MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Kelantan Dan Terengganu Negeri Idolaku

UMNO/BN Seperti Mahu Padamkan Kebaikan dan Kebenaran

Sungguhpun orang-orang UMNO/BN, para pemimpin UMNO/BN, media perdana yang mengampu, segelintir cerdikpandai kaki bodek, dan sebilangan lagi rakyat yang masih tidak memahami erti sebenar amalan demokrasi serta sama ada secara sengaja atau tidak buta erti kebaikan, keadilan, demokrasi dan kebenaran, mereka itu mati-matian dan berhempas pulas memburukkan, berusaha mengkambinghitamkan hatta sampai memutar-belitkan kebenaran dan seterusnya menfitnah secara sangat jahat siang malam terhadap kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang kebetulan dipimpin oleh dua tokoh ulama yang berniat ikhlas dengan Islam, malah mahu memfotostat kehidupan, kepimpinan dan pentadbiran sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat besarnya ketika mereka memegang tampuk pemerintahan ummah dulu ke dalam pemerintahan mereka di Kelantan dan Terengganu.

Sikap menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam, menggambarkan yang baik dan benar sebagai buruk dan salah atau yang hak sebagai batil, adalah antara sikap dan sifat pemimpin/rakyat yang jahil dan jahat. Inilah kerja keras mereka siang malam untuk mempengaruhi rakyat negara ini agar rakyat Malaysia yang majmuk ini sama-sama bersekongkol dengan niat buruk lagi jahat mereka mengkambing-hitamkan apa jua kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan BA di Kelantan dan Terengganu yang diketuai oleh PAS.

Contohnya, betapa jahat dan buruknya niat UMNO/BN terhadap kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pimpinan Nik Aziz dan Haji Hadi, tetapi sebagai umat Islam yang beriman, dan rakyat yang bermaklumat serta berilmu, anda tidak akan terfikir bahawa betapa yang putih itu boleh bertukar berwarna jadi hitam. Namun, inilah yang menjadi budaya dan penyakit kronik dalam akal pemikiran orang-orang UMNO/BN yang terlalu hangit UMNOnya, sehingga perkara hukum hudud yang terkandung dalam al-Qur'an dan Hadith itupun mereka mahu samar-samarkan dengan kata-kata konon apa yang kerajaan Kelantan dan Terengganu mahu usahakan itu adalah hudud PAS, seolah-olah para pemimpin UMNO/BN sengaja mahu memadamkan hakikat hukum hudud itu adalah suatu hukum yang diwajibkan oleh Allah ke hamba-Nya melaksanakan di atas muka bumi ini seperti tidak ada atau mereka sendiri tidak berkeyakinan kepada hukum hudud. Sampai ada yang lebih dahsyat mengatakan hukum hudud tidak sesuai dalam masyarakat majmuk. Mereka lupa bahawa Allah yang mencipta manusia, alam ini dan masyarakat majmuk, maka hukum hudud itu juga hukum Allah yang termaktub dalam al-Qur'an dan tentu sangat sesuai dengan semua masyarakat manusia. Kenapa tiba-tiba ada yang jahil dalam UMNO mengatakan hukum hudud tidak sesuai dalam masyarakat majmuk. Inilah antara gambaran usaha jahat lagi buruk para pemimpin UMNO/BN untuk menggelap-gelitakan suatu yang baik, benar dan bermanfaat kepada manusia, terutamanya rakyat negara ini.

Akan tetapi sebagai penulis dan hamba Allah yang mencintai kebaikan, kebenaran, keadilan dan amalan demokrasi, benar-benar merasa gurisan yang melukakan hati dan emosi kita. Apabila kebaikan, kebenaran, keadilan, penyuburan amalan demokrasi dan ketelusan kepimpinan yang sedang dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi di dua negeri pantai timur itu, disanggah, dibuat-buat cerita yang berwarna putih sanggup dihitamkan, manakala usaha kedua pemimpin ini mahu memutihkan segala kehitaman zaman pemerintahan MB UMNO/BN berpuluh tahun dulu dianggap sebagai mengada-ngada. Ada saja hujah UMNO/BN mahu menutupi segala usaha baik kerajaan BA/PAS/KeADILan/PRM di kedua buah negeri itu yang diketuai oleh dua tokoh ulama tersohor.

Kenapa itu yang terjadi. Sepatutnya ahli dan kepimpinan UMNO/BN yang pernah mendakwa parti UMNO adalah parti Islam ketiga di dunia (Parti Islam N0. 1 dan 2 entah parti mana di dunia ini???). Sepatutnya mereka menyokong segala usaha baik BA/PAS/KeADILan/PRM yang bersungguh-sungguh mahu mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan pentadbiran yang lebih baik, demokratik, adil dan menggunakan pendekatan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan dengan membayangkan usaha mereka yang lebih jujur, telus dan ikhlas.

Watak, Sifat, Kepimpinan Dan Peribadi MB Kelantan Dan Terengganu Yang Menarik

Sekalipun penulis bukan anak Kelantan dan Terengganu, tetapi sebagai seorang Islam yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul. Penulis juga tidak ingin menanamkan sifat fanatik kepada mana-mana individu pemimpin. Cuma iman dan keislaman yang menunjang dalam hati serta jiwa kita benar-benar membuat setiap jiwa orang-orang Islam yang beriman itu pasti akan melihat Islam yang membawa kebenaran, keadilan, ketelusan kepimpinan dan apa lagi Islam itu sendiri adalah agama rahmat keseluruh alam. Dan ciri-ciri inilah yang sedang dilakukan dan dipraktikkan oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu dibawah kepimpinan dua tokoh politik/ulama yang sudah dikenali ramai, tegasnya bahawa kedua pemimpin negeri yang dikuasai oleh BA/PAS/KeADILan/PRM ini melihatkan keikhlasan mereka untuk mengembalikan atau memfotostat cara kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dulu.

Kerana semua inilah penulis sangat berbesar hati dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan kerajaan Kelantan dan Terengganu yang diketuai oleh dua tokoh yang bersih dari pelbagai skandal. Memang kita akui kedua tokoh ini bukan maksum, tetapi penulis yakin mereka adalah antara tokoh pemimpin yang terbaik untuk umat Islam dan rakyat negeri Kelantan dan Terengganu, bahkan menjadi tokoh model untuk pimpinan dalam negara ini untuk kepimpinan yang lebih baik dalam negara yang meletakkan matlamat negara atau negeri ke arah sebuah negara bercirikan negara 'baldatun toiyibatun warabbun ghaffur'. Justeru itu, penulis mengajak seluruh rakyat majmuk dan umat Islam di Malaysia, khasnya rakyat Kelantan dan Terengganu wajar terus mempertahankan dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan kerajaan BA/PAS/KeADILan/PRM dan DAP yang telahpun melihatkan kesungguhan mereka untuk memimpin dan mentadbir negara ini secara lebih adil, saksama, demokratik, kerajaan yang baik dan dengan warna-warni ketelusan. Gaya, cara dan nilai kepimpinan inilah yang sedang dan telah dipraktikkan di kedua negeri yang menjadi negeri idola penulis di abad ke 21 ini.

MB Kelantan dan Terengganu Berbeza Dengan MB/KM UMNO/BN

Tidak seperti MB/KM UMNO/BN yang mencipta bermacam skandal yang mengaibkan. Ada yang dengan skandal rasuah, balak, hubungan sulit, larikan duit berjuta-juta keluar negara, salahguna kuasa dan lain-lain skandal yang mengaibkan diri mereka sebagai pemimpin negeri. Yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka, apatah lagi mereka adalah pemimpin Islam yang berpartikan parti Islam nombor tiga di dunia seperti yang didakwa oleh pemimpin mereka dulu. Apakah bila menjadi pemimpin Melayu/bumiputera/Islam yang berpartikan UMNO menjadi halal segala macam perlakuan rasuah, rompak balak, penyelewengan, merogol anak gadis, menyimpan perempuan dan macam-macam lagi kerja maksiat serta mungkar yang jelas dilarang oleh Islam. Inikah ciri kepimpinan Islam sebenar??? Sebagai umat Islam kita merasa malu, apabila mendengar cerita skandal buruk yang mengaibkan seorang bergelar MB/KM dari parti UMNO dan mereka beragama Islam.

Apakah umat Islam dan orang Melayu berasa bangga berMB atau berKMkan seorang pemimpin yang bersifat buruk seperti itu. Sehingga ada pengundi-pengundi Melayu dan orang Islam sendiri di kawasan MB/KM UMNO yang sudahpun diketahui orang mempunyai pelbagai skandal, masih mahu pangkah pemimpin seburuk dan sejahat itu. Kenapa sebagai pengundi yang bijak, tahu antara peribadi pemimpin yang baik dengan yang jahat, tetapi masih tidak berani menolak pemimpin sebegitu. Padahal, teramat mudah. Tidak perlu lagi kita berfikir panjang, sekiranya ada dua pemimpin yang bertanding dalam satu-satu kawasan pilihanraya. Di antara kedua ini, seorang mempunyai rekod peribadi baik dan partinya sendiri adalah parti yang baik, manakala seorang lagi adalah calon parti besar, parti kaya raya, yang sudah berkuasa berpuluh-puluh tahun dan banyak menabur duit rasuah. Sebagai rakyat dan pengundi yang beriman, baik dan bijak, mana satukah pilihan anda. Tentu kita akan memilih pemimpin yang mempunyai peribadi baik, bukannya kita memilih pemimpin yang kaya, berkuasa tapi jahat perangainya, buruk kepimpinannya dan kaki rasuah pula.

Rakyat yang bijak, baik dan beriman kita mesti tahu ciri pemimpin yang baik itu. Di akhir zaman ini banyak jenis pemimpin yang berpura-pura baik, tetapi berperangai buruk yang disembunyikan dibalik kekayaan, kuasa dan pangkat mereka. Memang tidak semua begitu, kita masih yakin bahawa masih ada pemimpin dalam UMNO/BN itu yang baik-baik. Sayangnya, kebaikan mereka tidak mampu mengatasi segala macam kemungkaran politik yang mensebati dalam budaya UMNO/BN sekarang. Akhirnya, golongan cinta kepada kebaikan, keadilan dan kepimpinan bersih dari skandal semakin mengecil, sebaliknya golongan yang karam/lemas dalam budaya mewah, ampu bodek, gila harta, gila projek, rakus alias tamak haluba, rasuah dan lain-lain skandal semakin bermaharajalela.

Bukan UMNO/BN Tidak Boleh Memimpin, Tetapi Mereka Sudah Wajib Ditukar

Banyak benar dalil dan bukti kenapa kepimpinan UMNO/BN wajib ditukar dari terus berkuasa dalam politik Malaysia , menguasai kepimpinan politik negara ini dan membuat sesuka hati mereka mentadbir negeri dan negara ini. Antara bukti-bukti besar yang boleh rakyat fikirkan ialah:

1. Penyikiran, pengaiban, pendakwaan, penghakiman, penangkapan dan pemenjaraan atau penahanan DS Anwar Ibrahim dan sahabatnya secara zalim oleh UMNO/BN dibawah Dr Mahathir dan kroni-kroninya.

2. Campurtangan politik UMNO/BN dalam sistem kehakiman negara sebagai sebuah badan bebas.

3. Parlimen dijadikan institusi rubber-stamp oleh kepimpinan UMNO/BN untuk menjaga kepentingan diri mereka dan politik kepartian secara melulu.

4. Penafian hak-hak rakyat di Terengganu dan Kelantan secara cukup bertentangan dengan amalan demokrasi dan federalisme, dengan membatalkan secara membabi buta ekoran amarah politik sempit mereka terhadap hak ROYALTI MINYAK kepada kerajaan negeri dan rakyat Terengganu dengan mengubah kepada wang ihsan.

5. Penafian hak-hak wakil rakyat pembangkang sama ada wakil Parlimen atau ADUN dari segi hak mendapat peruntukan ahli Parlimen/ADUN, sebagaimana yang diagih-agihkan kepada hanya ahli Parlimen dan ADUN UMNO/BN.

6. Amalan rasuah yang berleluasa dalam kepimpinan UMNO/BN, sistem negara dan sebagainya.

7. Memperkudakan badan bebas seperti SPR demi untuk terus menang dalam pilihanraya.

8. Memperkudakan institusi polis untuk menjaga survival dan kepentingan politik sempit pemimpin UMNO/BN.

9. Membaruakan instrumen kerajaan/rakyat seperti RTM, jabatan kerajaan dll sebagai tempat UMNO/BN berkempen mempengaruhi rakyat.

10. Menganggu pentadbiran kerajaan negeri yang tidak dikuasai oleh UMNO/BN dengan pelbagai bentuk seperti menyalurkan peruntukan kepada JPP yang sengaja diwujudkan, melambatkan geran wajib kepada kerajaan negeri pimpinan parti BA/PAS/KeADILan/PRM di Kelantan dan Terengganu. Dulu di Sabah, ketika PBS keluar dari BN.

Rakyat Adalah Hakim dan Pemegang Kuasa

Sebagai rakyat yang bijak, berilmu, bermaklumat dan celik politik. Kita mempunyai hak teramat luas dan besar untuk menentukan parti atau pemimpin yang akan memimpin kita dalam setiap tempoh lima tahun sekali. Kenapa tidak digunakan peluang sebegini untuk merubah dan menukar kerajaan yang sudah jelas tidak lagi memihak kepada rakyat majoriti. Seperti UMNO/BN yang sudah teruk dan parah dengan bermacam penyelewengan, salahguna kuasa, amalan rasuah, kronisme, pencabulan undang-undang dan banyak lagi kemungkaran politik dan ekonomi yang mereka lakukan selama mereka berkuasa terutama zaman kepimpinan Dr Mahathir yang sudah terlalu lama berkuasa, sehingga hilang sudah segala kewibawaannya, hilang daya kreativitinya dan hilang segala macam hak-hak rakyat jelata secara tidak disedari oleh rakyat.

Betul Malaysia sekarang maju dari segi bangunan mega kita ada KLIA, KLCC, Putrajaya, apa lagi anda boleh senaraikan semua jenis bangunan itu ini. Tetapi pernahkah anda berfikir dari jutaan rakyat Malaysia yang berada di ulu pelusuk kampung dan desa terpencil di Pedalaman masih ada yang tidak berumah, tidak ada lampu letrik, tiada kemudahan asas seperti jalanraya yang menghubungkan mereka dan masih ada rakyat menjadi setinggan di pinggir bandar. Kita boleh lihat di pinggir Bandaraya KL, KK, Ipoh, Kuching dan lain-lain bandar di Malaysia ini masih ada rakyat yang menderita hidup mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Tetapi para pemimpin kita terutama pemimpin besar UMNO/BN memiliki pelbagai kekayaan di sana-sini melimpah ruah...ada banglo sana-sini, ada perempuan simpanan dan pelbagai lagi.

Kita tidak menentang apa jua bentuk pembangunan dan kemajuan yang boleh memberi manfaat serta kebaikan kepada semua lapisan rakyat. Tetapi rakyat berdukacita kerana kepimpinan yang ada bukan pemimpin sebenar. Inilah hakikatnya, apabila kepimpinan yang ada bukan kalangan mereka yang bersih, amanah, telus dan adil.

Jadi, jawaban paling tepat rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 20 juta ini mempunyai amanah besar. Andai kita mahu sebuah perubahan besar yang lebih baik. Perubahan kepimpinan negeri dan negara. Model kepimpinan dan pentadbiran yang baik sudah ada di depan mata rakyat majmuk Malaysia, iaitu kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang diketuai oleh dua tokoh pemimpin berkarisma, berilmu, bersih, berusaha mengembalikan kepimpinan era zaman kepimpinan yang adil zaman Rasulullah SAW dan para sahabatnya, walaupun tidak kita menjamin ia boleh tercapai 100%. Tetapi kita mesti bersikap positif untuk menyakini dan mendokong kepimpinan sebegini, malah andai perlu kita sebagai rakyat patut sama-sama membantu mengikut posisi dan kemampuan masing-masing.

Sebagai pencinta keadilan, kebaikan, kebenaran, ketelusan, amanah dan amalan demokrasi penulis benar-benar tersentuh hati melihat betapa jahatnya mereka yang berusaha siang malam mahu memadamkan kebaikan, keikhlasan, keadilan, kepimpinan, pentadbiran dan kerajaan yang baik dan menyakinkan kita di Kelantan dan Terengganu dibawah dua tokoh sederhana, ilmuan, ulama, tawaduk dan taqwa. Marilah, kita semua memasyarakatkan kerajaan BA di Kelantan dan Terengganu ke seluruh negara supaya rakyat negara ini benar-benar terpercik oleh kebaikan dan keadilan kerajaan BA di Kelantan dan Terengganu sebagai usaha untuk kita menguasai kerajaan pusat di Kuala Lumpur, insya-Allah.

Teruskan Perjuangan
Jangan Berhenti Sekerat Jalan
Pilihanraya Bukan 2004
Nampak Gaya Tinggal Berapa Bulan Lagi...
Jangan Tunggu lagi
Lawan Tetap Lawan
Lawan Sampai Menang...Takbir 3x

Ibn Sabah,
10.5.2002M.







______________________
Terbitan : 13 Mei 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com