YB Ramli Ibrahim
Ahli Parlimen Kota Bharu
Tindakan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatan selaku presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) yang diumumkannya secara mengejut pada 22 Jun lalu, adalah satu keputusan terburu-buru, seolah-olah dibuat tanpa sebarang rundingan dengan pemimpin dalam partinya.
Keputusan itu memperlihatkan seperti Dr Mahathir menghadapi terlalu banyak tekanan politik, ekonomi dan sosial, di samping isu-isu yang baru timbul, di dalam maupun luar negeri.
Di dalam negeri, sokongan orang Melayu kepada beliau dan Umno telah mulai luntur berikutan keputusan kontroversi yang dibuat mengenai dasar pendidikan negara.
Keputusan beliau, terutamanya penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, serta peruntukan kuota 10 peratus kepada bukan bumiputra, meskipun mendapat sokongan padu para perwakilan, tetapi ditentang orang Melayu, guru Melayu, termasuk pensyarah universiti dan pegawai kerajaan.
Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah membabitkan perbicaran di mahkamah, dan ulangbicaranya tanpa keputusan sehingga kini, menyebabkan Dr Mahathir menerima banyak tekanan dari luar negara, termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Parlimen Eropah, yang mendesak supaya ianya diselesaikan segera melalui proses politik.
Justeru itu, perletakan jawatan yang diumumkan pada hari itu adalah sebagai helah Dr Mahathir untuk menguji pengaruh serta sokongan ahli Umno. Taktik ini adalah cara biasa, seperti yang pernah dilakukan oleh Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasir, suatu ketika dahulu.
Keputusan terburu-buru dan taktik ini telah menjejaskan keyakinan pelabur dan pasaran saham Malaysia. Saya menjangka selepas ini, tekanan terhadap parti pembangkang dan musuh politiknya akan bertambah keras, bagi memastikan kemenanganya dalam pilihanraya yang akan datang.
______________________
Terbitan : 28 Jun 2002
Ke atas
Home