MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

KUSZA lahirkan ilmuan pakar

Oleh ZANALIZAM AHMAD

TAHUN 2002 menandakan usia Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) mencecah 22 tahun. Sepanjang tempoh itu, ianya mendapat pengiktirafan akademik dari pelbagai pihak termasuklah Universiti Tempatan, Timur Tengah dan Barat. Lebih istimewanya kerana KUSZA mempunyai para pelajar yang mempunyai nilai rohani yang tinggi berbanding dengan pelajar lepasan institusi pengajian tinggi lain.

Ini dinyatakan dan diakui sendiri oleh Timbalan Pengarah (Akademik) KUSZA, Mohd Yassin Muda dalam temuramah WARTA di pejabatnya baru-baru ini. "Para pelajar kita mempunyai nilai disiplin yang tinggi hasil dari didikan yang mereka terima di KUSZA. Ini menjadikan mereka sebagai penyumbang kepada pembangunan spiritual negara," jelasnya. Ia dapat dikesan melalui cara hidup, tingkahlaku dan sikap mereka dalam kehidupan seharian.

Menurutnya KUSZA bermula pada 27 Januari 1980 apabila seramai 35 orang pelajar kumpulan pertama diambil belajar di tingkatan empat aliran sastera. Kumpulan itu pada mulanya menumpang di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA)dan kemudian berpindah ke bangunan sementara di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu sehingga tahun 1982.

Katanya, pada peringkat permulaannya, pentadbiran KUSZA diletak di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Penubuhan KUSZA merupakan satu langkah terhadap usaha meningkatkan taraf pendidikan agama. Di antara matlamat utama KUSZA ialah untuk melaksanakan sistem pendidikan Islam yang lebih sistematik, melahirkan tenaga kerja di peringkat separa ikhtisas yang diperlukan oleh sektor awam dan swasta sekaligus meningkatkan perkembangan ummah selaras dengan Islam.

KUSZA ditubuhkan sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam berdasarkan kepada Enakmen Bilangan 3/1981 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 22 Ogos 1981. Justeru KUSZA dijadikan sebagai sebuah badan berkanun dan beroperasi sepenuhnya pada April 1982. Pada 17 Mac 1981, Sultan Terengganu, Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah telah berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas Kampus tetap KUSZA seluas 144 hektar di Gong Badak terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu.

Kampus ini mula digunakan pada Januari 1983 dan menjadi kampus utama KUSZA sehingga hari ini. Mohd Yassin memberitahu, KUSZA telah menawarkan lebih 22 program Diploma pelbagai bidang termasuk tiga Diploma Lanjutan dan program pensijilan. Antara program-program yang ditawarkan ialah program pengajian Islam peringkat Diploma dalam bidang-bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Sejarah dan Tamaddun, Dakwah, al-Quran dan Sunnah serta Pentadbiran Islam. Program pengajian pengurusan menawarkan bidang perakaunan, Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia dan sebagainya.

Sekolah pengajian lanjutan pula menawarkan program Diploma Teknologi Maklumat dan program persijilan, seperti sijil Intensif Bahasa, manakala Sekolah Pengajian Umum pula menawarkan kursus peringkat Diploma iaitu program Diploma Undang-Undang dan kursus Sijil Falak Syari’e. Diploma Teknologi Pembuatan dan Diploma Rekabentuk Perindustrian ditawarkan melalui Sekolah Kejuruteraan.

Selain itu, Program Diploma Kejururawatan ditawarkan melalui Sekolah Kejururawatan dan Diploma Bahasa Arab dengan Pendidikan di bawah Sekolah Pendidikan. Katanya, kerjasama dengan University Of East London (UeL)pada awal tahun 2001 membuka lembaran baru KUSZA kepada usahasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara lain. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada sistem pengajaran dan fasiliti yang terdapat di bumi barakah ini.

KUSZA dan UeL menawarkan program Bsc. (Hons) Business Information Systems, Business Administration, Finance dan Accounting. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh KUSZA menjadikan namanya tidak pernah lekang meniti di bibir setiap lapisan pendidikan di Terengganu. Ini terus dibuktikan melalui kejayaan dua orang pelajarnya, Jamil Muda dan Nordiana Haji Razali merebut tempat pertama dan kedua dalam pertandingan merekabentuk perabot berinovasi (MAFEX) 2002 di Selangor baru-baru ini.

"Sekarang ini, KUSZA mempunyai sejumlah 3,500 orang pelajar, 214 orang tenaga akademik, dan 476 orang kakitangan pengurusan dalam usaha memantapkan perkembangannya sejajar dengan era globalisasi. Beliau berpesan supaya semua warga KUSZA, peruntukkan masa sepenuhnya dengan menambah ilmu pengetahuan.

"Pergunakanlah ia sebaik mungkin. Yakin dan percaya bahawa ilmu mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah. "Ilmu bukan sahaja untuk mengejar kerjaya, tetapi, ilmu yang sebenarnya ialah keberkatan dan manfaat hasil dari ilmu tersebut," ujarnya.







______________________
Terbitan : 29 Mei 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com