KOTA BHARU, 27 Mei (Hrkh) - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) berharap kerajaan negeri-negeri lain mencontohi kerajaan Kelantan yang dianggap lebih ke hadapan menangani isu kebajikan kakitangan awam.
Presidennya, Abdul Rahim Mahad berkata, biar pun negeri ini ditadbir pembangkang, namun pekerja di sektor awam turut diberi layanan istimewa terutama berkaitan cuti dan skim pinjaman.
"Kelantan dan Terengganu memperuntukkan cuti dua hari seminggu sedangkan negeri lain hanya diperuntukkan pada waktu tertentu.
"Jadi, kami di negeri lain amat rasa iri hatilah dengan kakitangan kerajaan negeri di negeri ini, kerana jumlah hari bekerja mereka lima hari berbanding kami," ujarnya di majlis perasmian Seminar Anulae sempena Sambutan Hari Pekerja Anulae 2002, di sini, 10 Rabiul Awal.
Perasmian itu dilakukan anggota Exco kerajaan negeri, Haji Takiyuddin Hassan.
Kerja lima hari seminggu bagi kakitangan kerajaan Kelantan bermula pada 1 Januari 1996. Selain itu, mereka juga berpeluang balik kerja lebih awal pada bulan Ramadhan.
Kelantan juga negeri pertama meluluskan cuti bersalin bagi kakitangan wanita selama 60 hari.
Malah terdapat pula cadangan memberi cuti bersalin seminggu lebih awal menjelang tarikh bersalin seperti ditetapkan doktor.
Abdul Rahim juga berkata, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mengeluarkan peruntukkan tahunan kepada Anulae untuk cawangan Kelantan.
"Kalau Kelantan boleh bagi, tentu negeri lain juga boleh berbuat demikian," ujarnya.
Beliau turut merakam tahniah kepada kerajaan negeri kerana menyediakan pinjaman untuk pembelian kereta tanpa dikenakan sebarang faedah.
Oleh itu, beliau berharap negeri-negeri lain boleh mencontohi Kelantan bagi melaksanakan perkara-perkara yang baik untuk manfaat penjawat awamnya.
Sementara itu, kerajaan negeri bercadang meluluskan cuti selama 14 hari kepada suami bagi membolehkan mereka menjaga isteri yang bakal bersalin.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Haji Takiyuddin berkata, peruntukan cuti tersebut akan diberikan kepada setiap suami seminggu sebelum dan seminggu selepas bersalin.
"Semua pimpinan peringkat parti mahu pun kerajaan negeri telah bersetuju pada dasarnya terhadap cadangan itu.
"Apabila diluluskan cadangan tersebut, Insya Allah ia akan dikuatkuasakan tahun depan," katanya. Sebelum itu, beliau menyerahkan geran tahunan kepada Anulae sebanyak RM10,000 sumbangan kerajaan negeri.
Pengerusi Anulae Cawangan Kelantan, Wan Yusoff Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana memperuntukkan jumlah yang begitu besar untuk kepentingan persatuan itu.
______________________
Terbitan : 28 Mei 2002
Ke atas
Home