Kempen untuk membebaskan tahanan politik ISA diteruskan dengan menjelajah ke setiap pelusuk negara untuk menyatakan pendirian kami bahawa selagi tahanan reformasi tidak dibebaskan, isteri-isteri, anak-anak dan ahli keluarga dan pejuang-pejuang keadilan tidak akan berdiam diri. Kali ini misi kami bukan hanya tertumpu kepada enam tahanan reformasi tetapi juga ditujukan kepada semua tahanan ISA. Tahanan ISA adalah tahanan yang dizalimi, keluarga dan anak isteri mereka dianiaya tanpa sebarang pembelaan.
Mereka adalah mangsa salahguna kuasa pihak polis Cawangan Khas dan Menteri Dalam Negeri. Begitu mudah mereka menangkap, menyiksa, mendera dan kemudian menghukum mereka dengan penahanan seterusnya di Kamunting tanpa sedikitpun membawa satu bukti atas tuduhan yang mereka lemparkan. Tidak ada ruang bagi tahanan ISA membela diri. Peruntukan berjumpa Lembaga Penasihat hanyalah sandiwara semata-mata. Setelah berhempas pulas berhujah di hadapan lembaga ini, akhirnya kuasa mutlak adalah dalam tangan Menteri Dalam Negeri.
Apakah boleh diterima satu undang-undang diberi kuasa penuh kepada seorang manusia? Tiada pihak lain yang dibenarkan mempertikaikan keputusannya? Bagaimana manusia yang masih mempunyai perasaan, akal dan kewarasan boleh menerima hakikat akta ini? Tapi, inilah hakikat negara Malaysia yang kononnya mengamalkan demokrasi tetapi masih membangga-banggakan ISA.
Sungguh memalukan apabila Malaysia mengatakan Amerika sokong ISA. Ini ternyata pembohongan dan satu propaganda kerajaan untuk mengaburi mata rakyat. Maka tugas kami semakin mencabar agar rakyat tidak terus tertipu dan diburu ketakutan ditahan ISA. Kesedaran rakyat mesti ditingkatkan untuk memahami apa itu ISA dan apakah yang mereka boleh lakukan untuk membebaskan tahanan dan menolak ISA.
Jelajah pertama kami adalah di Kuala Terengganu pada 17 dan 18 Mei 2002. Program kali ini kami panggil Pameran X- Files ISA Roadshow “Bebaskan”.
Prgram ini terdiri daripada pameran kezaliman ISA, tayangan video, sesi penerangan tentang ISA, tandatangan petisyen bicarakan atau bebaskan tahanan ISA dengan segera dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan hak untuk menjalankan rawatan sakit belakangnya daripada pakar yang beliau pilih, sesi bersama keluarga tahanan politik ISA, jualan buku tulisan tahanan ISA baik yang sudah bebas mahupun yang masih terpenjara.
Rakyat Kuala Terengganu menyambut baik kedatangan kami. Kami dapat mengumpul hampir 700 tandatangan dan pelancarannya disempurnakan oleh Dato’ Hj. Mustapha Ali, seorang ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu, sebagai mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Kami merasa tenang dan selesa, baik semasa mendirikan bahan-bahan pameran sehinggalah program sehari suntuk berjalan sehingga selesai apabila kami bertungkus lumus pula mengemasnya.
Ada satu kelainan yang ketara yang menyumbang kepada ketenangan ini iaitu tidak kelihatan polis-polis FRU berdiri atau ketua-ketua polis dengan uniform menunjukkan kuasa atau trak-trak mereka yang cuba menakut-nakutkan kami. Pemandangan ini begitu biasa di negeri-negeri lain di bawah kuasa kerajaan Barisan Nasional. Jika kami boleh menjalankan hak bersuara kami dengan aman di negeri Terengganu dan program yang sama juga akan kami bawa ke negeri-negeri lain, jika kami dihalang oleh polis di negeri-negeri lain maka tidakkah kita terfikir bahawa yang mengancam keselamatan negara adalah pihak polis sendiri dan pemimpin kerajaan Barisan Nasional yang memperalatkan polislah yang melanggar undang-undang? Maka sudah sampai masanya rakyat akan nampak dan dapat menilai yang mana benar yang mana palsu.
Oleh itu kami beri amaran kepada mana-mana pihak yang ingin merampas hak asasi kami untuk bersuara agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak. Kami tidak akan putus asa menuntut pembebasan keluarga kami yang dizalimi ISA. Pameran dan risalah yang kami edarkan hanyalah semata-mata menjelaskan fakta sebenar ISA yang selalu disembunyikan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Kami ingin jelaskan kepada rakyat bahawa sepanjang tahun 2001 dan awal 2002 seramai 73 orang telah ditahan termasuk seorang wanita, hanya 10 orang telah dibebaskan. Mereka semua “dituduh” sebagai anasir yang mengancam keselamatan negara tanpa mengemukakan apa-apa bukti dan tanpa dibawa ke muka pengadilan. Malah Ketua Polis Negara, Norian Mai, mengumumkan ada 100 orang lagi akan ditahan di bawah ISA. Siapa pula akan kena kali ini? Mungkin pembaca penulisan ini menjadi mangsa. Yang pastinya mangsa tidak dapat membela diri menerusi proses undang-undang.
Risalah kami meminta rakyat semua menyertai kempen kami dengan melakukan beberapa langkah.
1. Tulis tuntutan pembebasan tahanan ISA kepada Menteri Dalam Negeri di alamat Paras 4, Blok Barat, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502 Putrajaya, Wilayah persekutuan, atau fax ke KDN 03-88868014 (tpm@smpke.jpm.my)
2. Telefon Kem Tahanan Kamunting bertanyakan khabar keadaan tahanan politik ISA di talian 05-8837836 atau 05-8837311
3. Tulis surat kepada tahanan politik ISA di Kamunting bertanya khabar dan menyatakan sokongan kepada mereka di alamat: Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting, 34009 Taiping, Perak
4. Sertai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
5. Jumpa Ahli Parlimen dan Ahli DUN di tempat masing-masing dan nyatakan bantahan terhadap ISA
6. Anjurkan sesi penerangan di tempat masing-masing
7. Beri sokongan terhadap kempen-kempen anjuran GMI
8. Cetak dan edarkan risalah ini kepada mereka yang terdekat.
Pameran X-Files adalah pameran berkenaan 6 tahanan reformasi ISA yang kini telah menjangkau satu tahun ditahan tanpa bicara. Kali ini bahan-bahan berbentuk kad dan surat daripada tahanan kepada keluarga dan sebaliknya ditambah dengan menjelaskan siapa mereka. Selain itu pameran ini juga mengingatkan kembali perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan Gerakan Reformasi Malaysia yang kini masih teraniaya.
Kami mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh KeADILan Terengganu yang mana pameran kami juga bertempat di Konvensyen KeADILan Terengganu iaitu di Planetarium. Pameran juga sempat diadakan di Stadium Tertutup Kuala Terengganu sempena ceramah umum di situ.
Cabaran Roadshow ini hanyalah sedikit kerana pasukan roadshow ini bukanlah calang-calang orang kerana mereka adalah pejuang-pejuang dan mereka juga adalah pemogok-pemogok solidariti yang tidak kenal erti putus asa dan tidak akan berundur sehingga beroleh kemenangan. Kali ini saya dan Zumrah, isteri Ustaz Badrulamin bersama-sama pasukan jelajah ini. Semoga usaha ini dilimpahi rahmat dan diberkati Allah.
Tahanan Reformasi Kamunting Minum Air Bangkai
Pada petang hari kedua Pameran X-Files kami mendapat berita yang sungguh mengerikan apabila Bahirah yang pulang dari melawat Ezam yang juga menyambut ulangtahun hari lahir Muhamad Hasif dan juga ulangtahun hari lahir Amirul Izat, putera Lokman menyampaikan berita bahawa sudah seminggu keenam-enam tahanan minum dan menggunakan air tangki yang telah dicemari dengan bangkai burung.
Apabila air yang mereka gunakan semakin berbau busuk, maka dengan inisiatif Ustaz Badrulamin, memanjat tangki air dan mengesahkan bahawa terdapat dua ekor bangkai burung yang telah berulat dalam tangki air tersebut. Beliau juga dapati lumpur di dalam tangki tersebut setebal sejengkal dan inilah air yang mereka gunakan selama ini.
Ustaz Badrul seterusnya memaksakan diri membersihkan tangki tersebut. Kami mencabar pihak Kem dan Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan di atas kecuaian ini dan bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan yang timbul dari air kotor ini. Jika tangki air di blok Tahanan Reformasi sudah terbukti berisiko tinggi dicemari, maka samalah juga bagi blok-blok lain yang menempatkan tahanan ISA yang lain malah agaknya lebih teruk di blok-blok banduan pra-bebas yang lain.
Janganlah anggap mereka dipenjarakan maka hak mereka mendapat keperluan asas iaitu air bersih diambil ringan dan diperlecehkan. Kami akan menuntut perkara ini dibawa ke muka pengadilan kerana setiap apa yang berlaku terhadap 6 Tahanan Reformasi tidak akan terlepas daripada pengetahuan dunia luar.
Kesan air tersebut menyebabkan ada di antara mereka diserang cirit-birit dan sakit kulit. Mereka juga hilang selera makan. Lokman pula beritahu bahawa doktor yang merawat beliau mengatakan bahawa batu karang di dalam pundi kencingnya sudah tidak ada. Kami agak hairan bagaimana begitu cepat ia hilang begitu sahaja. Malah, beliau tidak dibenarkan melihat rekod kesihatannya.
Kem Kamunting adalah satu Kem Tahanan Malaysia yang begitu terkenal di seluruh dunia. Empat puluh tahun kewujudannya bersama akta zalim ISA membawa erti bahawa bangunannya begitu daif dan mungkin menurut piawaian sekarang sudah tidak layak didiami oleh tahanan hatta banduan yang telah disabitkan kesalahan mereka. Yang cantik dan berkilat hanya pagar berdurinya yang pasti digilap selalu kerana dawai-dawai berduri ini adalah lambang sesebuah penjara. Tapi kini penjara ini begitu zalim kerana mereka yang ditahan adalah mereka yang tidak dibuktikan kesalahan mereka tetapi hanyalah mangsa tamak dan rakus sang pemerintah.
Teruskan Perjuangan Menuntut Keadilan
Bebaskan Tahanan ISA
Mansuhkan ISA
Aliza Jaffar
22 Mei 2002
______________________
Terbitan : 25 Mei 2002
Ke atas
Home