Oleh SISWA UKM
Membaca pendedahan Memo21 mengenai satu lagi kes rasuah Khir Toyo membuatkan saya bertambah marah, benci dan meluat, bukan saja kepada MB Selangor itu, tetapi kepada pihak yang beria-ia mempertahankan Khir dari dilucutkan jawatannya.
Memo21 memaparkan dengan terperinci bagaimana Khir Toyo, dalam satu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), pada awal Mac lalu, meluluskan permohonan oleh sebuah syarukat kroni, Bestarama SdN Bhd untuk mengusahakan hampir 11 ekar tanah yang telahpun diwartakan sebagai kawasan rekreasi, di Bandar Baru Bangi.
Memo21 menyiarkan pelan tanah yang diperolehi daripada Pejabat Tanah Hulu Langat, yang jelas menunjukkan tanah yang Khir luluskan kepada kroninya itu diwartakan sebagai kawasan rekreasi, yang bermakna ia tidak boleh dibangunkan untuk tujuan komersil.
Tapi Khir tak peduli itu semua. Dalam keadaan tanah yang bernilai tinggi bertambah kurang di Selangor, maka mana-mana tanah yang dilihatnya boleh membawa pulangan lumayan, beliau tidak teragak-agak lagi untuk menyerahkan kepada kroni.
Pemegang syer Bestarama adalah sama dengan pemegang syer Noble Nexus, satu syarikat yang mendapat konsesi lumayan iaitu dianugerahkan penswstaan mengutip tunggakan bayaran bulanan sewa rumah murah di seluruh Selangor. Lebih RM400 juta tidak dapat dikutip dan ini bermakna Noble Nexus akan mendapat lebih RM120 juta daripada jumlah tunggakan itu, iaitu 30 peratus daripadanya.
Rupanya setelah Khir dipertahankan sungguh-sungguh oleh Abdullah Ahmad Badawi, maka dia sudah naik tocang. Dia berani mendabik dada kepada kawan-kawannya, tengok, biar berapa banyak pun pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Lutfi, dia tak heran kerana Pak Lah berada di belakangnya. Pak Lah akan sentiasa menenangkan Mahathir bila PM berasa marah dan seperti mahu mengambil tindakan kepada Khir.
Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat di Bandar Bandar Baru, satu bandar baru yang dicetuskan oleh Tun Razak, Tun Dr Ismail sebagai bandar unievrsiti atau bandar ilmu supaya bangkit menentang usaha memajukan tanah rekreasi itu.
Bukan pula saya menghasut untuk penduduk BBB menolak pembangunan. Projek ini bukan pembangunan namanya, ia adalah usaha segera bagi kroni Khir Toyo mendapat untung hampir RM14 juta dalam sekelip mata, tanpa berbuat apa saja, apabila menjualnya kepada mana-mana pemaju.
Menurut seorang kawan saja di Pejabat Tanah Hulu Langat, Bestarama dikehendaki membayar premium tanah itu sebanyak RM4 juta, sedangkan menurut beberapa pemaju yang biasa membangunkan tanah di Bangi, mereka mampu membeli tanah berkenaan dengan nilai RM18 juta. Ini bermakna sekurang-kurangnya Bestarama boleh mendapat untung mudah tanpa mengeluarkan wang walaupun sesen, bernilai lebih RM10 juta.
Penduduk BBB jangan menjadi tunggul mati dengan percaturan kotor Toyo menyerahkan tanah bernilai itu kepada kroninya sahaja. Mereka berhak mendesak agar tanah itu dibangunkan untuk kepentingan ramai, misalnya dengan mengekalkan kawasan hijau dan menyediakan kemudahan rekreasi dan riadhah kepada masyarakat setempat.
Semua penduduk di sini tahu bahawa kawasan yang mahu dibangunkan itu, antara Jalan 6 dan stesen minyak Shell adalah kawasan yang paling padat penduduk di Bandar Baru Bangi. Mereka juga sudah lama menggesa agar dibina sebuah kompleks pendidikan Islam yang lengkap, tapi tidak pernah dihiraukan. Beberapa kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hijau (green belt) telahpun diceroboh untuk membina kilang industri dan juga pecahan tanah-tanah lot, termasuk kawasan tapak banglo yang dibeli oleh Khir dengan potongan 50% di kawasan bukit Seksyen 2 Tambahan.
Isu pencerobohan kawasan rekreasi ini akan menjadi kayu ukur mampukah penduduk di BBB bangun mempertahankan hak mereka sebagaimana penduduk Cina menentang pembangunan di Bukit China di Melaka, Bukit Gasing di Petaling Jaya, Bukit Bendera di Pulau Pinang ... Ataupun penduduk Melayu di BBB akan dikenang sebagai orang yang mudah dicucuk hidung pula.
______________________
Terbitan : 28 Mei 2002
Ke atas
Home