BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Hari Asyura - Nukilan Ummu 'Urwah

Hari Asyura

Kami menyambut 10 Muharram 1423 Hijrah atau lebih dikenali sebagai Hari Asyura di Kem Tahanan Kamunting bersama para tahanan pada hari Ahad 24 Mac yang lalu walaupun mereka berpuasa. Makcik Aishah dan Zumrah telah menyediakan bubur Asyura untuk Ezam, Ustaz Badrul, Saari, Lokman, Isham dan Tian Chua dan pihak Kem telah bermurah hati membenarkan bubur itu dibawa masuk untuk mereka berbuka puasa. Sejak 15 Mac mereka telah digabungkan di dalam sebuah blok yang dulu didiami oleh Ustaz Badrul dan Lokman sebelum Ustaz dibebaskan untuk tiga bulan. Blok ini agak sempit sedikit daripada blok sebelum ini. Saari terpaksa menghantar pulang berkotak-kotak buku-buku beliau kerana tidak cukup tempat untuk meletakkan semua buku-buku bacaan dan rujukan beliau. Saya dan anak-anak membawa pulang beberapa buah buku-buku tersebut setiap kali lawatan.

Buku-buku ini menjadi teman rapat beliau dan kami menyediakan rak khas di rumah untuk menyimpan buku-buku ini yang mempunyai cop Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, ditapis dan ditandatangani oleh pegawai bertugas pada tarikh ia diluluskan untuk diserahkan kepada beliau. Saari pula akan mencatat bila buku ini selesai dibaca. Setakat ini lebih daripada 30 buah buku habis dibacanya. Sebanyak 20 buah buku pula digunakan sebagai rujukan apabila menulis representasi beliau.

Pencabulan Hak Asasi Manusia oleh Polis Diraja Malaysia

Pada 14 Mac 2002, Gerakan Mansuhkan ISA telah membuat aduan kepada SUHAKAM akan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku pada 27 Oktober 2001 apabila polis bertindak ganas menyurai dan menahan orang ramai yang datang untuk menghantar memorandum kepada Pegawai Yang Menjaga Kem Tahanan Kamunting. Pada hari tersebut seramai 48 orang ditahan tetapi telah dibebaskan dengan ikat jamin polis tetapi mereka tidak didakwa sehingga hari ini. Kebanyakan yang ditangkap adalah mereka yang sedang makan di restoran berhampiran!

Pada hari tersebut tangkapan dibuat adalah kerana pihak polis telah merancang untuk menahan beberapa orang. Polis juga tidak membenarkan orang ramai bersurai dan ugutan dibuat terhadap mereka yang membuat aduan polis. Saya turut sama mendengar aduan yang dibuat kerana saya juga berada dalam delegasi menghantar memorandum tersebut. Tetapi kami, keluarga tahanan dirancang agar tidak ditangkap kerana pada hari tersebut polis berada bersama keluarga berkumpul apabila delegasi dibenarkan bergerak ke Kem. Saya juga menerima senyuman, lambaian dan teguran mesra daripada polis Taiping kerana ada di antara mereka yang mengenali saya dan ada juga yang bertugas semasa saya ditangkap pada 15 Julai semasa Perhimpunan Aman Sempena 100 Hari Tahanan Reformasi ISA 2001. Malah saya juga menerima senyuman daripada polis yang menangkap saya. Dalam hati saya berkata, “Ooh..hari ini mereka relax sikit sebab tidak mendapat arahan untuk menangkap keluarga tahanan.”

Saya mengambil peluang menegaskan kepada pihak SUHAKAM bahawa ISA adalah satu undang-undang yang telah disalahgunakan demi kepentingan politik pemimpin Barisan Nasional. Suami saya dan tahanan Reformasi adalah jelas mangsa penyelewengan pihak polis dan saya mendesak agar SUHAKAM bertindak segera menjalankan siasatan dan menasihatkan agar tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang telah mencabul undang-undang iaitu pihak polis Cawangan Khas sendiri. Para tahanan dan keluarga mereka adalah mangsa kezaliman ini dan hak asasi kami dicabul sewenang-wenangnya. Kami menderita dianiaya oleh kerajaan yang mengaku sebagai sebuah negara demokrasi padahal ia adalah begitu hampir sebagai negara kuku besi.

Memorandum yang ingin diserahkan menuntut hak asasi kami dan tahanan yang dipenjarakan tanpa bicara ini agar tidak diperlakukan seperti banduan tenggelam begitu sahaja. Kini kami masih dipisahkan dengan jaring apabila mengadakan pertemuan dan tahanan masih tidak dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan yang telah dilemparkan oleh bukan calang-calang orang iaitu Ketua Polis Negara dan juga tidak ketinggalan Perdana Menteri Malaysia. Tidak hairanlah isu hak asasi manusia yang tercemar di Malaysia kini menjadi tumpuan dunia antarabangsa. Pernah tahanan politik pemimpin Liga Kebangsaan untuk Demokrasi di Myanmar, Aung San Suu Kyi menyatakan rasa bimbangnya akan keadaan hak asasi manusia di Malaysia.

Saya pasti tangkapan 15 Julai juga adalah pencabulan hak asasi manusia dan saya ditangkap juga hanya semata-mata untuk menakut-nakutkan kami dan penyokong-penyokong Reformasi dan untuk melemahkan semangat kami. Tangkapan terhadap saya juga adalah berniat jahat. Kes kami 37 orang masih belum dibicarakan dan setakat ini sudah tiga kali ditangguhkan iaitu pada 19 Mac di Mahkamah Sesyen Taiping kepada 9 dan 10 Julai 2002.

Kenyataan Ketua Polis Negara sempena Hari Polis ke-159 mengaku imej polis terjejas berpunca daripada kelemahan sikap, sistem dan logistik. Di samping mengalu-alukan kenyataan tersebut, saya percaya ia adalah hanya kenyataan melepaskan batuk di tangga. Bagaimana imej polis yang diperalatkan oleh pemimpin politik Barisan Nasional yang kemuncak penyelewengan tersebut adalah menggunakan ISA terhadap rakyat yang mendedahkan penyelewengan kerajaan?. Kami keluarga tahanan ISA menuntut beliau membawa bukti-bukti atas dakwaan yang dibuat terhadap suami kami dan ahli keluarga kami. Kalau orang nombor satu PDRM boleh membuat tuduhan tanpa bukti terlepas begitu sahaja apalah lagi yang di bawah sana. Bagaimana KPN sebelum ini yang membelasah Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga kini menderita sakit tulang belakang? Saya tidak pernah pula mendengar KPN itu memohon maaf atas perbuatan beliau yang “terlanjur”.

Tidak mungkin imej polis boleh diubah jika pihak atasan sendiri tidak berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme mereka. Suami saya dan semua tahanan ISA sendiri dapat menjadi saksi atas pembohongan dan salahguna kuasa polis Cawangan Khas. Suami saya telah mendedahkan beberapa kes bahawa pihak polis Cawangan Khas telah berbohong di hadapan beliau. Ini semua telah beliau dedahkan di hadapan Lembaga Penasihat Kamunting semasa sesi Rayuan beliau yang telah pun diedarkan dalam buku Suara Dari Kamunting 1 dan 2. Beliau juga turut membuat aduan kepada Lembaga tersebut dalam tiga jilid lagi dan akan kami edarkan tidak lama lagi, insya-Allah

Menurut suami saya, bahawa sebelum beliau bertolak ke Kamunting dari PRC, seorang pegawai Cawangan Khas berketurunan India memberitahu beliau:”ISA is a preventive law. Advisory Board is a check-and-balance to the power of Home Minister. There is no repressive law in this country, only preventive law”. Selepas beliau berada di Kem Kamunting, beliau membaca buku peraturan penahanan ISA dan didapati Lembaga Penasihat selepas mengadakan pertemuan dan menilai orang tahanan akan melaporkan perkembangan kepada Menteri Dalam Negeri. Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa penuh terhadap perintah tahanan. Kenyataan pegawai SB India sebelum suami saya dihantar ke Kem Kamunting adalah dusta semata-mata.

Begitu banyak pendustaan dan jenayah yang telah mereka lakukan. Tetapi adakah mereka akan dibawa ke muka pengadilan? Saya, keluarga dan tahanan menuntut dibawa ke mahkamah dan dihakimi siapa yang sebenarnya telah bersalah. Janganlah menganiaya sesama manusia. Kami bukan sahaja menuntut mohon maaf daripada pihak yang menfitnah kami tetapi demi keutuhan hak rakyat di dalam perlembagaan, siapa yang bersalah mestilah menerima padahnya agar ia menjadi pengajaran bagi orang lain agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Jika ini dapat dilaksanakan, maka barulah imej sebenar PDRM dapat dipulihkan.

Saya petik nasihat yang ditulis oleh suami saya melalui surat yang beliau ambil daripada sebuah buku berjudul “Ash-Shifa” karangan Qadi ‘Iyad yang dilahirkan pada 496 H dan berasal dari Andalusia. Karya-karyanya cukup hebat tetapi beliau telah meninggal dunia hanya pada umur 48 tahun. Antara hadith-hadith yang dinukilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya: ”Seseorang yang mengenali nilai dirinya pasti tidak akan dibinasakan”(Ibn Sam’ani). “Seseorang yang bermuka-muka tidak punya nilai di sisi Allah” (Muslim & Bukhari). “Kezaliman akan dibangkitkan sebagai satu kegelitaan pada Hari Akhirat.”(Muslim & Bukhari).

Marilah kita sama-sama berjuang menentang kezaliman dan agar kita dipelihara oleh Allah tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang zalim. Kita renungi kata-kata A. Mahadeva yang ditahan di bawah ISA pada tahun 1963 di Singapura, bersama-sama Pak Sa’id Zahari iaitu”I came out of the experience with strong view that arbitrary detention is cruel, inhuman and degrading”

Hidup Reformasi!

Aliza Jaffar
27 Mac 2002







______________________
Terbitan : 1 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com