BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Manfaat Buat Rakyat Jika Pembangkang Kuat

Oleh EDITOR MAJALAH TAMADUN

Indera Kayangan menyaksikan pembangkang kalah dan majoriti BN meningkat. Ketari merakamkan episod lebih pilu, pembangkang tewas dan majoriti BN meningkat sepuluh kali ganda. Biarpun pelbagai justifikasi diberikan untuk kekalahan itu, pembangkang tidak wajar menyalahkan seteru politiknya semata-mata, dengan tidak bersedia menghakimi kelemahan diri sendiri.

Masakan tidak, selepas seminggu Puteri Umno berkubu siang malam di Ketari, Barisan Alternatif belum dapat memutuskan sama ada mahu turut membantu DAP atau tidak. Manakala DAP pula begitu payah untuk mempelawa parti sahabat membantunya. “Kita nak tengok, sampai ke mana ego Kit Siang dan Karpal Singh,” kata seorang anak muda PAS yang aktif dalam parti Islam itu sejak di kampus lagi. Ramai juga yang – mungkin tanpa sedar – mengharapkan bukan saja DAP kalah tetapi juga BN dapat tingkatkan majoriti bagi mengingatkan DAP bahawa keputusannya keluar BA bukan saja silap tetapi merugikan dirinya sendiri.

Hakikat yang mesti difahami sejak sekian lama ialah tiada mana-mana parti pembangkang boleh mendabik dada untuk berdepan secara solo dengan gabungan belasan parti yang membentuk BN. Sudahlah tiada parti pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak (yang menyediakan kerusi Parlimen agak banyak), asas yang dibentuk oleh Barisan Alternatif beberapa bulan sebelum pilihanb raya 1999 berkecai begitu sahaja.

Tidak mustahil pilihan raya 2003 akan mengulangi nasib malang keputusan pilihan raya 1995, selepas pembangkang Melayu, PAS dan Semangat 46, menikmati sokongan mendadak pengundi pada 1990. Ditambah pula dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan sekatan yang ditimpakan ke atas pembangkang, seperti pengharaman ceramah dan pengurangan kekerapan Harakah. Isu militan dan serangan ke atas Amerika pada 11 September tambah memudarkan imej PAS, dan sudah pasti tempiasnya terkena pada DAP dan KeADILan.

Soalnya, apa pilihan yang ada pada gabungan pembangkang memandangkan pilihan raya makin hampir tetapi persediaan nampaknya belum dimulakan. Krisis dalaman KeADILan, satu parti yang mewarnai senario politik menjelang pilihan raya 1999, seperti sukar untuk diredakan. Sedangkan KeADILan perlu terus subur dan mekar, terutama di kawasan yang tidak begitu mesra dengan PAS dan DAP. Dan jika perlu, penyokong PAS sendiri wajar memeriahkan program KeADILan dan memastikan kelangsungan hayat parti yang muncul di zaman tuntutan reformasi itu.

Mengharapkan pembangkang terus kuat dan mantap, sehingga mampu menawarkan pemerintahan alternatif tidak bermakna kita menjadi penyokong totok pembangkang. Sesungguhnya negara yang pembangkangnya dapat berperanan secara berkesan akan membawa banyak manfaat kepada kesejahteraan rakyat. Sebaik mana pun seseorang, jika ia diberi kuasa mutlak tanpa pemantauan oleh pihak lain, akhirnya hanya keburukan yang akan kita lihat.

Pembangkang yang kuat akan menjadi igauan ngeri buat pemerintah yang zalim, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menindas, tidak demokratik dan tidak pro-rakyat. Kita mahu melihat semua parti-parti yang bertanding dalam proses demokrasi yang adil dan saksama, akan berlumba-lumba untuk menyumbang bakti buat rakyat, bukannya asyik mencari lubang dan peluang untuk mempergunakan kedudukan dalam kerajaan bagi kepentingan diri, kelompok dan suku-sakat masing-masing.

Rakyat harus ditingkatkan kesedaran politik mereka, biar mereka tidak mudah diperbodohkan parti-parti yang bertanding. Kita tidak mahu rakyat hanya didampingi dalam musim pilihan raya. Ketika kempen, perayu undi sanggup berbuat apa saja, berjanji apa saja, dan yang berduit akan bermurah hati membeli sokongan, namun selepas segalanya berakhir, rakyat bawahan terus dipinggirkan dan hanya akan disapa semula pada kempen pilihan raya akan datang.

Di Parlimen, parti yang menang besar boleh meminda perlembagaan dan meluluskan undang-undang baru sewenang-wenangnya. Kalaupun ada bantahan, ia hanya sekadar memanaskan kerusi persidangan Parlimen. Tetapi jika parti pemerintah diapit oleh bilangan pembangkang yang memadai untuk menggoncangkan kerajaan jika tercetus isu-isu kontroversi, mungkin amalan rasuah dan seumpamanya dapat diminimumkan.

Kadang-kadang dengan tidak menukar kerajaan pun, banyak faedah yang dapat dinikmati rakyat jika jumlah keanggotaan pembangkang dapat ditingkatkan, dan beberapa negeri lagi jatuh ke tangan Barisan Alternatif.

-----
Dapatkan majalah Tamadun terbaru di pasaran







______________________
Terbitan : 10 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com