Oleh WARTAWAN MEMO20 (akhbar terbitan Lutfi)
SHAH ALAM: Walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan rasuah dan kes salahguna
kuasa, Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo kini dikatakan berjaya melepasi
saat-saat sukar dalam kerjaya politiknya.
Menurut sumber, Perdana Menteri dipercayai tidak akan mengambil apa-apa tindakan
kepadanya, meskipun laporan awal siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapati
ada kes yang boleh disabitkan ke atas Khir.
Timbalan Perdana Menteri pula dikatakan banyak mempertahankan Khir dan ini bukan
menghairankan kerana Abdullah Badawi merupakan pihak yang mencadangkan nama Khir
selepas Abu Hassan Omar meletakkan jawatan pada akhir Ogos 2000.
Malah selepas merasmikan mesyuarat agung Umno Tanjong Karang baru-baru ini,
Abdullah memberitahu media bahawa Khir merupakan tokoh yang akan mengetuai BN
Selangor dalam pilihan raya akan datang.
“Kini berakhirlah episod rasuah Khir Toyo. Selamat kata PM, selamatlah Khir,
biarpun timbunan bukti dikemukakan Ahmad Lutfi kepada BPR. Tetapi hakim yang
paling bijaksana menentukan benar salahnya Khir ialah rakyat, bukan Mahathir,
bukan BPR,” kata seorang veteran politik
Berikut adalah antara isu-isu rasuah terbaru Khir yang didedahkan:
· Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke
Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.80. Projek ini terlalu mahal dari
taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil
dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km
dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat
imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.
· Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk Jabatan Bekalan Air
Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd.
Khir sendiri mengakui syarikat kroni itu diberikan projek yang menguntungkan ini
bagi ‘membunuh’ pengaruh PAS di kawasan itu. Harga paip yang ditawarkan JAKS
adalah 50% lebih tinggi daripada harga kilang.
· Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas
lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua
Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua
ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)
merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir
disenarai-hitamkan.
· Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G,
Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga
diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau
membayar tunai RM150,000 hanya selepas lima bulan menjadi MB.
· Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat
dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa
keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah
pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan
kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.
· Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek daripada
kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah
resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Ini bercanggah dengan surat akujanji
yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.
· Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos
rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui
perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Seorang pemimpin kanan Umno Tanjong
Karang mempunyai kepentingan besar dalam syarikat ini.
· Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Exco Kerajaan
Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke
25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan.
Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan
tempoh Khir menjadi MB baru setahun sebulan, iaitu tidak sampai lima tahun
seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan
Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana
kereta rasminya, Merc S320L, no. plat BGF 7337 ditawar untuk dijual kepadanya,
Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.
· Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat Exco dikutip semula
selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang
dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain.
Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum
mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya
diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “Exco
Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlengang.”
· Meluluskan hampir 11 ekar tanah milik kerajaan negeri di Bandar Baru Bangi,
yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn
Bhd. Masyarakat setempat telah membuat bantahan kerana setakat ini banyak
kawasan hijau setempat telah dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan.
Menariknya, pemegang syer Bestarama Sdn Bhd juga merupakan pemegang syer Noble
Nexus.
______________________
Terbitan : 10 Mei 2002
Ke atas
Home