Assalamualaikum!
Dalam ruangan yang lepas, saya telah membicarakan betapa pentingnya budaya infaq atau budaya menyumbang untuk pembentukan Bandar Sejahtera Kuala Terengganu. Bagaimanapun, masyarakat juga seharusnya menyedari bahawa pembentukan budaya infaq seharusnya berlaku secara bersama, tersusun, saling lengkap melengkapi dan seharusnya tidak bertentangan antara satu sama lain.
Contohnya, seorang pemilik kedai makan telah menyumbangkan sepenuh tenaganya dalam program sehari gotong royong membersih longkang. Tetapi di masa yang sama, pembinaan kedainya tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Akibatnya, saliran air kumbahan dari kedainya tidak sempurna dan menyebabkan longkang menjadi tersumbat. Fenomena ini mengganggu keselesaaan pengguna dan pemilik kedai-kedai yang lain.
Persoalan di sini ialah adakah kita boleh mengatakan pemilik gerai yang tidak mengikut garis panduan tadi sebagai penyumbang kepada pembentukan bandar sejahtera? Memang kita seharusnya memberi penghargaan kepada pemilik gerai tadi kerana bersama menyumbang bergotong royong membersihkan longkang. Tetapi program tersebut berkemungkinan sekali atau dua kali setahun, tetapi gerainya yang menyebabkan sistem longkang tersumbat berterusan selamanya selagi ia tidak dipinda mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Lebih buruk lagi apabila gerai tersebut dijadikan contoh dan panduan oleh pemilik pemilik gerai yang baharu. Jadi disinilah letaknya betapa pentingnya mentaati kepada undang undang dan peraturan yang dikeluarkan PBT. Pembinaan Bandar Sejahtera Kuala Terengganu memerlukan ketaatan masyarakat kepada peraturan dan undang undang.
Justeru, masyarakat seharusnya menyedari bahawa ketaatan mereka kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh PBT sebenarnya sumbangan mereka yang awal kepada pembentukan bukan sahaja bandar sejahtera, malah negeri yang sejahtera. Inilah elemen terpenting kepada kewujudan masyarakat dan negeri yang harmonis. Harmonis apabila semua taat kepada garis panduan yang ditetapkan.
Sebaliknya kacau bilau dan kelam kabut akan berlaku apabila semua orang mempunyai pandangan yang tersendiri di dalam semua hal dan berlaku pilihan untuk taat atau tidak kepada peraturan dan undang undang yang ditetapkan. Bayangkan betapa kelam-kabutnya yang akan berlaku apabila pemandu mempunyai pilihan tersendiri untuk berhenti atau tidak apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah.
Begitu juga di dalam rumahtangga, betapa tidak harmonis rumahtangga yang isterinya mempunyai pilihan untuk taat atau tidak kepada suaminya, dan anak pula mempunyai pilihan untuk taat atau tidak kepada orang tuanya. Begitulah juga dalam konteks keharmonian bandar Kuala Terengganu, ia juga amat memerlukan kepada ketaatan masyarakat terhadap peraturan dan undang-undang yang diwujudkan.
Ketaatan ini juga tidak membenarkan ruang ‘pilihan’ individu untuk akur atau engkar. Bagi yang akur, merekalah penyumbang yang sebenar dan bagi yang engkar merekalah penghalang dan perosak. Mungkin hukuman seperti denda dan kompaun adalah sesuai untuk golongan kedua ini.
______________________
Terbitan : 30 April 2002
Ke atas
Home