Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai harus menunjukkan kepimpinannya dengan membatalkan Ops Warta II supaya ianya tidak menjadi suatu gurauan dengan diubah menjadi Ops Serahan Saman oleh 4,600 kakitangan trafik untuk menyerahkan 3.3 juta saman ataupun secara lebih tepat, Ops Menjaga Air Muka.
Sungguhpun pihak polis dan pejabat Peguam Negara telah cuba menjelaskan sandiwara Ops Warta II dengan berkata bahawa operasi tersebut adalah sah, ternyata pihak polis telah bertindak berdasarkan asas dan nasihat perundangan yang silap dalam melancarkan Ops Warta II di mana polis telah mengancam untuk mengucar-kacirkan negara dengan ribuan kakitangan polis mengadakan sekatan jalan, menjalankan carian rumah ke rumah, melakukan serang hendap di bangunan tempat letak kereta bangunan komersial dan kompleks membeli-belah untuk menangkap dan menggari serta mengurung pesalah-pesalah sebaik sahaja dikesan bagi 3.3 juta saman trafik tertunggak yang belum dijelaskan walaupun kebanyakan daripadanya barangkali tidak diserahkan dengan sah dan sewajarnya!
Kini, Ops Warta II dijelaskan sebagai suatu operasi bagi pihak polis menyerahkan saman secara peribadi dan menawarkan kompaun kepada pesalah-pesalah setelah pejabat Peguam Negara telah memperjelas bahawa pihak polis hanya boleh menangkap pesalah-pesalah trafik sekiranya waran tangkapan dikeluarkan oleh mahkamah dan bahawa pihak polis tidak mempunyai kuasa tangkapan ke atas pesalah-pesalah trafik dengan sendirinya, jangan kata pula menangkap, menggari dan mengurung berdasarkan pandangan mata!
Daripada jumlah 3.3 juta saman trafik tertunggak yang menjadi sasaran Ops Warta II yang dipanjangkan, berapa daripadanya adalah saman polis (POL 257) atau notis pemberitahuan polis (POL 170A), iaitu notis tantang suatu kesalahan trafik bersama-sama dengan tawaran untuk kompaun melalui surat berdaftar kepada pemilik kenderaan berkenaan, atau di mana pemilik kenderaan tidak melakukan kesalahan tersebut, untuk memberikan butiran pemandu kenderaan tersebut. Kedua-duanya adalah notis yang tidak mewajarkan tangkapan tanpa pengeluaran waran tangkapan oleh mahkamah.
Kebanyakan daripada 3.3 juta saman trafik tertunggak semestinya termasuk dalam kedua-dua kategori notis tidak mewajarkan tangkapan ini. Jika Ops Warta II tidak dibatalkan dan dibenarkan beroperasi sepenuhnya pada 17 Mei, adakah 4,600 kakitangan trafik akan menugasi diri mereka di tempat letak kereta awam, kompleks membeli-belah dan plaza tol untuk menyerahkan 3.3 juta saman tertunggak lantaran mengubahnya menjadi Ops Serahan Saman?
Ini adalah suatu contoh terbaik di mana seakan-akan mustahil untuk sebuah agensi kerajaan, dalam kes ini pihak polis, untuk mengaku bahawa ia telah melakukan suatu kesilapan dan keseluruhan Ops Warta II telah didasarkan pada nasihat perundangan yang salah. Akibatnya, penerusan Ops Warta II adalah lebih mirip kepada Ops Menjaga Air Muka.
Menurut suatu laporan Bernama, Norian berkata bahawa operasi Ops Warta II telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara, pegawai-pegawai undang-undang di Kementerian Dalam Negeri dan 200 pakar undang-undang dalam pasukan polis sebelum pelaksanaannya.
Beliau berkata: “Saya ingin menegaskan bahawa kami adalah agensi utama dalam penguatkuasaan undang-undang dan kami akan mengkaji pelaksanaan apa-apa peraturan. Isu kekurangan ketelusan di dalam badan tersebut tidak seharusnya timbul.”
Ketua Polis Negara seharusnya prihatin bahawa agensi utama di dalam negara yang berperanan menegakkan undang-undang dan ketenteraman, iaitu polis, telah bertindak secara amat mengabdikan prinsip kedaulatan undang-undang yang mana membangkitkan isu-isu besar kebertanggungjawaban dan ketelusan pasukan polis.
Ianya semestinya menjadi seperkara yang amat diprihatinkan bukan sahaja kepada polis dan kerajaan, tetapi juga kepada 23 juta rakyat Malaysia tentang perihal bagaimana pejabat Peguam Negara, pegawai-pegawai undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan 200 pakar undang-undang dapat secara kolektif memberikan nasihat perundangan yang begitu teruk sehingga mahu melancarkan Ops Warta II lantaran mengucar-kacirkan seluruh negara menjadi sebuah negara polis dengan rakyat biasa diancam akan ditangkap, digari dan dikurung berdasarkan pandangan mata!
Tidakkah terdapat seorang pun dalam barisan pakar kerajaan di pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri dan polis yang memberikan amaran dan nasihat bahawa Ops Warta II didasarkan pada tafsiran undang-undang yang silap dan salah sama sekali?
Barangkali lain kali polis harus membuat panggilan kepada Karpal Singh untuk mendapatkan pendapat keduanya sebelum mengheret negara ke dalam keadaan kelam-kabut dan kucar-kacir sedemikian di atas Ops Warta II.
Sekiranya Ketua Polis Negara mendapati adalah terlalu “mengaibkan” untuk membatalkan Ops Warta II, maka inilah masanya untuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mencampur tangan demi kepentingan awam dengan membatalkan Ops Warta II dan mengarahkan polis untuk mengadakan dialog dengan parti politik, kumpulan pengguna, kesatuan sekerja, Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan lain yang berprihatin untuk merumus suatu formula yang memuaskan bagi menyelesaikan tiga juta saman trafik tertunggak tanpa menginjak-injak kedaulatan undang-undang ataupun melalui sandiwara baru Ops Serahan Saman atau Ops Menjaga Air Muka, membazir sumber-sumber awam dan menyebabkan kesusahan awam yang tidak diwajarkan.
______________________
Terbitan : 12 Mei 2002
Ke atas
Home