MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH PULAU TAWAR PERLU DIBANGUNKAN SEMULA

Menyingkap sejarah kampung kelahiran pahlawan Mat Kilau
TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH PULAU TAWAR PERLU DIBANGUNKAN SEMULA

JERANTUT : Sejarah kepahlawan Tok Gajah dan Mat Kilau pada penghujung kurun ke-20 dulu telah menjadikan Pulau Tawar terkenal. Bahkan, Sultan Pahang dikatakan pernah bersemayam di Pulau Tawar. Pulau Tawar ketika itu adalah merupakan kawasan penempatan yang maju dan menjadi tumpuan ramai. Melihat kepada kemasyuran Pulau Tawar , pasti tergambar dikepala kita keadaan tempat tersebut pasti membangun dan mempunyai prasarana yang baik bagi menarik ramai pelancong. Namun ini tidak berlaku kepada Pulau Tawar. Keadaan perkampungan di sini terus usang ditelan dek zaman. Hanya yang tinggal di sini, kebanyakkannya adalah rumah-rumah lama serta golongan tua yang menyimpan banyak kisah sejarah perjuangan Mat Kilau dulu.

Anak jati Pulau Tawar Shukri Jamaluddin, 32 berkata “ Saya amat sedih dan kecewa melihat keadaan Pulau Tawar sekarang, diharap pihak Kerajaan Negeri Pahang dapat memainkan peranan untuk mengembalikan semula kegemilangan Pulau Tawar dulu”. Shukri, yang banyak menyimpan sejarah Pulau Tawar dari datuknya Allahyarham Mat Yunus Mukim Teh berkata beliau kecewa melihat keadaan Pulau Tawar hari ini. Pulau Tawar kini terpinggir daripada arus pembangunan sejarah yang sebenarnya, yang tinggal hanya catatan sejarah kepahlawanan Mat Kilau sahaja. Kalau dilihat disudut sejarahnya, sememangnya Pulau Tawar harus dibangunkan dengan pelbagai kemudahan tempat bersejerah. Menurut Shukri lagi “ Jika dibandingkan Pulau Tawar dengan Pasir Salak, di Perak. Ianya hampir sama, merupakan tempat perjuangan pahlawan Melayu . Namun apa yang berlaku hari ini, Pasir Salak telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan berbagai kemudahan dan tempat pelancongan. Secara tidak langsung pelancong yang berkunjung ke sana dapat melihat serta menghayati kesan-kesan sejarah peninggalan Dato’ Maharaja Lela dan bukan hanya dengan membaca buku semata-mata ”. Ini tidak berlaku dan berlainan sekali dengan apa yang dilihat kepada Pulau Tawar. Tiada kemudahan seperti itu yang disediakan di sini.

Saya amatlah berharap agar pihak Kerajaan Negeri Pahang peka dengan keadaan ini. Pulau Tawar perlukan pembangunan dari sudut kesan peninggalan Sejarah (Antropologi). Justeru itu katanya beliau sedia membantu , sekiranya ada pihak yang berminat untuk membangunkan kesan-kesan sejarah Pulau Tawar. Antara kemudahan dan pusat sejarah yang perlu dibangunkan di Pulau Tawar ialah Pusat Penerangan Pelancongan yang dilengkapi dengan gerai makanan serta gerai cenderamata. Disamping itu juga perlu juga dibangunkan semula tapak rumah kelahiran Mat Kilau, masjid tempat pengisytiharan Mat Kilau, tapak sekolah Inggeris yang pertama di Pulau Tawar ( dibina oleh Sir Hugh Clifford)., tapak istana Pahang di Pulau Tawar , tapak mesyuarat Pahlawan Pahang dengan Sultan Ahmad 1 tentang hal Residen Inggeris, tapak pertempuran antara askar Inggeris dengan Mat Kilau serta pengikutnya ditebing Sg.Pahang,, membaik pulih perkampungan asal Pulau Tawar ditebing Sg.Pahang serta membaik-pulih makam Mat Kilau dan banyak lagi. Kerajaan juga perlu menaikkan taraf jalan utama dari Pulau Tawar ke Bukit Nikmat dan terus ke Gunung Senyum. Semua ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan bercirikan sejarah di Pulau Tawar. Ianya secara tidak langsung akan membantu ekonomi masyarakat di sini khasnya dan negeri Pahang amnya.

Menurut Shukri lagi, tapak sejarah ini perlu dibangunkan semula supaya ianya tidak terus hilang. Tapak istana Pulau Tawar misalnya, kini telah dibangunkan Sek. Men Pulau Tawar diatasnya. Tapak sejarah ini amat bernilai bagi masyarakat Pulau Tawar, tapi apa yang berlaku ianya hilang begitu sahaja. “Saya boleh melakarkan gambaran tapak istana seperti yang diceritakan oleh datuk saya dulu, begitu juga dengan rumah Mat Kilau ” kata Shukri. Tetapi apalah guna lakaran itu kiranya tidak dibangunkan sebagai kesan peninggalan sejarah. Rumah Mat Kilau misalnya, kini terus usang dan terbiar. Begitu juga dengan tapak sekolah Inggeris yang dimaksudkan . Malahan makam Mat Kilau sendiri, sepatutnya diperelokkan agar ianya senantiasa terjaga. “ saya berbangga kerana di kampung inilah lahirnya pahlawan terbilang yang menentang penjajahan Inggeri di Pahang dulu. Malahan dalam kebanyakan buku sejarah yang saya baca, semuanya menggambarkan Pulau Tawar adalah sebuah pekan yang termaju di negeri Pahang pada penghujung abag ke-20 dulu.” kata Shukri lagi.

Buat masa ini beliau sedang sibuk menyiapkan satu kertas kerja serta sebuah buku yang bertajuk “ Pulau Tawar, Sebelum dan Sesudah Mat Kilau” . Menurut Shukri lagi, beliau berhasrat untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membangunkan peninggalan kesan sejarah Pulau Tawar. “ Sedangkan perjalanan Mat Kilau ke Hulu Trengganu pun ada pihak yang berusaha menjejakinya, inikan pula kesan peninggalan yang terdapat di Pulau Tawar sendiri” kata Shukri.

Berkenaan dengan buku yang akan beliau hasilkan, ianya lebih banyak menyentuh tentang Pulau Tawar itu sendiri sejak zaman purba, pertengahan , hinggalah ke saat ini. Setakat ini kebanyakkan catatan sejarah hanya menceritakan kegemilangan Pulau Tawar di zaman Mat Kilau sahaja. Apa yang diperjelaskan oleh Shukri didalam bukunya ialah sejarah keturunan Pulau Tawar dan asal-usul Pulau Tawar sebelum Mat Kilau. Disamping itu juga beliau masih menyimpan buku salasilah 13 keturunan Pulau Tawar. “Buku ini adalah catatan semula oleh arwah ayah saya daripada buku catatan asalnya Buku catatan asal telah disimpan oleh arwah bapa saya , dan saya sendiri tidak mengetahui dimana buku tersebut berada” kata Shukri. Menurutnya lagi kandungan buku tersebut telah disahkan adalah dari yang asal dan hanya beliau sahaja yang menyimpanya sekarang. Buku asli telah hilang dari simpanan. Menurut datuknya, buku tersebut ditulis pada tahun 1927 , dan maklumat yang dikumpul adalah sejak zaman sebelum Mat Kilau, iaitu 10 generasi terdahulu.

Sebenarnya banyak lagi kesan sejarah Pulau Tawar yang masih belum diketahui umum. Justeru itu diharap dengan cerita ini akan menjadi titik tolak kepada pembangunan Pulau Tawar khasnya. Adalah diharapkan Wakil Rakyat Pulau Tawar, YB Dr. Ahmad Shukri dapat memainkan peranan penting ke arah tujuan tersebut. Tambahan pula kini sudah ada jalanraya yang lebih selesa dari Jerantut Ke Pulau Tawar. Pembangunan Pulau Tawar juga diharap menjadi pemangkin kepada kawasan pelancongan lain yang berdekatan seperti Gua Bersejarah Kota Gelanggi , Gua Gunung Senyum dan Tekam Plantations Resort . Apakah Pulau Tawar boleh menjadi seperti Pasir Salak di Perak, Mahsuri di Pulau Langkawi atau Kg.Duyung kelahiran Hang Tuah di Melaka yang dibangunkan dengan terancang oleh Kerajaan Negeri masing-masing, suatu hari nanti.

CUCU MAT KILAU
Pahang DM







______________________
Terbitan : 29 Mei 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com