MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Makin hebat Khir rasuah, makin sayang PM padanya

Oleh DINSMAN

BAHAGIAN II

Dan kita pun dengan sendirinya telah memasuki fasa atau dimensi yang kedua dalam kisah rasuah dan salahguna kuasa menteri Umno di negara ini.

Kenyataan awal Lutfi mengenai kisah rasuah Khir Toyo sebagai contoh bagaimana menteri-menteri Umno melakukan rasuah dan salahguna kuasa itu, kini tidak penting lagi. Saya pun tidak nampak lagi ada kecenderongan di pihak Lutfi untuk membuat pembongkaran yang sama terhadap MB-MB di negeri lain. Fasa itu telah ditinggalkan.

Membuktikan bahawa menteri-menteri Umno dan BN yang lain juga serakus dan sejahat Khir Toyo kini tidak mustahak. Apa yang kini dibuktikan pula oleh kisah ini ialah betapa munafiknya pimpinan Umno dalam janji-janji mereka hendak membela rakyat, khususnya membanteras rasuah dan salahguna kuasa. Munafik! Apa lagi kata yang lebih sesuai daripada munafik!

Budak kemaruk kuasa

Demikian nyata dan terang bukti-bukti ditunjukkan oleh Lutfi bahawa Khir Toyo Menteri Besar Selangor itu seorang budak kemaruk kuasa yang mengamalkan segala bentuk rasuah – pimpinan Umno sedikit pun tidak peduli. Seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Para pemimpin Umno yang lain pun, selain daripada Dr Mahathir, tidak ada yang berkata apa-apa mengenai kes Khir Toyo yang begitu mencemarkan itu. Semuanya menerimanya dengan senang hati.

Itulah yang dibuktikan oleh kisah ini, dalam fasa atau dimensinya yang kedua. Maka apa pula tindakan Lutfi selanjutnya? Pendedahan sudah dibuat. Tetapi pihak kerajaan (Dr Mahathir) tidak peduli.

Kalau pihak kerajaan (Dr Mahathir) tidak peduli, apakah pihak rakyat juga sama tidak peduli? Soalan ini membawa kita masuk ke fasa (dimensi) yang kini. Inilah persoalannya yang paling mustahak sekarang. Apakah rakyat, khususnya rakyat Selangor, peduli dengan kisah rasuah dan salahguna kuasa Menteri Besar mereka ini?

Tidak ada siapa yang boleh memberi jawapannya kecuali rakyat Selangor sendiri. Kita mengharapkan rakyat Selangor akan menolak Khir Toyo. Ini harapan kita. Dalam fasa kedua dulu kita mengharapkan Dr Mahathir akan menolak atau menyingkirkan Khir Toyo. Dr Mahathir tidak bertindak seperti yang kita harapkan. Memanglah. Dr Mahathir bukan di pihak kita, maka normallah dia tidak bertindak mengikut apa yang kita harapkan. Kita jangan kecewa. Kita tinggalkan fasa itu.

Itu tidak penting lagi sekarang. Apa yang paling mustahak sekarang ialah rakyat. Apakah rakyat kini berada di pihak “kita”, atau rakyat masih berada di pihak Dr Mahathir seperti dalam pilihanraya umum 1999 dulu?

Tolak rasuah tolak Khir

Di pihak “kita”? “Kita” itu siapa? Ini satu lagi persoalan yang perlu diberi perhatian. Kita bercakap mengenai kisah rasuah dan salahguna kuasa Khir Toyo Menteri Besar Selangor. Yang membongkar dan mendedahkan kisah ini dan membawanya ke BPR ialah Ahmad Lutfi Othman, seorang aktivis media. Pihak pimpinan Barisan Alternatif Selangor, didahului oleh Dr Hasan Ali, turut sama mengambil isu ini dan menyebarkannya ke kalangan rakyat, pada peringkat awalnya dahulu. Tetapi akhir-akhir ini mereka agak kurang kelihatan.

PAS telah mengisytiharkan tema perjuangan mereka menjelang pilihanraya umum ke-11 ini ialah “Tawan Selangor”. KeADILan pun demikian juga – “Tawan Selangor”. Tawan Selangor ertinya tolak Khir Toyo dan tolak Umno.

Saya melihat senjata yang paling berkesan untuk menggembleng sokongan rakyat ke arah “tolak Khir Toyo dan tolak Umno” ialah kisah rasuah dan salahguna kuasa yang terus dipersembahkan oleh Lutfi ini.

Maka dalam perspektif ini saya mengharapkan pimpinan PAS, KeADILan, PRM dan DAP dapat bergabung bersama dengan Lutfi, bagi memberi makna kepada perkataan “kita” yang saya persoalkan di atas tadi – “Apakah rakyat kini berada di pihak ‘kita’?”

Sama ada parti-parti politik yang empat ini mahu bergabung usaha dengan dia atau tidak, Lutfi akan tetap dengan agendanya berusaha menolak pemimpin yang rasuah dan salahguna kuasa seperti Khir Toyo itu, dengan cara dia sendiri. Itu Lutfi.

Saya melihat dia menyediakan bahan yang cukup baik untuk disambut oleh pimpinan parti-parti politik yang berkaitan. Dia boleh membantu perjuangan BA untuk menawan Selangor.

Tidak ada sebab mengapa BA tidak boleh memanfaatkan ‘produk’ Lutfi itu, bagi mencapai matlamat bersama untuk “Tolak Khir Toyo dan tolak Umno”.

Yang paling mustahak sekarang ialah rakyat. Pedulikan Mahathir. Tinggalkan dia. Fokus kita ialah rakyat. Apakah rakyat akan bersama kita menolak pemimpin yang rasuah dan salahguna kuasa dalam pilihanraya akan datang? Kita bukanlah sekadar bertanya, tetapi kita akan mempastikan jawapannya ialah “ya”.







______________________
Terbitan : 22 Jun 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com