Oleh Ahmad Lutfi Othman
baru Apabila saya mendedahkan dua lagi kes rasuah dan salahguna kuasa
Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, baru-baru ini, membabitkan
isu pembelian kereta rasmi yang tidak mengikut prosedur dan keputusan
mesyuarat Exco Mac lalu yang meluluskan hampir 11 ekar tanah yang
diwartakan sebagai kawasan rekreasi untuk dibangunkan oleh syarikat
kroni, ramai kawan-kawan membuat teguran: "Cukuplah Lutfi, apa pun
yang didedahkan, Khir tidak akan jatuh."
Ada juga yang memberikan respons melalui e-mail: "Lebih baik Sdr
menumpukan usaha menerbitkan semula siri akhbar Memo atau
mengaktifkan kembali penerbitan Cabaran. Atau kalau sudah tak larat
terbitkan akhbar, buat saja buku. Mendedahkan seratus lagi pun kes
rasuah MB Selangor tidak akan membawa kudis buatnya jika Mahathir
mahukan dia tetap di kerusi keramat itu."
Sememangnya dari awal lagi, lama sebelum saya membuat aduan rasmi
kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya dan kemudiannya naik
turun pejabat BPR Selangor di Kompleks PKNS Shah Alam, saya
menjangkakan kes Khir jauh berbeza dari pengalaman berdepan dengan
kes Abu Hassan Omar.
Masyarakat lebih tertarik dengan isu-isu sensasi berkaitan skandal
seks berbanding isu salahguna kuasa, korupsi dan amalan nepotisme.
Misalnya, bekas ketua menteri Melaka dan ketua pemuda Umno, Rahim
Tamby Chik, walaupun popular dengan tuduhan rasuah yang dibawa oleh
Ketua Pemuda DAP, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng,
Rahim hanya tersingkir apabila skandal seksnya dengan gadis bawah
umur meletup.
Sedangkan perincian kes rasuahnya dibutirkan dengan begitu jelas
sekali. Dan Guan Eng membangkitkan di mana saja, termasuk dalam
sidang Parlimen dan naik-turun Ibu Pejabat BPR (ketika itu di Jalan
Duta) lebih kerap dari apa yang saya lalui dalam kes Khir. Malah,
Rahim menang dalam pertandingan merebut jawatan ketua pemuda Umno
mengalahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad.
Soalnya, apakah tujuan utama saya membangkitkan isu rasuah menteri
besar Selangor ini adalah untuk menjatuhkannya, dan kemudiannya naik
tokoh baru, dan seterusnya mengulangi apa yang dilakukan oleh Khir,
mungkin dengan pendekatan yang sedikit berbeza?
Jatuhnya Muhammad Muhd Taib juga ada kaitan dengan isu rasuah secara
tidak langsung. Sudah lama orang bercakap soal kerakusan Mat Taib
mengagihkan tanah yang cukup mahal harganya di Selangor buat kroni
dan saudara-maranya.
Tidak masuk akal
Tapi apa yang boleh dilakukan kepada Mat Taib walaupun ada penulis
mendedahkan beliau membayar belasan juta ringgit kepada bekas isteri
yang diceraikannya. Bagi sesetengah orang, tidak masuk akal bagi
seorang menteri besar Umno, apatah lagi jika diberi amanah mentadbir
negeri sekaya Selangor, yang "lurus bendul", yang tidak mengambil
kesempatan untuk memperkaya diri, kroni, suku-sakat dan kenalan
rapat, atau pihak yang sanggup memberi 'komisyen' lumayan bila projek
atau tanah bertukar tangan.
"Lutfi, kalau seseorang itu jadi MB Selangor selepas tiga tahun, tapi
belum ada simpanan, dalam bentuk tunai, melebihi tiga empat ratus
juta, aku ulangi tiga empat ratus juta (RM300-400 juta), maka MB itu
kemungkinan gila, dungu atau bertukar menjadi malaikat," kata seorang
aktivis Umno di salah sebuah bahagian di Selangor.
Saya pada mulanya menganggap ia hanya gurauan atau sesuatu yang
berlebih-lebihan, tetapi bila dijelaskan bagaimana wang tunai
sebanyak RM300 juta itu boleh dipungut oleh seseorang menteri besar
Selangor, saya merasakan jumlah itu terlalu kecil.
"Sebenarnya tak payah tunggu tiga tahun, Khir yang tak sampai pun dua
tahun menjadi MB, dah boleh pungut wang sebanyak itu . kalau dia
mahu," tambah aktivis Umno itu lagi.
Cuba bayangkan saja, seekar tanah yang dibangunkan secara komersil di
kawasan strategik di negeri Selangor, boleh mendatangkan pulangan
sebanyak RM1 juta. Ini belum dikira lagi berapa "ufti" yang boleh
dipungut dari projek-projek misalnya pembinaan jalan atau pemasangan
paip air, yang harga projek sengaja ditingkatkan berkali ganda.
Paling jelas ialah projek membina jalan merentasi bendang di
Sekinchan dan Sungai Panjang. Kos yang sepatutnya sekitar satu hingga
dua juta bagi jarak 1km meningkat sehingga RM4.6 juta bagi satu
kilometer. Manakala kos membekal dan memasang paip air dari Dengkil
ke Semenyih, sejauh 37.3 km, ditingkatkan menjadi RM82.35 juta,
walhal sepatutnya tidak boleh melebihi RM40 juta.
"Kalau saya diberi peluang kendalikan projek bekal dan pasang paip
air MS1200mm di Dengkil itu, saya hanya letak harga paling tinggi
RM40 juta. Itu pun kalau Khir atau yang lain nak minta komisyen dua
tiga juta, saya boleh bagi," kata seorang kontraktor berpengalaman
dalam kerja-kerja paip selama lebih 20 tahun.
Kiralah sendiri, berapa banyak wang rakyat Selangor yang dihanguskan
begitu saja dalam dua projek contoh itu. Dalam projek paip lebih RM40
juta dibazirkan untuk kos rasuah pelbagai pihak terbabit, termasuk
dalam Jabatan Bekalan Air Selangor dan tidak mustahil pihak-pihak
tertentu di bangunan SUK Selangor, Shah Alam.
Begitu juga dalam projek jalan melalui kawasan bendang yang menelan
kos lebih RM92 juta, sedangkan sepatutnya kos tidak boleh melebihi
RM60 juta. Tergambar bahawa seolah-olah Selangor ini begitu mewah dan
kayaraya sehingga meskipun dihanguskan beratus juta ringgit untuk
rasuah, ia tidak menjejaskan keupayaan kewangan kerajaan negeri.
Tidak mustahil
Perlu diingatkan, maklumat yang saya perolehi hanya berdasarkan
keputusan dua atau tiga mesyuarat anggota Exco Kerajaan Negeri
Selangor, sedangkan Khir sudah mempengerusikan hampir 100 mesyuarat
berkenaan. Saya tidak menuduh dalam semua mesyuarat Exco yang lain,
hal yang sama berlaku tetapi kecenderungan untuk amalan rasuah
berkembang biak dan disuburkan lagi, adalah tidak mustahil.
Saya dimaklumkan agenda terpenting dalam mesyuarat Exco ialah
meluluskan tanah dan projek yang membawa keuntungan lumayan. Yang
peliknya, mengapa keputusan mesyuarat Exco dianggap sulit dan tidak
boleh dimaklumkan kepada umum? Sebab itu segala apa yang saya
bongkarkan mengenai kelulusan tanah dianggap satu kejutan.
Sedangkan bagi saya, seharusnya keputusan Exco dalam hal-hal
berkaitan tanah dan projek harus dimaklumkan kepada publik. Selagi
prinsip ketelusan hanya menjadi wacana ilmiah dan tidak dipraktikkan,
maka unsur dan elemen rasuah seperti mendapat baja atau pemangkin
untuk terus tumbuh dengan mekar.
Keadaan menjadi lebih buruk, dalam ertikata menteri besar seolah-olah
diberikan cek kosong untuk ditulis berapa saja nilai rasuahnya,
apabila anggota Exco Kerajaan Selangor diperintahkan "masuk mesyuarat
berlenggang dan keluarpun berlenggang".
Selalunya kertas mesyuarat akan diedarkan sehari sebelum Exco
mengadakan mesyuarat mingguan. Tetapi selepas dakwaan rasuahnya
tersebar luas, dan Khir percaya maklumat yang saya perolehi datang
dari pejabat Exco, maka dibuat satu peraturan baru: Segala kertas
atau minit mesyuarat Exco diserahkan selepas setiap Exco berada di
kerusi masing-masing dan ia hendaklah dipungut balik selepas
mesyuarat tamat dan tidak dibenarkan disimpan oleh anggota Exco.
Malah segala yang bersangkutan dengan mesyuarat Exco sejak Khir
menjadi menteri besar pada 25 Ogos 2000 harus diserah balik, walaupun
isu rasuahnya hanya dibongkar pada Nov 2001.
Bertambah pelik
Tetapi, bagi saya, lagi bertambah pelik ialah bilamana anggota Exco
yang lain, sebahagian besarnya sudah tiga penggal dilantik Exco,
menjadi tunggul bisu dan langsung tidak menyuarakan rasa tidak senang
mereka dengan peraturan baru itu, yang disifatkan lebih kukubesi
daripada amalan parti komunis di bawah Lenin dulu!
Balik kepada persoalan asas: Apakah hanya kerana Khir tidak tumbang
maka usaha mendedahkan amalan busuk rasuah harus dihentikan? Tentunya
tidak sama sekali. Dan fenomena ini hanya semakin memperjelaskan lagi
sikap sebenar pimpinan tertinggi Umno terhadap rasuah.
Umno berkembang kerana rasuah. Sokongan terhadapnya dibaja dengan
rasuah. Kecenderungan pengundi menjelang pilihan raya dibeli dengan
rasuah. Jika taktik ugut dan dera tidak berhasil, maka umpan rasuah
dilayangkan. Terbukti sudah dalam kes Khir Toyo, meskipun laporan
awal BPR menunjukkan dakwaan ke atasnya mempunyai asas kukuh, perdana
menteri tidak bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang.
Sedangkan PM tidak sewajarnya dirujuk apabila BPR sudah mempunyai
bahan bukti. Jabatan Peguam Negara yang seharusnya bebas dari kawalan
mutlak PM mesti mempunyai keberanian untuk memulakan pendakwaan
walaupun ia membabitkan 'anak emas' PM.
Sebaliknya apa yang berlaku, fail-fail BPR tokoh-tokoh pemerintah
yang rasuah dijadikan bahan untuk PM menjadikan mereka 'lembu yang
dicucuk hidung'. Benarlah kata Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar: "Sistem
pemerintahan yang ada merupakan sistem terbaik untuk menternak
pemimpin menjadi perasuah."
Tidak masuk akal untuk menyatakan Perdana Menteri tidak mengetahui
sistem yang digunapakai BN bagi menguruskan kekayaan negara merupakan
tapak paling subur untuk rasuah berkembang. Soalnya, mengapa sistem
korup ini tidak dirombak bagi memastikan ketelusan dan elemen
pemerintahan yang baik dapat diamalkan?
Sesungguhnya, Umno hanya kuat dan dapat terus berkuasa apabila amalan
rasuah menjadi rutin seharian pemimpinnya, sehingga menjadikan tokoh
yang mulanya baik dan jujur pun boleh bertukar menjadi rakus dan
pelahap.
Sedangkan yang kita impikan ialah sistem yang telus dan terbuka, yang
menutup sebarang ruang untuk rasuah berkembang, yang memungkinkan
tokoh 'nakal' pun dapat dijinakkan dengan sikap
kerbertanggungjawaban.
--------------------------------------------------------------------
AHMAD LUTFI OTHMAN ialah jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen
(Kami).
______________________
Terbitan : 24 Mei 2002
Ke atas
Home