Oleh WARTAWAN MEMO21
BANGI: Perancangan asal Bandar Baru Bangi (BBB) sebagai bandar universiti, seperti dipersetujui bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail Ismail, kini sudah dinodai, kata Omar Jaafar, bekas Yang Dipertua Majlis Penduduk BBB yang pertama (1977-81).
Beliau yang juga bekas Timbalan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pernah mewakili Naib Canselor UKM dalam jawatankuasa khas merancang bandar baru itu, yang fungsi asalnya untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai institusi di sekitar Bangi, khususnya UKM.
Katanya, dalam laporan asal kepada kerajaan, BBB dicadangkan mempunyai zon tertentu, seperti kawasan perumahan, institusi, pembangunan dan juga kawasan hijau. “Banyak kawasan bukit, termasuk yang menempatkan tapak banglo Khir Toyo sebenarnya diperuntukkan untuk kawasan hijau,” tegasnya. Malah, tanah yang sepatutnya boleh dijual hanya 35% sahaja, sedangkan bakinya untuk kawasan institusi, sekolah, rekreasi, green belt dan perkhidmatan berpusat bagi kepentingan orang ramai.
“Sebab itu, jalan-jalan di sini lebar-lebar belaka. Ada ruang untuk pejalan kaki dan menunggang basikal. Tegasnya, suasana kondusif sebagai bandar universiti amat dipentingkan. Soal ekonomi nombor dua, apatah lagi jika tidak banyak menguntungkan Bumiputera,” kata Omar, sambil menekankan penduduk Melayu di sini asalnya lebih 95%.
Bagaimanapun, katanya, perancangan asal menjadikan BBB sebagai bandar contoh yang mencerminkan DEB, seperti dipersetujui Tun Razak, telah terpesong dari landasannya. “Hanya untuk mengejar keuntungan lumayan dengan cepat, banyak kawasan hijau ditukar kepada tujuan komersil,” tegasnya lagi, dengan menjadikan kes 11 ekar kawasan rekreasi antara Jalan 6 dan stesen Shell yang diserahkan kepada kroni Khir sebagai contoh ketara.
Omar mengharapkan keputusan untuk memajukan kawasan rekreasi itu dibatalkan segera. “Penduduk merasa cukup kecewa dan tertipu dengan sikap kerajaan negeri yang jelas mengabaikan tanggungjawab sosialnya. Sudahlah kawasan hijau makin sempit, yang sempit ini pun digunakan oleh kroni MB untuk kaut kekayaan mudah.”
______________________
Terbitan : 29 Mei 2002
Ke atas
Home