MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

‘Rawatan Keluarga’ Formula Pengarah YPK

Apakah peranan YPK?

YPK ditubuhkan di bawah Enakmen Negeri Terengganu Bil 13/85. Ia merupakan sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan bagi membangunkan institusi keluarga yang melibatkan aktiviti seperti ekonomi, pendidikan dan juga agama. Ia berperanan memberi bimbingan dan kaunseling melalui program jaya diri untuk membina pembangunan keluarga secara keseluruhan.

Apakan visi dan matlamat YPK?

Secara dasarnya, YPK berada di atas landasan yang betul dari segi pelaksanaan dan pendekatan yang

digunakan. Namun, saya ingin melihat yayasan ini menjadi penggerak kepada pembangunan keluarga berasaskan kepada tiga pendekatan utama iaitu dari segi rohani, akal dan jasad. Asas kepada kehidupan yang sempurna adalah didasari oleh kukuhnya institusi keluarga itu sendiri.

Dalam hal ini saya ingin menyatakan bahawa matlamat yayasan ini adalah untuk membantu Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pembangunan keluarga berlandaskan Islam. YPK sendiri berfungsi untuk meningkatkan institusi kekeluargaan ke arah cara hidup yang lebih sempurna. Dari segi matlamat, saya melihat tiga pendekatan yang boleh digunakan di dalam memastikan kejayaan YPK.

Pertama, saya ingin menjadikan YPK sebagai sebuah agensi kerajaan yang berperanan di peringkat paling asas dalam pembangunan negeri. Keduanya, membolehkan YPK berperanan di dalam mengembleng semua jabatan dan agensi-agensi yang lain berdasarkan permuafakatan bagi membina insan dan institusi keluarga yang mantap. Dan ketiganya, untuk menjadikan YPK sebagai satu sekretariat di peringkat kerajaan negeri dalam usaha melaksanakan pelbagai aktiviti yang melibatkan jabatan-jabatan lain sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Institusi keluarga hari ini kian mencabar. Bagaimanakah peranan yang dapat dimainkan oleh YPK?

Ya, memang tidak dinafikan keadaan tersebut. Bagaimanapun, saya melihat perkara pokok yang perlu diambil kira ialah YPK itu sendiri haruslah diperkasakan terlebih dahulu. YPK bersama agensi-agensi lain haruslah memberi kesedaran kepada setiap ahli dalam keluarga. Kesedaran massa (meluas) itu sendiri menjadi isu utama dalam sesebuah keluarga. Jika kita lihat keadaan yang berlaku hari ini seperti masalah pendidikan yang tidak sempurna serta kurangnya rasa hormat di antara ahli keluarga menyebabkan institusi kekeluargaan itu longgar dan mewujudkan kekecamukan.

Ia akhirnya akan memberi kesan kepada institusi pendidikan dan juga melibatkan kerajaan secara langsung. Setelah wujudnya kesedaran perkara yang perlu dilakukan ialah membuat "Rawatan Keluarga" dan ini merupakan satu pendekatan dengan cara mewujudkan klinik keluarga serta kelas bimbingan kekeluargaan seperti bengkel untuk membina syakhsiyyah (keperibadian) diri. Perkara ini juga dapat dilakukan melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain.

Saya berasa gembira kerana setakat ini YPK telah berjaya dalam melaksanakan aktiviti tersebut berbanding agensi-agensi kerajaan yang lain. Untuk makluman juga, sehingga hari ini YPK merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang mempunyai bilangan tenaga kerja yang paling ramai. Khusus di Negeri Terengganu sahaja kita mempunyai lebih daripada 600 orang pekerja.

Pendekatan lain yang boleh digunakan adalah melalui asuhan secara berterusan sejak dari kecil. Melalui program Taman Asuhan Kanak-kanak dan TABILAS (Taman Bimbingan Lepasan Sekolah) adalah diharapkan ibu bapa dapat meningkatkan peranan mereka untuk terlibat sama di dalam memberi asuhan kepada anak-anak mereka.

Apakah perubahan yang bakal dilakukan setelah mengambil alih YPK?

Setelah menerajui YPK bermula sejak awal Februari yang lalu, saya telah merangka beberapa strategi yang boleh digunakan untuk memantapkan lagi institusi ini. Bagi tahun ini perancangan kumpulan sasar lebih memberi fokus kepada program jaya diri belia berbanding tumpuan kepada permasalahan wanita.

Kita ingin membuat perubahan kepada golongan belia yang mengalami masalah sosial. Saya merasakan bahawa program jaya diri ini lebih bermakna jika ia berasaskan kepada pembentukan kumpulan kecil di dalam menyuarakan masalah yang dihadapi. Dengan wujudnya kumpulan ini, semangat kerjasama dapat dilaksanakan untuk kepentingan bersama.

Perubahan seterusnya saya melihat YPK ini harus melibatkan beliawanis melalui aktiviti seperti bengkel jahitan dan tekstil. Pelatih-pelatih yang telah menamatkan pengajian diharapkan dapat melibatkan diri di dalam industri kecil pengeluaran yang berasaskan pakaian. Saya melihat segala asas-asas yang lalu lebih menjurus kepada pendekatan yang lebih berorientasikan falsafah. Perkara inilah yang perlu diubah kerana saya merasakan pendekatan yang berorientasikan tindakan adalah lebih berkesan untuk membina budaya lebih bertanggungjawab secara jama’i.

Kita harus menekankan aspek perkongsian dengan memberi tumpuan kepada sifat keprihatinan. Elemen ini adalah penting kerana ia dapat mewujudkan semangat berpasukan dan menyemarakkan lagi sifat saling membantu supaya orang ramai tahu peranan masing-masing.

Apakah harapan Tuan Haji dalam menerajui YPK?

Harapan saya sebagai peneraju YPK sekarang ialah memastikan semua kakitangan dan orang perseorangan yang terlibat berbahagia di dalam melaksanakan pembangunan keluarga bersama-sama. Ini kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab kepada Allah S.W.T. untuk "memanusiakan manusia".

Kedua ialah mendapat sokongan masyarakat untuk bersama-sama membantu institusi ini agar ia berjaya mencapai matlamat.

Ketiganya ialah YPK sebagai satu agensi yang dipertangungjawab untuk membantu semua institusi kekeluargaan. Saya juga berharap semua badan dan agensi lain mencari peluang di dalam menghulurkan apa jua bentuk bantuan kepada pihak kami bagi menjayakan program program yang akan dilaksanakan kelak dan tidak hanya berperanan sebagai pemerhati sahaja.

Sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak akan dapat membentuk satu jalinan hubungan yang mesra dan erat dan secara tidak langsung ia dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh keluarga.







______________________
Terbitan : 30 April 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com