MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

YUSUF, SEKOLAH DAN MEDIA ISLAM

Oleh : fudzail@hotmail.com

Beberapa kali seorang DJ di radio FM Dubai membuat lawak, “Cat Stevens kelihatan membeli-belah di Karama.....!” Tentunya satu perkara yang tidak mustahil tetapi tidak masuk akal secara rasionalnya. Karama (seakan bunyi Keramat) ialah salah sebuah pusat membeli-belah seperti Chow Kit, cuma lebih teratur dan terususun, kalau tidak bersih.

Apabila panggilan telefon dari seorang kawan yang baru tiba dari Amerika dan mengajak bertemu dengan Yusuf Islam @ Cat Stevens, penulis hanya ketawa. Kawan tersebut adalah perunding media kepada Yusuf.

Sememangnya Yusuf Islam adalah salah seorang ikon dalam dunia muzik yang kini lebih terkenal sebagai pendakwah. Penulis memang meminati beliau sebagai pendakwah dan artis. Laman web www.catstevens.com dan www.yusufislam.org.uk mempunyai maklumat yang baik mengenai beliau.

Tidak pasti sama ada DJ tersebut telah dapat mengesan Yusuf di Dubai. Tetapi boleh dikatakan setiap hari, DJ tersebut memasangkan lagu-lagu Cat Stevens. Perkara ini mungkin satu kebetulan.

Sejak lama penulis memang mengikuti perkembangan kegiatan Yusuf termasuk membaca banyak artikel yang ditulis olehnya. Antara kegiatan amal yang beliau lakukan termasuk sebuah badan penyelidikan dan sumber untuk sekolah-sekolah Islam (www.iberr.com) yang ketika ini berpusat di Afrika Selatan.

Kali terakhir beliau muncul secara glamour ialah sewaktu majlis khas untuk mereka yang terkorban di World Trade Centre, New York. Menyanyikan secara langsung tanpa iringan muzik dari London, untuk pertama kali lagu hit ‘Peace Train’selepas memeluk Islam dan bersara dari pentas muzik dunia. Beliau ada juga berduet dengan kumpulan Raihan.

Kesempatan untuk mengenali Yusuf Islam secara dekat tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Bukan mudah juga untuk bertemu dengan beliau.

Dengan keizinan Tuhan, penulis dapat juga bertemu Yusuf di sebuah hotel di Dubai untuk makan tengahari bersama. Beberapa kali penulis di peringatkan untuk merahsiakan kehadiran Yusuf untuk mengelakkan ramai yang menyerbu hotel, begitupun beliau memberi kebenaran untuk menulis mengenai subjek yang menjadi topik utama misi beliau untuk berhijrah ke Dubai iaitu pendidikan kanak-kanak Islam.

Sememangnya keperluan pendidikan untuk kanak-kanak Islam semakin menjadi penting dalam menghadapi cabaran baru di alaf ini. Islam pernah menjadi sumber ilmu yang kemudian dipergunakan sepenuhnya oleh Barat untuk menguasai dunia.

Terpisahnya pendidikan agama (sekadar satu subjek kepada satu jabatan di jabatan Perdana Menteri) dari persekolahan, termasuk di negara Islam sejak lama turut mengikis keyakinan terhadap diri sebagai muslim dan Islam sebagai satu cara hidup. Berbeda dengan pendidikan Cina yang terus bertahan melalui zaman.

Yusuf melalui IBERR yang dimulakan sejak 1977 mahu satu kurikulum bersepadu dan sejagat dalam pendidikan Islam tetapi seperti mana kata Yusuf, masih belum mencapai matlamat.

Penulis pernah menghantar anak-anak ke PASTI Kelana Jaya dan dapat melihat objektif pendidikan yang dilakukan. Malangnya suara sumbang peringkat tinggi kunun-kununya ada tadika yang ‘menanam kebencian terhadap pemimpin negara’ dijadikan alasan untuk melumpuhkan satu usaha murni dan komited.

Tindakan sempit berbau politik sebegini merugikan juga satu generasi setelah dua generasi kepupusan tulisan Jawi. Pilihan yang ada barangkali lebih ‘menanam kebencian terhadap agama’ untuk memastikan skop pemahaman kembali kepada soal-soal ibadah.

Di Dubai sendiri tidak banyak pilihan untuk menghantar anak-anak ke sekolah Islam yang bersifat sejagat. Hampir semua menggunakan bahasa Arab dan ini tidak mudah untuk anak-anak ekspatriat.

Selain dari itu, penulis berkesempatan juga menemui beberapa jutawan Arab yang sedang mengusahakan stesen TV untuk program sesuai dengan citarasa keluarga dan kanak-kanak. Mereka juga mempunyai wawasan yang sama dalam membendung pengaruh media barat, terutama TV kepada kanak-kanak Islam, dalam senario ini lebih kepada kanak-kanak Arab untuk fasa pertama.

Tidak dinafikan kebanyakan stesen TV tempatan lebih mengutamakan keuntungan komersil dari memberi pendidikan kepada kanak-kanak. Kalau disebut program kanak-kanak, tentunya berbeda dengan program agama dan lebih bercorak kepada kartun, hiburan dan pengetahuan am. Seumpana ‘pecah dan perintah’ seolah-olah tiada kaitan antara satu sama lain.

Lebih teruk dan hina sekiranya stesen TV memberatkan politik kabilah dan terlalu menjadi agen propaganda sehingga segala etika sekadar nota-nota sampah.

Kesimpulannya, adalah perlu untuk mempunyai satu bentuk usaha bersepadu dari pendidikan sekolah kepada program TV berbentuk Islamik. Dengan pertambahan minat terhadap pendidikan Islam dikalangan ibubapa seluruh dunia, usaha Yusuf Islam mesti diberi sokongan walau tidak mudah dan memerlukan masa serta belanja yang agak banyak.

Barangkali memang satu suratan, bukan kebetulan untuk bertemu dengan Yusuf Islam di Dubai kerana penulis memang berminat dengan pendidikan dan media Islam. Semuga kehadiran Yusuf di Dubai bakal memberi banyak hasil untuk dimanafaatkan bersama.







______________________
Terbitan : 4 Mei 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com