PEDAS-PEDAS CILI API
Sekarang ini Cili Api selalu membaca dan mendengar banyak perkara yang
sangat pelik lagi memelikkan. Ada yang melibatkan bukan saja orang muda,
tetapi orang tua juga, bukan orang awam saja, bahkan anggota polis juga.
Misalnya, kita selalu disogokkan dengan laporan berita-berita separuh lucah
oleh beberapa akhbar pengampu yang cuba menaikkan jualan mereka dengan cara
ini. Jadi, sering keluar berita tentang perogolan oleh orang muda ataupun
orang tua. Selain itu diselang-seli pula cerita-cerita keganasan, seperti
seorang polis memukul kepala seorang kampung, sehingga pecah kepala dan
mati, meninggalkan balu muda serta anak kecil.
Kini Cili Api melihat pula semakin banyak cerita lucah dan ganas yang
melibatkan orang tua bangka. Baru-baru ini ada berita besar di muka depan
sebuah akhbar yang selalu membesar-besarkan cerita separuh lucah (bahkan
kadang-kadang penuh lucah), tentang seorang Tan Seri berumur 83 tahun
dituduh berkali-kali merogol orang gajinya yang masih berumur awal dua
puluhan. Mengikut wanita itu, kali terakhir nyaris-nyaris beliau menembak
datuk maringgih ini dengan pistol, tetapi terhenti sebab takut dipenjarakan
sebagai pembunuh pula.
Lebih kurang dalam minggu yang sama, beberapa buah akhbar melaporkan pula
mengenai seorang peguam tua, berumur lebih 80 tahun juga, menebak mati
seorang penunggang motosikal, kononnya selepas motosikal itu tergesel
kereta Mercedes peguam. Peguam tua ini mendakwa dia bertindak mempertahankan
diri kerana anak muda itu mengancam hendak memukulnya dengan kayu. Tetapi,
mengapa sampai menembak mati? Sedihnya, mangsa ini ada isteri muda dan anak
kecil juga.
Cili Api tidak suka membuat kesimpulan umum. Akan tetapi, mengapakah
sekarang ini trend orang tua merogol dan mengganas semakin meningkat? Adakah
yang ganas mengikut teladan Cek Det - semakin tua semakin ganas menggunakan
undang-undang zalim seperti ISA, dan semakin ketara membiarkan polis
bertindak ganas, walaupun terhadap orang kampung yang mendengar ceramah
secara aman?
Sekali lagi, mungkin Malaysia boleh! Cek Det pun boleh!
______________________
Terbitan : 18 Jun 2002
Ke atas
Home