Oleh ARFA'EZA A AZIZ, malaysiakini
7:46pm Tue May 28th, 2002: Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyelesaikan siasatan terhadap Mentri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan sudah merujukkan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara, dakwa aktivis media Ahmad Lutfi Othman.
Ahmad Lutfi memberitahu malaysiakini bahawa dia percaya laporan hasil siasatan itu telahpun ditunjukkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau mengambil cuti selama sebulan pada awal tahun ini.
“Sumber yang dipercayai memberitahu saya selepas kes itu dirujuk kepada Perdana Menteri, tiada tindakan lanjut diambil. Kes itu dikatakan terhenti di situ,” tambahnya.
Wartawan politik itu juga menyoal tindakan merujuk kes itu kepada Mahathir sedangkan hanya Peguam Negara yang boleh membuat keputusan sama ada untuk mendakwa menteri besar berkenaan.
“Jadi, saya percaya siasatan itu hanya dibuat kerana Perdana Menteri hanya ingin tahu apa kesalahan yang dilakukan oleh Khir Toyo. Itu sahaja. Siasatan itu bukanlah untuk membuat tindakan lanjut dan sebaliknya disimpan untuk keperluan politik,” katanya.
Sebelum ini, Lutfi telah membuat beberapa aduan kepada BPR terhadap Khir Toyo (kiri yang didakwanya telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri besar.
Antara lain, Khir Toyo didakwa melakukan perlakuan rasuah berhubung pembelian tanah lot banglo di Bangi, menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km bernilai RM92.5 juta di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang sama.
Halangan siasatan
Lutif berpendapat “halangan” sebegini boleh diatasi jika undang-undang dipinda bagi membolehkan BPR diberi kuasa pendakwaan tanpa merujuk kepada jabatan Peguam Negara.
Beliau juga mendakwa, kes-kes rasuah dan pecah amanah jenayah yang melibatkan orang ternama yang ditimbulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim baru-baru ini, juga mendapat “halangan” dari pihak yang sama.
“Saya juga diberitahu bahawa Datuk Rais sendiri telah menghadapi halangan ketika membincangkan kes-kes orang ternama ini. Saya syorkan Datuk Rais untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Orang awam menuntutnya memberitahu pengalamannya berhubung halangan tersebut,” katanya.
Lutfi menambah “halangan” ini hanya akan mengikis iltizam pegawai penyiasatan dalam menjalankan tugas dan siasatan.
“Mereka tahu siasatan yang dibuat itu tidak akan menghasilkan pendakwaan. Mereka tidak suka diperalatkan oleh ahli politik dan bahan siasatan yang mereka cari pula digunakan bagi tujuan politik,” katanya.
Minggu lalu, Rais telah mengkritik sikap pihak berkuasa yang hanya “hangat-hangat tahi ayam” ketika menjalankan siasatan terhadap kes-kes pecah amanah yang membabitkan pihak atau organisasi tertentu.
Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi, ketika mengulas kenyataan Rais itu, menegaskan tiada arahan kepada pihak berkuasa untuk menghentikan apa-apa siasatan melibatkan orang atasan dan memberi jaminan bahawa semua kes akan disiasat secara adil.
Pada Ahad lalu Dr Mahathir juga berkata semua kes-kes pecah amanah telah pun disiasat tanpa sikap berat sebelah.
______________________
Terbitan : 29 Mei 2002
Ke atas
Home