Menginsafi Tengtang Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu, Kini Sedang Tercabar, Maka Di Bawah Ini Dan Seterusnya (sebanyak 10 dongeng), Merupakan Satu Tangkisan Hebat Terhadap
Mereka Yang Memperkecilkan Bahasa Dan Bangsa Melayu.
Kertas Berkenaan Telah Dibentangkan Oleh Prof. Wan Ramly Bin Wan Daud, Di Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 24 Mei, 2002 Dalam FORUM "Isu Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu".
Petikan Kumpulan Prihatin daripada tulisann ASASI
Dongengan keenam: Bahasa nasional negara membangun bergantung pada nasib S &T bangsa berkenaan, atau sedap cakapnya "maju bangsa majulah bahasa". Ini pepatah orang-orang yang berkuasa dan bersedap-sedap cakap para pemimpin negara membangun. Jika bahasa asing (Inggeris itu umpamanya) yang digunakan sepanjang masa dalam pendidikan, dalam urusan penting yang lain atau kehidupan bekerjanya, bagaimanakah bahasa nasional itu boleh tiba-tiba turut berkembang? Tidakkah mahu dilihatnya betapa kuatnya dongengan ini menerusi telatah anak bangsanya yang "dianggap berjaya (maju)" dalam bahasa dan budaya Inggeris itu sahaja? Bukankah orang-orang ini rata-rata berasa kekok, jengkel dan kadang kala menghina bahasanya sendiri dengan pelbagai gaya kerana mereka tidak pernah menggunakan bahasanya kecuali semasa bercakap di pasar-pasar lambak, dengan buruh kasar, drebar atau jaga (pegawai keselamatan) sahaja! Lagi pun di manakah adanya contoh bangsa yang maju (S & T, malah ekonomi pun) dalam bahasa lain dahulu kemudian bahasanya menjadi maju (bahasa S & T)?
Dongengan ketujuh: Peranan bahasa di semua peringkat S &T adalah sama sahaja tidak seperti bidang sastera. Dongengan ini mudah diterima umum kerana pengguna rendah S & T seperti di negara membangun seperti Malaysia tidak sampai kepada tahap komunikasi makna dan maksud, serta bahasa sebagai rakaman fakta dan pengantar teori yang akan lebih menampakkan lagi keserasian tidaknya dengan budaya dan sistem nilai sesuatu bangsa penggunanya. Dongengan ini didendangkan untuk memudahkah pelaksanaan dasar mengInggeriskan pendidikan S & T di semua peringkat pendidikan di negara kita ini. Hujahnya mudah sahaja: "bahasa tidak berperanan apa-apa dalam S & T; jadi apa salahnya kita mendidik anak-anak kita dengan S & T dalam bahasa Inggeris, sedangkan dengan itu juga pelajar kita dapat memahirkan dirinya dengan bahasa Inggeris". Hakikatnya, sejak kebelakangan ini banyak pihak di negara-negara maju yang ada pelbagai kaumnya semakin rancak membicarakan isu pendidikan S&T dalam bahasa-bahasa ibunda/peribumi terutamanya di peringkat rendah kerana para sarjana sudah ijmak menerima peranan bahasa ibunda/peribumi/nasional yang positif dalam pendidikan S & T. Kegiatan ini begitu ketara berlaku di Amerika dengan masalah kaum Hispanik di Amerika Syarikat dan peribumi Amerika Selatan. Dalam hal ini pendirian MCA dan MIC mempertahankan penggunaan bahasa ibunda ahli-ahlinya dalam pendidikan S & T di sekolah Rendah masing-masing, dan dipersetujui kerajaan, memang wajar, walaupun masing-masingnya mungkin berhujah yang berbeza seperti satunya demi pemiliharaan kebudayaan masing-masing dan satu lagi demi politik. Tetapi semua ini tentunya tidak diendahkan oleh para ahli UMNO! Mungkin sudah ada ahli atau orang UMNO yang mengatakan " biarlah MCA dan MIC tak mahu bahasa Inggeris, biar dia tak maju; kita nak orang Melayu maju dan lebih maju daripada mereka!" Ketaksubannya dengan bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan kemajuan orang Melayu amat luar biasa dan tiada siapa yang dapat mengubahnya melainkan apabila lahirnya Hang Jebat dengan cukup ramai di istananya.
Dongengan kelapan: S & T neutral sifatnya, khususnya tiada hubungannya dengan Islam dan Islam tiada hubungan dengan bahasa nasional selain daripada bahasa Arab. Retorik tentang keneutralan S &T dilakukan sepanjang masa (dalam buku teks dan media massa). Dongennya pendapat ini telah lama terbukti kerana dalam dunia kefahaman ilmu (epitemologi), tidak neutralnya S & T sudah diterima umum sejak Kuhn dan para sarjana Islamis memberi hujah-hujah yang tidak dapat dipatahkan lagi itu sejak 1960-an lagi! Di Malaysia, hubungan Islam dengan bahasa Malayu memang terkenal tetapi dihakiskan dengan hebatnya dengan penubuhan universiti Islamnya dalam aliran Inggeris sejak 20 tahun dahulu, dan kini dengan pewujudan beberapa buah universiti swasta lain lagi yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia sendiri dan diterajui oleh orang Islam tetapi sengaja tidak mahu menggunakan bahasa nasional. Kepercayaan kepada dongengan inilah yang menjadikan sesiapa pun senyap atau pantas menyokong sahaja dasar penghakisan atau peniadaan sistem pendidikan aliran bahasa nasional masing-masing negara bawah angin dan mewujudkan atau mengukuhkan sistem pendidikan dalam aliran bahasa S & T semasa sahaja (bahasa asing atau bahasa negara maju yang lain!)
Dongengan kesembilan: Orang Malaysia, khususnya peribuminya, akan lebih ramai menguasai bahasa Inggeris dan sains dan teknolohi (S & T), malah boleh mengatasi bukan peribumi apabila S&T diajar dalam bahasa Inggeris atau sekolah aliran Inggeris diwujudkan. Ini betul-betul dongengan ciptaan orang-orang yang lemah mantiknya/fikirannya. Kedongengan ini pun dibuktikan oleh Negara-Negara Membangun atau atau Negara Ketiga yang semuanya berpegang kuat kepada pendapat ini. Lihat sahaja negara-negara ini yang berpegang kepada fahaman atau dongengan ini, termasuklah beberapa buah negara jiran kita (Filipina dan Brunei) atau yang jauh sedikit, negara India, Pakistan….. dan senarainya agak panjang. Sejauh manalah lebih ramai ahli S & T dan/atau majunya negara-negara ini dalam S &T berbanding dengan negara kita atau negara jiran kita yang lain yang sistem pendidikan dalam bahasa nasional masing-masing? Sebuah negara jiran kita, Singapura, yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pembangunannya seringlah dijadikan contoh sebaliknya kerana negara itu terkaya di rantau negara bawah angin ini. Ini mungkin harapan besar para pendokong dongengan ini. Tetapi sehingga kini, tahap kemajuan di Singapura itu pun tidak juga lebih baik pencapaian S & T-nya berbanding dengan negara lain yang mengamalkan sistem pendidikan berbahasa nasionalnya sendiri termasuklah Malaysia selama ini? Apakah sumbangan S & T dari Singapura itu yang hebatnya, lebih-lebih kali kalau diambil kira bangsa peribuminya yang sama dengan bangsa peribumi Malaysia? Singapura kaya berbanding dengan negara-negara membangun lain bukan kerana S & T-nya. Pendeknya, kaya wang tidak semestinya kaya S & T tetapi sebaliknya sentiasa benar! Bahasa Inggeris bukan bahasa penentu kekayaan S & T bagi sesuatu bangsa bukan Anglo-Saxon. Bahasa Inggeris sebagai bahasa penentu kemajuan S & T hanya dongeng semata-mata.
Dongengan kesepuluh: Rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu lebih mudah berintegrasi apabila aliran Inggeris diwujudkan semula sebagaimana kononnya yang berlaku dahulu. Ini pun satu nostalgia tidak berasas dan perasaan ego dan berpusatkan diri bagi orang-orang yang hidup sejak zaman sistem pendidikan Kebangsaan Malaysia. Andaiannya, orang beriteraksi antara kaum di Malaysia ini lebih mudah berlaku dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Anggapan lainnya, kaum-kaum di Malaysia ini lebih banyak peluang berinteraksi menerusi sekolah beraliran Inggeris. Apa buktinya? Pelajar-pelajar Malaysia kini sebenarnya jauh lebih ramai dan lebih mudah berinteraksi antara kaum berbanding dengan zaman sekolah aliran Inggeris dahulu. Cuma mereka menggunakan bahasa Melayu. Memang rata-rata mereka lebih selesa berinteraksi dalam bahasa Melayu sahaja. Apa salahnya? Ini ciri-ciri negara maju. Di negara maju semua rakyatnya berkomunikasi sesama mereka rata-rata dalam bahasa mereka sahaja. Kenapa hendak rakyat Malaysia berinteraksi dalam bahasa Inggeris? Model negara maju manakah yang rakyatnya rata-rata berinteraksi dalam bahasa asing (bukan bahasa nasionalnya)? Hakikatnya kelemahan peribumi Malaysia dalam sekolah-sekolah aliran Inggeris dahulu amatlah ketara, dan hanya beberapa kerat sahaja peribumi yang berjaya lama berada di sekolah aliran Inggeris itu. Ini menjadi amatlah sedikit peluang pelajar berinteraksi antara kaum. Pelajar sekolah Malaysia di bawah sistem pendidikan peribuminya ternyata membuka peluang bersaling tindak yang jauh lebih luas dan hebat antara pelbagai kaum kerana ramainya peribumi Malaysia menjejak ke bangku sekolah lebih lama hingga ke universiti.
%%%%%%%%%Jun, 2002%%%%%%%%
______________________
Terbitan : 28 Jun 2002
Ke atas
Home