PENGKALAN CHEPA, 27 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pusat diminta menghentikan memunggut duit rakyat daripada Ops Warta II dan mendapat kembali berbilion duit kerajaan dari bekas pengarah urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia.
Selain itu, kerajaan Pusat juga perlu mendapatkan kembali duit yang didakwa dilelapkan di Tabung Haji berjumlah puluhan juta.
Anggota Parlimen Tanah Merah, Haji Mohd Saufi Daud berkata, rakyat tidak perlu dibebani dengan saman trafik oleh polis sehingga begitu menyusahkan mereka.
Katanya, cara kerajaan mendapat wang segera daripada rakyat adalah suatu yang tidak wajar berlaku.
"Ada di antara mereka terpaksa menjual ternakan semata-mata untuk menjelaskan saman.
"Begitu juga bagi mereka yang berpendapatan rendah, tentu akan menjejaskan pendapatan keluarga dengan tekanan saman yang dikenakan," katanya pada ceramah di Putik malam 24 Mei.
Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik dan tokoh reformasi, N Gobalakrishnan.
Kerajaan berjaya mengutip berjuta-juta ringgit daripada saman ke atas orang ramai melakukan kesalahan lalu lintas melalui ops berkenaan.
Haji Mohd Saufi berkata, usaha itu dilakukan kerana kerajaan mahu mengutip wang secara mudah daripada rakyat.
"Sedangkan wang milik kerajaan yang didakwa dihilangkan oleh Eric Chia tidak diambil sebarang tindakan sehingga sekarang.
"Sepatutnya wang yang begitu banyak diambil balik daripada tokoh perniagaan tersebut dan bukan memaksa rakyat membayar wang saman cara terdesak," katanya.
N Gobalakrihnan berkata, suasana di Kem Tahanan Kemunting sudah berubah sekarang apabila tahanan-tahanan ISA berjaya mewujudkan suasana beragama.
Katanya, warden-wanden pusat tahanan itu mulai minat untuk mendekati amalan Islam kerana tahanan tanpa bicara berjaya mengajar mereka secara tidak langsung.
Beliau berkata, keadaan itu dapat dikesan apabila pihak pengurusan pusat tahanan itu memastikan setiap warden yang menjaga tahanan ISA bertugas hanya dalam jangka singkat kemudian ditukarkan.
"Tahanan ISA mempunyai masa yang panjang untuk beramal ibadat, sebab itu ketika saya ditahan dahulu saya banyak membaca mentera Hindu.
"Begitu juga kawan-kawan yang beragama Islam melakukan banyak amal ibadat sehingga menarik minat warden yang bertugas," ujarnya.
______________________
Terbitan : 28 Mei 2002
Ke atas
Home