Oleh VETERAN UMNO
Surat terbuka buat Perdana Menteri ini disebarkan secara meluas terutama di Selangor, oleh seorang yang menggelarkan dirinya VETERAN UMNO. Untuk manfaat bersama elok kita ikuti pergolakan dalaman Umno Selangor, ekoran dakwaan rasuah terhadap Menteri Besarnya, Dr Khir Toyo:
Yang Amat Berhormat
Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia
Merangkap Presiden Umno
Dato’ Seri
Semoga Dato’ Seri dan keluarga dalam keadaan sihat walafiat, serta sentiasa di bawah rahmat Allah swt dan berkekalan memerintah negara kita ini. Dan semoga Allah swt. memanjangkan lagi usia Dato’ Seri dalam penuh keberkatan, dilimpahi rahmat Ilahi berpanjangan.
Malaysia sepanjang 20 tahun pemerintahan Dato’ Seri adalah tempoh paling gemilang bagi negara ini. Pelbagai kejayaan dicapai walaupun halangannya juga cukup hebat. Saya pasti, rakyat negara ini akan terus mendoakan Dato’ Seri dikurniakan kesihatan berterusan, bagi memimpin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih menakjubkan, serta dapat menempa nama yang harum di pentas dunia.
Seperti yang Dato’ Seri sering ulangi, bagi mengingatkan rakyat negara ini supaya bersyukur atas segala nikmat yang ada, cukuplah dengan penderitaan kita di zaman penjajahan dulu, apabila kita dihina dan maruah serta kehormatan bangsa kita dipijak. Melihat keikhlasan Dato’ Seri memperjuangkan nasib bangsa, saya yang sudahpun uzur, walaupun usia saya jauh lebih muda dari Dato’ Seri, tidak pernah tertinggal untuk terus berdoa agar Allah memanjangkan usia Dato’ Seri memimpin negara Malaysia yang bertuah ini.
Dato’ Seri
Memandangkan Dato’ Seri terlalu sibuk dengan urusan harian yang begitu penting untuk disia-siakan bagi menatap surat saya ini, maka saya ringkaskannya dan terus kepada hasrat yang terbuka di kalbu saya, yang saya percaya turut dikongsi oleh lebih ramai lagi.
Selepas pilihan raya 1999, saya lihat Dato’ Seri berusaha tanpa mengira penat dan lelah bagi memulihkan imej parti kita, Umno. Berbagai-bagai perubahan dilakukan, dan ternyata kesannya cukup positif sekali. Kesan terakhir ialah kemenangan calon BN dengan mendapat majoriti lebih besar di Indera Kayangan dan Ketari. Kemenangan gemilang itu adalah petanda dan bukti kepemimpinan Dato’ Seri diterima oleh semua pihak, sama ada Melayu mahupun bukan Melayu.
Analisis awal menunjukkan ramai pengundi Melayu yang menyokong parti lawan dalam pilihan raya 1999 kini mula beralih sokongan kepada BN/Umno. Sesungguhnya tiada yang paling menggembirakan hati saya, selain melihat Umno terus unggul sebagai parti Melayu yang mendapat dokongan majoriti umat Melayu di negara ini. Dan kalaulah saya menutup mata dalam waktu terdekat ini, hati saya merasa cukup puas melihat kejayaan Umno yang diterajui oleh Dato’ Seri.
Saya juga kagum dengan pendekatan berani dan bijaksana Dato’ Seri menguruskan isu-isu yang menyentuh soal pelampau agama di negara ini, terutama dalam hal Kumpulan Militan Malaysia, Al-Maunah dan kepintaran Dato’ Seri menangani isu serangan ke atas WTC dan peperangan di Afghanistan. Ternyata pengalaman dan keikhlasan Dato’ Seri menyebabkan PAS kehilangan punca bagi mengeksploit sentimen umat Islam terhadap apa yang berlaku di Afghanistan. Jutaan tahniah buat Dato’ Seri.
Dato’ Seri
Bagaimanapun, dalam kegembiraan itu terbetik rasa dukacita dan kerisauan terhadap imej Umno yang telahpun dipulihkan oleh Dato’ Seri itu. Kebimbangan itu bertukar menjadi gundah-gulana apabila tercetusnya isu mengenai Dato’ Seri Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. Meskipun dakwaan rasuah kepada beliau masih di peringkat siasatan, dan Badan Pencegah Rasuah belum pun mengumumkan hasil siasatan mereka, tetapi saya yang berada di peringkat bawah dapat merasakan kesan atau bahang yang cukup negatif ini, terutama kepada Umno Selangor, yang sebelum ini tidak putus-putus dirundung malang apabila menteri besarnya seorang demi seorang disabitkan dengan pelbagai kesalahan moral.
Walaupun dari segi prinsip undang-undang, seseorang tertuduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah, tetapi Dato’ Seri juga sering mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno agar “bukan saja bersih, tetapi hendaklah kelihatan bersih.” Sayang sekali. Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah terpalit dengan dakwaan rasuah yang dikuatkan oleh bukti dan dokumen yang sukar untuk disanggah.
Setelah meneliti pertuduhan yang dikemukakan kepada BPR – bukan sekali tetapi sudah empat lima kali – yang disebarkan di serata ceruk rantau negeri Selangor ini, termasuk melalui internet dan surat-surat layang, Umno Selangor boleh dianggap dalam keadaan tertekan. Kalau dulu, Umno di pihak yang menyerang tetapi kini kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk menjawab dan mempertahankan Dato’ Seri Menteri Besar Selangor.
Dan seperti yang Dato’ Seri maklumi, Selangor adalah negeri yang kritikal untuk Umno. Kita tidak boleh memperjudikan negeri yang sebegitu penting kepada Umno seperti Selangor ini. Dan bagi PAS, inilah masanya untuk mereka mengeksploitasi keadaan bagi memecah kekuatan kita di Selangor, sekali gus membuktikan bahawa PAS bukan saja berkuku di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung, tetapi juga mendapat tanah di negeri-negeri maju dan dihuni oleh pelbagai kaum dengan peratusan masing-masing kaum hampir seimbang.
Jika PAS berjaya bertapak kukuh di Selangor, saya bimbang negara ini akan dirundung mala petaka kerana ia satu jalan awal untuk PAS menguasai Malaysia sepenuhnya. Saya yakin, Dato’ Seri cukup masak dengan kemungkinan yang bakal berlaku jika PAS menguasai Selangor. Sudah barang pasti Dato’ Seri mempunyai taktik dan strategi tertentu bagi menghalang kemungkinan buruk ini berlaku.
Dato’ Seri tentu mempunyai maklumat yang cukup mengenai isu rasuah Dato’ Seri Menteri Besar Selangor itu, tetapi pada hemat saya, yang lebih penting dari itu ialah, apa persepsi rakyat terhadap Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo sekarang. Mungkin juga dakwaan yang dikemukakan terhadapnya tidak memungkinkan untuk beliau dihadapkan ke mahkamah, tetapi bagaimana dengan pandangan rakyat?
Dato Seri
Setakat pengetahuan saya, isu ini telah banyak menjejaskan kita di Selangor. Apabila saya menghadiri banyak perjumpaan dalaman Umno, isu rasuah Menteri Besar Selangor juga yang heboh diperkatakan. Akhbar-akhbar tabloid yang menyiarkan berita ini dapat ditemui di mana-mana. Lebih menyedihkan lagi apabila segala maklumat dan dokumen berkaitan disebarkan secara meluas di kalangan Umno sendiri. Kredibiliti Dato’ Seri Dr Khir dapat dijejaskan oleh pembangkang dengan begitu teruk sekali dalam waktu di mana sepatutnya pembangkang yang terkial-kial menjawab segala serangan daripada pihak kita.
Tujuan saya menulis surat ini bukannya untuk mencadangkan sesuatu tindakan yang perlu dibuat oleh Dato’ Seri tetapi sekadar menyampaikan apa yang berlaku di peringkat akar umbi, terutama tentang kegelisahan mereka dengan isu rasuah Dato’ Seri Menteri Besar Selangor ini. Bagaimanapun saya rasa, perlu ada tindakan segera bagi memulihkan keadaan seperti sediakala dan Selangor dapat dibangunkan dengan jayanya, tanpa perlu kita disibukkan dengan isu-isu peribadi menteri besarnya.
Akhirnya saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga di atas perhatian Dato’ Seri terhadap isi kandungan surat ini. Segala kekasaran bahasa dan kesilapan di dalamnya harap dimaafkan. Dan semoga Allah terus merahmati setiap detik pemerintahan Dato’ Seri selama ini.
Sekian. Wassalam
______________________
Terbitan : 29 Mei 2002
Ke atas
Home