Oleh PAK TEH
Banyak yang saya tak setuju dengan Dr Rais Yatim. Tapi kenyataannya tentang saman ekor melegakan ramai pihak. Dan paling akhir ialah tentang kes-kes pecah amanah dan rasuah yang hanya heboh diperingkat awal, hangat-hangat tahi ayam, tetapi kemudiannya senyap begitu saja.
Orang ramai tak tahu mengapa dari begitu banyak kes rasuah yang telah disiasat dan dikatakan mempunyai bukti itu, tetapi kemudiannya hilang begitu sahaja. BPR tidak pernah pun mengumumkan perkembangannya sama ada tak ada bukti atau apa-apa masalah lain.
Dan bila Rais berkata terdapate beberapa kes yang panas pada peringkat awal siasatan tetapi akhrinya senyap saja, walaupun banyak bukti, saya tak tahu kes mana yang Rais Yatim maksudkan. Kita ada banyak kes seperti itu, misalnya Perwaja, MAS, PPRT, Tabung Haji dan juga sudah tentu kes rasuah dan amalan salahguna kuasa oleh Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor.
Begitu banyak aduan yang dibuat oleh Sdr Lutfi, penuh dengan fakta dan dokumen sokongan, dan pernah heboh isu ini pada peringkat awal. Sudah dua kali persidangan DUN Selangor kecoh tentang hal ini, termasuk yang pertama pada Nov 2001 sehingga seorang ADUN pembangkang, Teng Chang Khim dihalau keluar dari Dewan. Khir terpaksa menjawab dalam suratkhabar Mingguan Malaysia satu setengah muka. Beberapa kali program RTM menyiarkan interviu dengan Khir supaya ketua biro agama Pemuda Umno itu dapat membuat penjelasan balik. Dan dalam sidang DUN Selangor yang lalu pun, lima lagi kes rasuah Khir Toyo dibangkitkan oleh Dr Hassan Ali.
Tetapi di pihak kerajaan perkara itu akhitnya senyap saja. Tinggal Lutfi menjerit seorang diri, dengan membuat aduan demi aduan, menerbitkan akhbar demi akhbar, sehingga Lutfi sendiri merujukkan perkara ini khusus kepada Rais.
Sumber BPR sendiri sudah mengesahkan bahawa laporan siasatan kes ini telahpun dihantar kepada Perdana Menteri dan khabarnya dalam siasatan itu BPR mendapati ada asas kukuh untuk mendakwa Khir. Tapi apa yang Mahathir buat, selain memendamkan kes siasatan ini.
Paling malang bila Khir sampai hari ini tidakpun disiasat oleh BPR Selangor sehingga ibu pejabat BPR Putrajaya terpaksa menubuhkan jawatankuasa siasatan sendiri. Lutfi membuat aduan pertama pada 23 Oktober 2001, iaitu lebihkurang tujuh bulan lalu. Dia bukan membuat aduan secara umum tetapi memberikan dokumen yang boleh membantu siasatan secara lengkap.
Memang benar Rais mengambil berat soal siasatan BPR ke atas Khir Toyo sehingga proses siasatan di peringkat ibipejabat BPR berjalan lancar dan laporan siasatan dapat disiapkan sebelum Mahathir bercuti ke luar negara dulu.
Bagaimanapun insiatif pegawai BPR langsung tidak dihargai. Bagi PM segala fail rasuah menteri di bawahnya hanya akan digunakan untuk tujuan politik, bukan untuk memastikan pentadbirannya telus, bersih dan bebas rasuah. Khir akan terus dipertahankan walaupun fail rasuahnya menimbun jika dari segi politik dia tidak membawa masalah kepada Mahathir.
Oleh itu, saya rasa jika Rais benar-benar ikhlas dalam kerjanya, teguran yang tepat harus ditujukan kepada Mahathir sendiri, bukan kepada BPR atau polis. Jangan hanya berani tegur Pak Lah yang lembik dan mudah lupa itu. Rais mesti berani buat reformasi dalam Umno kerana bagi saya, seburuk-buruk Rais, hanya dialah yang berpotensi untuk melakukan perubahan dari dalam.
______________________
Terbitan : 27 Mei 2002
Ke atas
Home