HULU TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedang mengenalpasti satu kawasan untuk dimajukan bagi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat orang asli di Sungai Brua di sini. Kerajaan mahu melihat di masa akan datang masyarakat orang asli tidak lagi bergantung hidup dengan berpindah-randah masuk hutan secara tradisional. Kerajaan negeri juga berhasrat untuk membuat perubahan kepada masyarakat orang asli bagi meningkatkan taraf hidup mereka ke arah yang lebih baik. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan, Haji Abu Bakar Abdullah berkata demikian di Majlis Penyampaian Bantuan Kepada
Orang Asli, di Dewan Perkampungan Orang Asli Sungai Brua, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Katanya, masyarakat orang asli perlu bersedia membuat perubahan cara hidup seiring dengan dasar kerajaan negeri. Menurutnya, masyarakat orang asli perlu membuat perubahan sikap serta cara hidup bagi meningkatkan pembangunan insan dan sosio ekonomi masing-masing. "Saya harap tuan-tuan di kalangan masyarakat orang asli buat perubahan cara hidup seiring dengan dasar kerajaan negeri," ujarnya.
Katanya, pembangunan insan di kalangan masyarakat orang asli dititikberatkan dengan mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam. Selain itu, beliau berharap agar generasi baru masyarakat orang asli dapat meningkatkan taraf pendidikan serta ilmu agama Islam. "Orang-orang asli di Jabor, Kemaman dan Sungai Sayap Besut telah berjaya meningkatkan taraf hidup dan berdikari.
"Saya yakin dan percaya masyarakat orang asli di Sungai Brua Hulu Terengganu juga mampu meningkatkan taraf hidup mereka dan melepasi garis kemunduran itu," ujarnya. Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu serta membimbing mereka bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa.
Di majlis tersebut Kerajaaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM47,880 untuk diagihkan kepada 57 buah keluarga masyarakat orang asli dan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM840. Hadir sama di majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Mustaffa Sidek, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan, Dr. Haji Alias Razak dan Pegawai Orang Asli negeri, Haji Salim.
______________________
Terbitan : 25 April 2002
Ke atas
Home