Ini adalah lanjutan kepada pendedahan e-mel bertajuk Fear of cybercafe owner in Malaysia http://marhaen0.tripod.com/mar_a_enotsabah05.html yang tersiar di laman M@rhaen pada 2 April 2002 yang lalu.
Kepada semua pengguna dan pengedali CC di seluruh Malaysia,
Apabila usaha jahat individu-individu dan syarikat-syarikat tertentu seperti Asspace Sdn. Bhd. ini telah mula berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak dipedulikan oleh sesiapa, maka ketika inilah kita sedang menerima akibatnya. Sebelum Asspace beroperasi, ramai kalangan kita telah maklum bahawa telah wujud beberapa orang individu dan syarikat yang menjalankan kerja-kerja jahat ini.
Bagaimanapun, pada masa itu kita semua hampir tidak mempedulikan kewujudannya. Walaupun ada tindakan tertentu telah diambil untuk mengatasi masalah ini pada masa itu, tetapi kebanyakan langkah dan tindakan itu lebih merupakan tindakan bersendirian atau hanya datang dari kelompok yang lebih kecil sahaja.
Hasilnya, maka wujudlah keberanian daripada individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini untuk menubuhkan syarikat Asspace. Ternyata Asspace lebih tersusun dan dapat menggunakan kuasa pihak tertentu seperti pihak polis. Banyak kes yang kita telah dengar, pihak polis telah dipergunakan oleh Asspace dan syarikat yang seumpamanya ketika mereka melaksanakan kerja-kerja jahat mereka ini.
Persoalannya, apakah kumpulan ini telah menipu pihak berkuasa seperti polis untuk menyokong tindakan jahat mereka ini? atau,
Adakah Polis sedar tentang kerja jahat Asspace, sedangkan pihak polis sepatutnya lebih maklum tentang penguatkuasaan undang-undang -- dalam kes ini adalah undang- undang berkenaan Hak Cipta?
Atau, memang benarkah bahawa syarikat Asspace ini adalah kumpulan yang dilindungi oleh undang-undang yang istimewa kerana mereka telah dilindungi oleh pihak tertentu di dalam kerajaan?
Kalau ini adalah kenyataan yang berlaku, apakah kita akan mampu menghadapi mereka yang ada polis dan pihak tertentu sentiasa berada di belakang mereka?
Apakah pihak kita sudah bertindak secara sewajarnya untuk menangani masalah ini? dan, apakah maklumbalas (response) pihak kerajaan terhadap aduan-aduan yang telah kita buat selama ini?
Kalau begini sudah tentu Asspace akan mencapai kejayaan yang lebih besar lagi nanti dan kita akan terus menjadi mangsa lagilah.
Mungkinkah MOGOK dan BOIKOT (boycot) adalah satu lagi tindakan yang belum kita laksanakan dan perlu dipertimbangkan. Masihkah saudara ingat bagaimana pihak MTUC telah berjaya mengajak rakyat memboikot daripada membeli ayam pada suatu masa dahulu. Saudara tentu tahu tentang tuntutan para penternak ayam yang merancang untuk membakar anak ayam mereka jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan mereka baru-baru ini. Tidak mungkin saudara-saudara sudah lupa tentang kejayaan tuntutan oleh beberapa ribu pemandu Limosin yang telah melancarkan mogok mereka beberapa tahun yang lalu.
Akhirnya untuk ketika ini, andainya perkara ini benar-benar terjadi, adalah terlalu malang nasib kita sebagai rakyat Malaysia yang begitu megah dengan kewujudan Malaysia Super Coridor (MSC) sedangkan dalam masa yang sama kerajaan ternyata tidak begitu prihatin dan telah mengabaikan nasib rakyatnya yang ingin membantu memajukan bidang ICT itu sendiri.
Perkara ini sedang hangat dibincangkan di laman OldKopitiam http://www.oldkopitiam.com/kopitiam/read.php?f=3&i=70070&t=70070
Silalah berikan pendapat anda juga.
Dan, untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah para pengusaha CyberCafe ini, lawatlah ke http://www.antiasspace.cc/
Enot Sabah
______________________
Terbitan : 24 Mei 2002
Ke atas
Home