MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

PENGINGGERISAN SAINS DAN MATEMATIK: IMPERIALISME BAHASA DALAM KEKALUTAN WIBAWA PEMIKIRAN MELAYU

PENGINGGERISAN SAINS DAN MATEMATIK: IMPERIALISME

 

 

 

1.

Tulisan ini bukan bermaksud untuk mempertikaikan kepentingan bahasa Inggeris (malah apa bahasa sekalipun) dalam proses penjanaan wacana keilmuan. Tidak ada alasan untuk tidak mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat komunikasi. Juga sebagai perantara menjambatani tamadun bagi menggali peradaban dunia. Namun sejak mutakhir ini, terdapat semacam “kegilaan” atas nama globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat untuk kembali menobatkan status peranan bahasa Inggeris dalam urusan seharian masyarakat Malaysia, sekaligus merendahkan martabatkan bahasa Melayu. Alasan ketidakmampuan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan orang Melayu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih (?) dijadikan isu oleh ahli-ahli politik berkepentingan dengan memperalatkan media arus perdana, bagi menguasai pemikiran (emosi) orang Melayu, bertujuan untuk menghalalkan perluasan pengaruh bahasa Inggeris, terutamanya dalam sistem pendidikan, sehingga telah mencetuskan cadangan untuk mengembalikan semula sekolah aliran Inggeris, setelah hampir 30 tahun termantapnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (penghantar?) dalam sistem pendidikan.

 

2.

Sensitiviti dan sentimen orang Melayu dijolok serta digerunkan dengan metos ketertinggalan dalam ekonomi kerana dikatakan tidak mahir berbahasa Inggeris (Soalnya apakah ukuran kemahiran dan kefasihan yang dijadikan petunjuk penanda aras? Apakah pola penuturan penutur asli dijadikan model dalam menentukan kemampuan berbahasa Inggeris di kalangan orang Melayu?). Emosi orang Melayu dilambung dengan kebimbangan tersisih dari arus perdana pembangunan kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Orang Melayu ditakutkan dengan kehilangan daya saing semata-mata kerana tidak berupaya berkomunikasi dengan fasih dalam bahasa Inggeris. Tegasnya pelbagai metos dicernakan bagi membolehkan bahasa Inggeris kembali menguasai sistem pendidikan kebangsaan. Walhal ternyata, negara-negara yang mengambil bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran negara, semata-mata kerana nilai sentimen sejarah kolonial, sedangkan mereka bukan penutur asli kepada bahasa Inggeris, samada di Asia, di Afrika atau di Amerika Selatan, tidak pun mencapai tahap pembangunan yang sewajarnya. Bahkan negara-negara tersebut mengalami kemelut krisis pembangunan. Di Filipina misalnya, bahasa Inggeris telah menjadi alat yang memisahkan rakyat Filipina dari sejarah asalnya dan kemudian telah memisahkan pula rakyat Filipina yang berpendidikan daripada keseluruhan rakyat Filipina. Sebaliknya, kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia dicapai setelah bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan negara. Pengalaman Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand membuktikan bahawa bahasa Ibunda itulah yang menjadi pemangkin kepada kemajuan serta keterserlahan ketrampilan sesuatu bangsa.

 

3.

Berdasarkan realiti sosial yang wujud, cabaran utama terhadap wibawa bahasa Melayu, bukannya disebabkan oleh kedudukan bahasa Inggeris dalam masyarakat Malaysia. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua ternyata telah diterima oleh semua pihak. Hakikatnya  kedudukan serta fungsi bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sewajarnya difahami oleh semua pihak. Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai kemampuan berinteraksi dalam bahasa Inggeris, berdasarkan keperluan serta keutamaan situasi. Apa yang menjadi hiruk pikuk tentang kewajaran mengembalikan status utama bahasa Inggeris ke dalam masyarakat Malaysia, berpunca daripada ketidaksabaran sesetengah elit politik untuk mengejar pembangunan ekonomi dengan matlamat untuk menjadi negara industri yang gah. Juga, disebabkan adanya sesetengah elit politik yang hilang kepercayaan terhadap wawasan bahasa Melayu dalam mendokong kemajuan sains dan teknologi, atas cita-citanya untuk menandingi negera maju dalam serba serbi kemajuan sains dan teknologi, tanpa mengambil kira sejarah usaha negara-negara terbabit dalam memajukan negara mereka sehingga memakan masa ratusan tahun. Apakah Malaysia dengan 45 tahun merdeka diharapkan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara tersebut? (Tidakkah realiti ini akan mengundang bencana kepada kelangsungan hidup bangsa? Akhirnya menang sorak kampung tergadai) Harus diingat, di kalangan elit politik berkuasa, ternyata pengucapan bahasa Melayu mereka adalah amat dhaif. Apa yang wujud hakikatnya adalah ketidakmampuan mereka berbahasa Melayu tinggi, bukan disebabkan oleh ketidakmampuan bahasa Melayu sebagai perantara pengucapan. Sebaliknya golongan ini lebih gah dengan bahasa Inggeris! Maka yang mencabar bahasa Melayu sebenarnya adalah golongan elit politik, khususnya mereka yang terdidik serta hidup dalam persekitaran zaman penjajahan. Hakikatnya mereka ini mempunyai nilai sentimental serta nostalgia kolonialisme. Secara tidak langsung mereka inilah yang mencetuskan kembali imperialisme bahasa dengan berselindung di sebalik bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa teknologi maklumat. Golongan inilah yang menjadi dalang disebalik penciptaan metos bahasa bagi memetoskan pemikiran orang Melayu terhadap bahasa Melayu. Jelasnya, penghakisan maruah bahasa Melayu pada hakikatnya adalah berpunca dari pemikiran Imperialisme bahasa di kalangan elit berkuasa. Rata-rata elit berkuasa melihat bahasa Melayu hanya sebagai alat politik untuk tujuan kempen politik bagi memenangi pilihanraya.

 

4.

Laporan Berita Harian 11 Mei 2002, Dr. Mahahtir Mohamad dipetik sebagai berkata, “Kita berpendapat pelajaran Sains dan Matematik hendaklah dibuat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Jadi tumpuan kita ialah bukan peralihan balik kepada sekolah Inggeris, sebaliknya untuk mengajar bahasa Inggeris dengan lebih berkesan”. Ternyata kenyataan ini lebih bersifat andaian semata-mata, bukan didorong oleh fakta yang konkrit. Satu kenyataan yang terbit hasil persekitaran terpisah dari akal budi bangsa serta tidak mengakar pada realiti sejarah, juga terputus dari adab. Unsur-unsur ini memperlihatkan wujudnya pengaruh pemikiran kolonial di kalangan elit pemerintah. Umumnya, kenyataan ini mempunyai implikasi tersendiri ke atas realiti bahasa Melayu;

 

4.1

Secara tersirat menafikan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa saintifik dalam mengungkap pemikiran operasi Matematik serta Sains, sebagaimana yang sering diperkatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad. Sedangkan realitinya bahasa Melayu telah berjaya menerobosi pelbagai bidang disiplin ilmu matematik dan sains dengan penyelidikan-penyelidikan yang meyakinkan.

 

 

4.2

Wujudnya sindrom pengkerdilan, pembonsaian serta usaha pencantasan bahasa Melayu oleh kalangan eliti pemerintah.

 

 

4.3

Satu penafian terancang terhadap kewibawaan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menyediakan istilah-istilah Sains dan Matematik. Satu usaha yang dilakukan sejak begitu lama dengan penggemblengan seluruh tenaga pakar dalam kedua-dua bidang tersebut serta tentunya melibatkan perbelanjaan yang bukan sedikit, pada akhirnya disia-siakan begitu sahaja. Satu pemikiran yang kurang beradab terhadap proses pembangunan budaya bangsa. Realiti ini juga memperlihatkan penghakisan pengiktirafan oleh elit memerintah terhadap kepakaran ahli-ahli matematik dan sains tempatan, khususnya di kalangan bangsa Melayu.

 

 

4.4

Satu pelanggaran nyata terhadap semangat Akta Pendidikan  1996  (Akta 550).

 

 

 

4.4.1

Keputusan untuk menukar bahasa pengantar subjek matematik dan sains adalah berasaskan kehendak mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya atas rujukan nasihat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 10(1), 11(1) dan 11(2) Akta 550 berkaitan. Apakah dalam hal ini Majlis Tertinggi UMNO telah diberikan kuasa keanggotaan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan?

 

 

 

4.4.2

Terdapat unsur ketidakpekaan (atau sememangnya sengaja tidak dipedulikan) akan kehendak peruntukan 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bersabit dengan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Berdasarkan kepada tafsiran  Bahagian 1(2) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), “bahasa kebangsaan” didefinisikan sebagai bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

 

 

 

4.4.3

Aspek lain memperlihatkan wujudnya tindakan penafian terhadap Subseksyen 18(2) yang memperihalkan komponen-komponen mata pelajaran teras Kurikulum Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan, antaranya termasuk mata pelajaran sains dan matematik. Merujuk kepada Perkara 17(1), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan…” Berdasarkan semangat Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) ini maka kedua-dua mata pelajaran sains dan matematik hendaklah diajar dengan menggunakan bahasa Melayu. Cadangan untuk menukar bahasa pengantar kedua-dua subjek tersebut jelas merupakan satu penyelewengan dari kehendak Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Persoalannya apakah tujuan sesuatu peraturan, undang-undang atau akta digubal, adakah untuk tidak dipatuhi?

 

 

 

4.4.4

Terdapat kecenderungan untuk menurunkan taraf ekonomi serta pembatasan peranan bahasa Melayu dalam proses pembentukan budaya kependidikan. Wujud tanda-tanda untuk menyudutkan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang berkait dengan kehidupan tradisional Melayu, pada masa yang sama menyisihkan bahasa Melayu dari berperanan membentuk tamadun tinggi bangsa.

 

5.

Hakikatnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek sains dan matematik, mempunyai impak tersendiri ke atas pencapaian dalam peperiksaan awam. Apapun keadaannya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam kedua-dua subjek tersebut tidak akan menjamin wujudnya peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar. Penggunaan bahasa pengantar dalam penyampaian proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dengan penguasaan bahasa Inggeris adalah dua aspek yang berbeza. Harus ditegaskan bahawa;

 

 

5.1

Mata pelajaran Sains dan Matematik umumnya tidak melibatkan proses komunikasi berbahasa yang aktif, sebaliknya kedua-dua subjek ini lebih terarah kepada proses penaakulan, pencerakinan, pemerian dan ujikaji yang tidak melibatkan proses penggunaan bahasa secara proaktif. Situasi ini tentunya bukan jaminan kepada penguasaan kefasihan berbahasa Inggeris. Jika diteliti secara khusus, maka subjek-subjek Sains Sosial lebih berpotensi dalam merangsang penguasaan penggunaan bahasa Inggeris secara berkesan, keadaan ini disebabkan  kebanyakan subjek sains, merupakan subjek-subjek yang berkait dengan proses komunikasi dan penyampian idea yang konkrit melalui penulisan, juga atas sifat bahasa Inggeris sebagai kelompok dalam disiplin sains sosial. Oleh itu,  tindakan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, merupakan satu usaha terancang untuk memandulkan bahasa Melayu.

 

 

5.2

Tindakan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pegantar Sains dan Matematik secara tidak langsung merupakan satu cubaan untuk memisahkan pemikiran serta falsafah Sains dan Matematik sebagai sebahagian dari sumber budaya Melayu dan penjana minda peradaban tinggi Melayu. Harus disedari kekreatifan bahasa Melayu amat bergantung kepada penggunaan serius dalam disiplin-disiplin ilmu saintifik yang berfokus sejagat serta merentasi sempadan pemikiran, kerana dengan ini membolehkan bahasa Melayu berinteraksi  secara aktif dengan bahasa-bahasa besar dunia dalam konteks pengasosiasian istilah dan  pembentukan wacana.  Keadaan   ini   sekaligus   memperkukuhkan

 

 

tradisi budaya Melayu dalam jaringan pemikiran tinggi saintifik. Situasi inilah yang sedang berlaku terhadap bahasa Melayu kini, khususnya, dengan keupayaannya melahirkan ramai saintis dan para matematikwan bertaraf dunia. Merentap bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, akan meluluhkan nilai guna bahasa Melayu, seterusnya membantutkan perspesktif budaya penutur bahasa Melayu. Keadaan ini memberi kesan psikologi kepada pembangunan serta kemajuan bangsa Melayu dalam merekabentuk peradaban tinggi. Harus ditegaskan kemajuan dan pembangunan yang dialami di Malaysia kini adalah hasil dari peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu.

 

Jadual 1  Prestasi pelajar SPM Bumiputera dalam  mata  pelajaran

     Sains dan Matematik, 1999 dan 2000

 

Subjek

Tahun

Bil. Calon

Gred

(A1-C6)

Pencapaian penguasaanpurata

Matematik

1999

194,220

33.2%

36.0%

2000

211,268

33.6%

Matematik Tambahan

1999

50,020

48.1%

2000

67,065

29.2%

Fizik

1999

45,476

37.8%

41.5%

2000

49,279

41.2%

Kimia

1999

47,185

35.1%

2000

52,247

35.1%

Biologi

1999

31,489

49.8%

2000

30,540

49.9%

 

6.

Prestasi pencapaian pelajar-pelajar Bumiputera dalam subjek-subjek sains dan matematik, umumnya tidak begitu memberangsangkan. Berdasarkan perangkaan Jadual 1, memperjelaskan kekurangan daya saing para pelajar Bumiputera dalam kedua-dua subjek sains dan matematik. Bagi subjek-subjek matematik (matematik dan matematik tambahan) pencapaian gred A1 hingga C6, bagi tahun 1999 hingga 2000 adalah pada tahap 36.0%. Manakala bagi subjek Sains (fizik, kimia dan biologi) prestasi bagi tahun 1999 hingga 2000, menunjukkan pencapaian gred A1 hingga C6 adalah dalam lingkungan 41.5%. Secara keseluruhannya, prestasi kebolehan pencapaian pelajar-pelajar Bumiputera dalam kedua-dua disiplin mata pelajaran Sains dan Matematik adalah di paras 38.8%, satu pencapaian yang boleh dianggap di bawah tahap keupayaan daya saing. Tegasnya dibawah tahap penguasaan minimum. Keadaan ini berpunca dari realiti sosial masyarakat Melayu yang kurang dibudayakan dengan pemikiran sains dan kurang diasosiasikan dengan praktis matematik. Persoalannya apakah dengan kedudukan sedia wujud kurang daya saing dalam kedua-dua mata pelajaran ini, pelajar Melayu akan terus diperlemahkan lagi dengan pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris? Apakah tidak mungkin para pelajar Melayu akan terus terbeban untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran tersebut. Apakah tidak mungkin para pelajar Melayu terus kehilangan minat untuk mempelajari kedua-dua mata  pelajaran

 

tersebut? Harus di ingat dengan mengajar kedua-dua subjek tersebut, menggunakan pengantar bahasa Inggeris, para pelajar terpaksa berdepan dengan permasalahan a) menguasai istilah-istilah, konsep-konsep, formula-formula, falsafah, operasi sains dan matematik yang lebih kompleks kerana kedua-dua mata pelajaran tersebut menjadi terasing dalam realiti sosial Melayu b) pemahaman dalam proses pengajaran dan pembelajaran, berpunca daripada pemindahan kod serta peralihan isyarat minda yang mengakibatkan para pelajar terpaksa menggunakan secara proaktif keseluruhan keupayaan mendengar, melihat, mengingat serta pelarasan penstoran yang mengakibatkan berlakunya tekanan serius dalam proses pengkodan pembelajaran. Sedangkan berpengantarkan bahasa Melayu pun para pelajar memperlihatkan unsur-unsur pesimistik terhadap kedua-dua subjek tersebut. Apakah ada jaminan bahawa dengan berpengatarkan bahasa Inggeris para pelajar akan bersikap optimistik terhadap sains dan matematik? Apakah ada jaminan bahawa berpengantarkan bahasa Inggeris, maka prestasi pencapaian para pelajar Melayu akan terus melonjak melebihi paras pencapaian minimun serta melampaui garis pencapaian optimum? Tidakkah berkemungkinan para pelajar Melayu akan terus terpinggir dan kita kembali semula ke alam senario era sebelum 1967?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 







______________________
Terbitan : 16 Mei 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com