Apabila telefon di rumah berdering di awal pagi, selalunya ia tanda ada berita buruk yang bakal menyapa. Justeru, sebelum mengangkat gagang, saya cuba mempersiapkan keupayaan mental untuk mendengar khabar yang mendukacitakan itu.
Bagaimanpun ada juga panggilan di tengah malam dan awal pagi itu tiada kena mengena dengan berita sedih.
Pengalaman 1 Mac 1999, jam 5 pagi, begitu menyentap degup jantung saya. Ibu tercinta pergi buat selamatnya tanpa sebarang pesanan awal. Beberapa bulan sebelum itu, kematian abang ipar yang dianggap ketua keluarga selepas bapa meninggal 17 tahun lalu, turut membuatkan diri terkedu. Juga satu kematian tanpa sebarang petanda awal -- tiba-tiba saja panggilan dari kampung memaklumkan abang meninggal ketika memandu kereta masuk ke pekarangan masjid di Ipoh.
Hanya sebulan kemudiannya, seorang anak saudara terbabit dalam kemalangan maut, di depan Angkasapuri, pada malam kedua Ramadhan.
Dan kelmarin, ketika abang saya menelefon dari kampung, saya kira abang hanya mahu bertanyakan tentang pengedaran akhbar Memo21 untuk kawasan Utara, bermula dari Tanjong Karang hingga ke Kangar.
Rupanya beliau juga membawa khabar sedih yang mengejutkan. Suami kepada sepupu saya di Tikam Batu, Kedah meninggal jam 3 pagi, juga tanpa diketahui dia menanggung penyakit serius.
Tiga minggu lalu, seorang teman baik di syarikat percetakan yang banyak membantu kerja-kerja penerbitan saya, baru berusia awal 40-an, menyahut panggilan Ilahi selepas sebulan terlantar. Benar, dia cukup baik dan kehilangannya cukup terasa.
Yaa ... berita kematian yang seringkali mengejutkan, kerap memberi pengajaran tentang makna sebenar kehidupan. Tapi ia selalunya bagai kilat yang menyambar, yang disusuli dentuman kuat tetapi kemudiannya reda buat masa yang panjang.
Dan ketika menonton tayangan langsung perayaan Maulidur-rasul, selain mengenang kemuliaan rasulullah s.a.w. dan pengorbanannya, dan bagaimana kini ada insan yang mengaku Muslim begitu berani menghina rasul, tiba-tiba perasaan pilu dan sedih mengasak diri.
Dalam masa sama, muncul dalam kotak fikiran, saudara-saudara terdekat dan rakan taulan yang sudah pergi ke alam baqa'. Wajah-wajah mereka bagaikan bersilih ganti bermain di mata. Dan sekali lagi peringatan kematian menyentak kelalaian atas segala permainan keduniaan ini.
Hidup ini cukup melekakan, dan kerap kita terlupa tentang destinasi yang pasti -- kematian! Sesekali khabar kematian saudara dan rakan taulan, terutama yang cukup dekat dengan kita dan pemergiannya secara mengejut, membuatkan perjalanan hidup bagai terhenti seketika.
Malangnya ancaman kematian ini hanya datang bagai mimpi, yang mudah hilang tanpa bekas. Rentak kehidupan jarang dapat diubah dengan peringatan kematian sedangkan dari hari ke hari, detik untuk kita sendiri bersama kematian kian dekat, kian hampir, bagai tetamu yang berada di depan pintu.
Semoga khabar kematian yang selalu menyapa kita pada panggilan telefon awal pagi dapat menyedarkan kita untuk tempoh masa yang lebih panjang ...
Ahmad Lutfi Othman
______________________
Terbitan : 26 Mei 2002
Ke atas
Home