama pembacaan Al-Quran kepada pesakit. Ini berdasarkan di dalam sebuah hadith yang bermaksud: "Berubatlah dan jangan berubat dengan benda yang haram...". {Riwayat Ahmad dan Abu Daud}.

Bolehkah mumia dipamerkan di muzium?
– Peminat sejarah silam, Kuala Lumpur.

Haram dipamerkan mayat-mayat manusia kerana ianya menghina kehormatan manusia itu sendiri.

Bolehkah tanah wakaf perkuburan dijadikan tempat tinggal?
– Yusof Awang, Kuala Terengganu.

Tanah perkuburan adalah suatu tempat yang mempunyai kehormatannya tersendiri. Oleh kerana itu ia tidak boleh dicerobohi seperti membina rumah di atasnya. Nabi S.A.W. melarang kita daripada duduk di atasnya, memijaknya atau lalu di atas tanah kubur seseorang dan mengoreknya tanpa hajat.

Bolehkah seseorang anak angkat dibinkan kepada ayah angkatnya?
– Pemelihara anak angkat, Hulu Terengganu.

Perbuatan tersebut adalah haram, berdasarkan maksud ayat 4 -5, Surat Al-Ahzab yang bermaksud: "Dan dia tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri , yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja… Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah."

Tolong tuan jelaskan batasan Syara’ di antara anak angkat dengan keluarga angkatnya?
– Pemelihara anak angkat, Hulu Terengganu.

Anak angkat (lelaki atau perempuan) yang dipelihara oleh selain daripada keluarga kandungnya sendiri, sebaik-baiknya hendaklah disusukan oleh keluarga angkat tersebut (isterinya, adik beradik isteri atau suami). Anak angkat sebegini adalah anak susuan yang mendapat taraf seperti anak kandung sendiri di dalam segi pergaulan keluarga. Sekiranya tidak dilakukan sebegini maka anak angkat tersebut masih lagi dianggap sebagai orang asing di dalam keluarga tersebut yang perlu dibatasi pergaulan dan permasalahan aurat.

Apakah benar seorang perempuan tidak dibenarkan untuk mengerjakan sembahyang zohor pada hari jumaat melainkan setelah selesai sembahyang Jumaat itu dikerjakan?
– Ingin tahu, Setiu.

Wanita tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang jumaat. Oleh itu dia boleh menunaikan sembahyang zohor sebaik sahaja masuk waktunya. Akan tetapi lelaki yang di dalam keadaan uzur disunatkan tidak menunaikan sembahyang zohor melainkan apabila selesainya sembahyang tersebut, sekiranya diharap uzurnya hilang sebelum jumaat itu selesai dilakukan.

Apakah orang perempuan yang menunaikan solat jumaat perlu mengulangi solat zohor pada hari tersebut?
– Hajjah Aminah Abdul Rahman, Besut.

Sembahyang jumaat itu adalah sah dan memadai untuk hari tersebut dan tidak perlu baginya untuk menunaikan solat zohor lagi.

Apakah wajib ditunaikan wasiat bapa yang meminta supaya dibahagikan harta pusaka sama rata di antara anak lelaki dan perempuannya?
– Penerima harta pesaka, Kuantan, Pahang.

Allah S.W.T. telah menetapkan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak sebagaimana maksud ayat ke 11 Surah An-Nisa’: "Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan". Oleh kerana itu wasiat si bapa tidak boleh diikuti kerana ia bercanggah dengan nas Al-quran.

Apakah hukum mengukir tatu dibadan?
– Khairul Nisa’ Haji Amiruddin, Kuala Terengganu.

Mengukir tatu adalah haram di dalam syariat Islam dan wajib dihilangkan sekiranya boleh melainkan ianya memudharatkan. Ketika itu cukuplah bagi orang yang melakukannya bertaubat kepada Allah.







______________________
Terbitan : 13 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com