Alamatkan surat anda kepada:
Warta Darul Iman
Tingkat Atas U2,
Bangunan Dewan Undangan Negeri,
Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu
atau Tel: 09-6231957 sambungan 2268
Fax: 09-6267732
e-mel: upknt@terengganu.gov.my
Saya biasa lihat selepas sembahyang fardhu Jumaat beberapa orang ahli jumaat akan bertukar tempat untuk melakukan sembahyang sunat. Apakah perkara ini mesti dilakukan?
– Abdul Jalil Ali, Jerteh, Besut.
Para ulama’ menyatakan bahawa apabila seseorang selesai menunaikan sembahyang fardhu, sebaiknya dia berpindah ke tempat lain bagi memisahkan antara sembahyang fardhu dan sunat. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi S.A.W. riwayat Muslim bahawa baginda menyuruh supaya tidak disambungkan satu sembahyang dengan sembahyang yang lain sehinggalah seseorang itu keluar dari tempat tersebut atau bercakap.
Ini juga bagi membanyakkan tempat-tempat sujud seseorang itu kerana semuanya akan menjadi saksi kepadanya pada hari akhirat kelak. Bagaimanapun perlu diberikan perhatian kepada mereka yang melakukan perkara tersebut supaya menjaga adab-adab persaudaraan Islam seperti tidak menyakiti atau menyusahkan sesama sendiri, begitu juga tidak melintas di hadapan orang yang sedang melakukan sembahyang.
Namun sembahyang sunat sebaik-baiknya dilakukan dirumah. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sebaik-baik sembahyang seseorang itu adalah di dalam rumahnya melainkan sembahyang fardhu." (Riwayat At Tarmizi).
Apakah hukumnya seorang melintas di hadapan orang yang sedang mengerjakan sembahyang?
– Abdul Jalil Ali, Jerteh, Besut.
Perkara ini adalah haram dan dilarang oleh Nabi S.A.W., sabdanya yang bermaksud: "Sekiranya seseorang yang melintas di hadapan orang yang sedang menunaikan sembahyang mengetahui dosa yang akan dikenakan kepadanya tentulah dia berhenti di tempatnya itu (tidak melintas) selama empat puluh {hari atau minggu atau bulan atau tahun} lebih baik baginya daripada dia melintasinya".
Dinasihatkan kepada orang yang melakukan sembahyang sunat agar mencari tempat yang sesuai supaya tidak terdedah kepada pelakuan orang yang tidak mengetahui keadaan sembahyangnya kerana menurut beberapa riwayat bahawa sembahyang tersebut akan cacat (tidak sempurna) sekiranya ada orang yang melintasinya.
Apakah cara yang terbaik di dalam melakukan sembahyang sunat?
– Kamaruddin Abdul Aziz, Kuala Terengganu.
Sembahyang sunat sama ada di waktu malam atau siang sebaik-baiknya dilakukan sebanyak dua-dua rakaat dengan satu salam.
Sering dilihat lelaki yang memakai kain pelikat ketika sujud ternampak pahanya daripada belakang. Apakah ini menyebabkan sembahyangnya itu tidak sah?
– Naimah Amirul Rasyid, Chukai, Kemaman.
Di antara syarat pakaian di dalam sembahyang ianya menutup aurat. Di dalam perkara tersebut ulama’ menyatakan bahawa bahagian atas dan kawasan tepi auratnya wajib ditutup tetapi bahagian bawahnya tidaklah demikian. Dengan itu bahagian paha yang dilihat oleh orang lain yang berada di belakangnya ketika dia sedang sujud tidaklah merosakkan sembahyangnya itu.
Bagaimanakah cara seseorang yang melakukan dosa besar (zina) mahu membersihkan dirinya sedangkan tidak ada peruntukan undang-undang bagi kesalahan itu?
– Ingin tahu, Setiu.
Jawapan 5
Pesalah tersebut hendaklah bertaubat dengan sungguh-sungguh (taubat nasuha) di samping berazam tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan memperbaiki sikap, amalannya serta membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T. dengan harapan dia akan diampunkan oleh Allah S.W.T., manakala pengadilan terhadapnya di akhirat kelak terserahlah kepada Allah. Adapun mengenai pelaksanaan undang-undang Islam, ianya menjadi kewajipan pihak pemerintah.
Apakah janin yang keguguran wajib disembahyangkan seperti orang dewasa?
– Asiah Abu Bakar, Kuala Lumpur.
Menurut ulama’, janin yang belum sampai umurnya empat bulan tidaklah wajib menguruskannya seperti mayat biasa bahkan ianya tidak dimandi dan tidak disembahyangkan. Cukuplah dibungkus dan ditanam. Manakala janin yang berumur lebih daripada empat bulan mestilah dilakukan seperti mayat biasa iaitu dimandi, dikafan, disembahyangkan dan ditanam.
Apakah pandangan Islam apabila seseorang tunang membawa tunangnya keluar bersiar-siar sebagaimana berlaku di zaman kita?
– Baharudin Mohamad, Hulu Terengganu.
Perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum syarak kerana tunangnya itu masih haram baginya untuk bercampur gaul dan dibimbangi akan berlaku perkara maksiat. Oleh itu ibu bapa mengawal anak-anak lelaki dan perempuan mereka daripada melakukan perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T.
Apakah yang terbaik bagi orang yang mendengar azan?
– Othman Ali, Kuala Nerus.
Amat digalakkan bagi seseorang yang mendengar azan supaya menjawab seruan tersebut sebagaimana yang diajar oleh Nabi S.A.W. sehingga bilal menyudahkan azannya kemudian dia membaca selawat ke atas Nabi S.A.W. lalu berdoa dengan doa yang biasa dibaca selepas azan.
Dengan itu bagi yang sedang bercakap hendaklah memberhentikan percakapannya walaupun dia sedang mengajar ilmu agama, membaca Al Quran, atau berzikir. Bagi yang berada di dalam bilik air atau tandas disunatkan menjawabkannya selepas keluar daripada tempat tersebut.
Apakah bentuk keadilan yang dimaksudkan bagi suami yang berpoligami?
– Abdul Rahman Awang, Besut.
Suami hendaklah adil di dalam layanan, perbelanjaan, giliran bermalam dan lain-lain perkara yang boleh dilakukan keadilan dan persamaan. Adapun perasaan dalamannya maka Allah sahaja yang mengetahuinya dan seseorang itu tidaklah berdosa di dalam perkara tersebut.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kufu’ di dalam perkahwinan?
– Anisah Johari, Sungai Buloh, Selangor.
Kufu bermaksud setaraf seperti anak orang baik setaraf dengan anak orang baik, kaya dengan yang kaya, sederhana dengan sederhana dan bidang pendidikan turut diambil kira. Kufu merupakan hak perempuan dan hak walinya. Oleh itu harus bagi perempuan dan walinya mengugurkan hak tersebut sekiranya mereka menerima suami yang tidak setaraf dengan perempuan tersebut kerana kufu itu bukanlah syarat sah bagi sesuatu pernikahan itu.
Apakah hukumnya meminang perempuan yang telah dipinang orang?
– Abdul Khalid Abdul Rahman, Kemasik, Kemaman.
Hukumnya adalah haram jika pinangan orang itu telah diperkenankan kecuali jika telah diizinkan oleh peminang pertama kepada yang kedua.
Bagaimanakah cara terbaik di dalam melakukan qadha’ sembahyang yang ditinggalkan?
Sembahyang yang ditinggalkan semenjak sekian lama hendaklah diqadha’kan segera mengikut kemampuan dan selari dengan tertib waktu sembahyang yang ditinggalkan.
Boleh tuan jelaskan tempat-tempat yang dilarang mengerjakan sembahyang padanya?
– Pencinta Solat, Dungun.
Terdapat larangan dari melakukan sembahyang di beberapa tempat termasuk tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, tanah perkuburan, tengah jalan, di dalam bilik air dan kandang-kandang haiwan kerana kebiasaan tempat-tempat sedemikian terdapat kekotoran dan najis serta berbahaya.
Bagaimanakah cara membetulkan saf di dalam sembahyang berjamaah?
– Luqmanul Hakim Mohd. Azmi, Hulu Terengganu.
Saf di antara para makmum dapat dibetulkan dengan menyamakan buku lali dan tumit sesama mereka dan bukanlah dengan menyamakan jari-jari kaki kerana kaki seseorang itu berlainan antara satu sama lain. Imam dikehendaki memaklumkan perkara tersebut kepada para jamaah dan memastikan supaya saf-saf mereka dibetul dan dirapatkan sebelum memulakan takbiratul ihram. Ia pernah diajar oleh Rasulullah S.A.W.
Bolehkah seseorang lelaki memakai cincin suasa?
– Penggemar Cincin, Kuala Terengganu.
Lelaki adalah disunatkan memakai cincin yang diperbuat daripada perak tetapi diharamkan memakai cincin emas dan suasa (yang diperbuat daripada campuran emas dan tembaga.
______________________
Terbitan : 24 Mei 2002
Ke atas
Home